Review Buku : Pelukis Jalanan
Saya suka gaya penulisan Teme Abdullah yang sangat santai tetapi sarat dengan pengajaran kehidupan. Bahasa yang digunakan juga adalah Bahasa Melayu Rendah. Maka ianya sangat sesuai untuk dibaca oleh semua golongan samada kanak-kanak yang berumur 10 tahun ke atas, remaja dan dewasa.
Buku yang berketebalan 215 muka surat ini mampu dihabiskan dalam sehari sahaja. Tetapi dengan syarat, anda fokus dan tidak melakukan sebarang pekerjaan yang boleh menggaggu proses bacaan.Kalau seperti contoh, seorang surirumah seperti saya perlu melakukan pelbagai perkara di rumah iaitu, memasak, mengemas, bersenam dan menghantar anak-anak ke sekolah. Jawabnya mungkin makan masa dua atau tiga hari lah untuk menghabiskan buku ini.
Buku Pelukis Jalanan ini juga pernah memenangi beberapa anugerah seperti, Johan Anugerah pilihan pembaca popular - BH 2017 kategori bukan fiksyen ,MPH Best of 2017 kategori Malay bukan fiksyen dan EMAS Anugerah kulit buku cantik pada tahun 2018.
Pada permulaan cerita lebih kepada bagaimana Teme tersangkut daripada melanjutkan pelajarannya ke United Kingdom kerana tidak cukup syarat yang telah ditetapkan oleh pihak penaja.Teme merupakan seorang pelajar cemerlang SPM dan mendapat biasiswa penuh untuk sambung belajar ke luar negara. Teme menghabiskan masa hampir dua tahun itu dengan menceburkan diri dalam perniagaan. Mengambil tempahan untuk menghasilkan design dan T-shirt printing scara underground.
Teme juga seakan tidak berpuas hati dengan sistem pendidikan negara. Pada Teme, apabila dia menjadi arkitek nanti tiada siapa pun yang bertanya tentang molukel air terdiri daripada dua atom hidrogen dan satu atom oksigen. Bila sedang memasak nanti, tiada siapa pun yang akan guna istilah sodium cholride untuk garam kerana garam tetap garam.
Walaupun Teme kecundang untuk kali pertama, dengan nasihat ibunya yang mahu melihat Teme mempunyai ijazah, dia bangkit kembali untuk mengejar cita-citanya sambung belajar di luar negara. Teme mahu menebus kekecewaannya.
Pergilah Teme ke London, United Kingdom berbekalkan duit yang diperolehinya hasil duit pencarian ketika dia bekerja sambilan suatu ketika dahulu.
Banyak cerita sedih, gembira, kelakar dan pengajaran yang cuba disampaikan oleh Teme dalam penulisannya. Diselitkan juga beberapa potong ayat-ayat Al-Quran yang pada Tema ketika itu merupakan motivasi dan dorongan untuk Teme faham dan sedar bahawa segala-galanya adalah datang daripada ALLAH S.W.T.
Jika kita pernah gagal sekali itu bukanlah bermakna kita gagal untuk selama-lamanya. Jangan jadikan kegagalan sebagai noktah untuk kita berhenti menggapai cita-cita dan impian. Tawakkal juga adalah usaha terakhir yang kebanyakkan kita selalu terlupa bahawa ALLAH S.W.T lah yang selayak layaknya untuk menentukan apa sahaja untuk hambanya.
Untuk saya sendiri, saya amat menyukai jalan cerita dan gaya bahasa yang digunapakai. Ada ketika saya berasa seolah-olah berada di tempat Teme sendiri. Suatu ketika pada musim sejuk yang dingin beku. Teme menyelebungi dirinya di bawah selimut dan menggunakan haba dari laptop sahaja. Ini kerana tuan rumah tempat Teme menyewa bilik tidak membenarkan Teme menggunakan alat pemanas yang ada bagi menjimatkan bil elektrik.
Teme juga pernah menangis ketika dalam perjalan pulang ke rumah kerana ada sesuatu yang berlaku. Perasaannya bercampur baur. Sedih dan gembira. Memang terasa menyelinap sungguh ke dalam jiwa!
Kepada sesiapa yang belum lagi berkesempatan membaca buku Pelukis Jalanan ini, boleh lah cari di kedai buku yang berhampiran. Ataupun beli sahaja online di sini : Buku Pelukis Jalanan
0 comments
Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.