Kisah Malam Raya Aidilfitri Di Jepun

By Sunday, July 19, 2015 , ,

Assalammualaikum w.b.t

Salam Aidilfitri & Maaf Zahir Batin buat semua umat Islam. Alhamdulillah, ALLAH S.W.T masih  bagi peluang untuk kita menyambut Syawal bersama orang-orang yang tersayang. Kepada mereka yang sudah tiada, jangan lupa sedekahkan ayat suci Al-Fatihah dan panjatkan doa ke hadrat ILLAHI agar ALLAH S.W.T ampunkan segala dosa dosa kita semua. 

Ini kali ke-2 kami sekeluarga menyambut Aildilfitri di perantauan.Tahun sebelumnya adalah pada tahun 2012 di Bumi Eropah, Ibu Kota Perancis, Paris. Memanglah tidak sama kemeriahannya apabila berada di jauh dari keluarga dan sanak saudara. Tapi, Alhamdulillah..kami masih dapat menyambut 1 Syawal bersama kawan-kawan seagama di sini. 

Masih dapat bertakbir raya, menikmati juadah raya dan bergambar bersama-sama. Ukhuwah yang terjalin akan semakin erat sebab kami di sini tidaklah begitu ramai, dalam lima hingga enam keluarga di kawasan kejiranan.

Dalam keseronokan dan rasa tidak sabar untuk beraya, ALLAH S.W.T berikan sedikit ujian buat kami sekeluarga. Saya sudah merancang untuk menjemput kawan-kawan pejabat suami untuk berbuka puasa di rumah dan seterusnya bertakbir. Tetapi, kita merancang dan ALLAH S.W.T sebaik baik perancang. Cuma tinggal 15minit untuk kami berbuka puasa, masa itu suami baru pulang dari pejabat dan anak kami yang ke-2, Umair baru bangun tidur dan mata sebelah kanan beliau bengkak sangat teruk sampai tertutup mata. Istighfar kami sekejap. Panik sedikit. Makanan dah siap dihidangkan, sebentar lagi tetamu sampai untuk berbuka puasa. Jadi, dengan berat hati saya bagitau kawan-kawan yang majlis berbuka puasa bersama-sama pada petang itu terpaksa dibatalkan. Kami pergi ke rumah jiran ,IchiKawa-San . Rumah mereka cuma selang 2 buah rumah sahaja dari rumah kami. Alhamdulillah, beliau sangat baik dan sanggup membantu, terus bawa suami saya dan Umair ke klinik mata yang berhampiran. Nasib baik juga sebab klinik tersebut cuma 5 minit berjalan kaki dari rumah. Sampai sahaja di klinik, klinik sudah tutup. Tapi Ichikawa-san ketuk-ketuk klinik tersebut dan mereka benarkan kami masuk. 

Mata kanan Umair di hari kejadian. 


 Mata Umair keesokan harinya. Beransur pulih.
 
Mata Umair hari ini. Hampir pulih sepenuhnya. Di hadapan rumah Ichikawa san untuk memberi buah tembikai. Sempat juga saya terangkan dengan mudah tentang sedekah , tujuan, kepentingan dan pahala bersedekah kepada Umair.

Bersama jiran yang banyak membantu kami. Ichikawa san dan isteri.
Akhirnya, Umair dapat berjumpa dan diperiksa doktor. Kehadiran Ichikawa-san sebagai peneman memang sangat membantu urusan kami. Beliau boleh berbahasa Inggeris dan menjadi tukang terjemah alih suara. Lega betul rasa. Selepas doktor beri slip ubat , beliau membawa suami farmasi untuk membeli ubat-ubat tersebut. Sistem klinik di sini tidak sama seperti di Malaysia. Ubat-ubatan tidak dijual di klinik yang sama. Ianya dijual berasingan di farmasi. 

Benarlah dalam surah Al-Insyirah (surah ke 94) ada mengatakan :

" Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan" (94:5)
" Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan " (94:6)


ALLAH S.W.T telah permudahkan urusan kami hari itu. Di sebalik kesusahan sebab kami berdua tidak pandai berbahasa Jepun. ALLAH S.W.T hantarkan pertolongan untuk kami. Isi penting di sini, dalam Islam kita perlu berbaik baik dengan jiran, tidak kisah jiran itu agama apa sebab mereka yang paling dekat dengan kita dan saya berasa insaf dan terpukul dengan kebaikan mereka yang seperti mengamalkan ajaran agama Islam dalam menunaikan hak-hak berjiran. Salah satu nya ialah berbuat baik kepada jiran.  

Terima kasih dan syukur atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kami tanpa putus. Di Malaysia dan di Jepun. Rahmat ALLAH S.W.T dan kasih sayang-NYA sungguh luas. Ramadhan terakhir itu benar-benar mengajar saya sesuatu. Masih bertanya kepada diri saya sendiri...apakah saya sudah cukup menjadi manusia yang 'bermanfaat'. Di mana kebaikan Islam yang sudah dan perlu saya tonjolkan. Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin dari kami sekeluarga di bumi sakura.

Taqabal Allahu minna wa minkum
( May Allah accept it from you and us)



You Might Also Like

2 comments

  1. Bestnyaa beraya di negara perantauan. Nanir mmg plan nak berhijrah cari kerja di luar negara. Tapi masih tak tahu bgaimana caranya.. kalau tahu bagitahula ye..

    Salam ukhuwah dr nanie..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Best die 'lain' dari yg lain sebab tetap best beraya kat Malaysia. Saya kat sini kejap jer Nanie..follow husband . Die yg keje kat sini..Next year dah kena balik..take care Nanie..

      Delete