Pengalaman membuat "Health Screening" di Beacon Hospital, Petaling Jaya

By Sunday, May 04, 2025

Kali terakhir blog ini dikemaskini adalah pada pertengahan tahun 2024. Baiklah, tanpa melengahkan masa, jom sambung menulis di sini.

Jumaat lepas saya berjaya melakukan saringan kesihatan penuh di Hospital Beacon, Petaling Jaya. Selepas dua tahun bertangguh kerana faktor kesibukan yang ternyata sebenarnya, jika kita merancang dengan baik dan meletakkan sesuatu hal tersebut sebagai proriti . Tidaklah kesibukan itu yang menjadi punca alasan sebenar. 

Duit tabungan pun sudah cukup terkumpul semenjak setahun yang lalu. Saya menganggarkan bahawa kos keseluruhan untuk pakej yang saya ambil adalah sekitar RM1400 sahaja. Ini adalah berdasarkan kepada pengalaman pada tahun 2020 di mana, saringan ini dilakukan di hospital yang sama.

Namun begitu, kos sebenar yang perlu dibayar adalah sedikit tersasar. Mana mungkin harga masih sama  kerana faktor inflasi dan kenaikan harga barangan saban tahun. Pastilah pihak hospital juga perlu menaikkan harga. Ye dak?

Mujur servis nya masih sama dan berkualiti seperti yang pernah dialami sebelum ini. Tinggal hanya, hospital di dalam proses menaik tarafkan bangunan. Menyebabkan, kenderaan perlu diletakkan berhadapan dengan bangunan hospital dan kena melintas jalan. Tapi percuma ya! tak ada bayaran parkir dikenakan. 

Untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar dan habis awal, saya merancang perjalanan dengan keluar dari rumah seawal 6.40 pagi. Sampai di hospital lebih kurang pukul 7.20 pagi dan terus ke tingkat 1 menuju ke jabatan "Health Screening". Ingatkan, boleh dapat nombor giliran 5 -10 orang. Rupa-rupanya, sudah ramai dan mereka  tiba lebih awal dari saya.

Dapatlah no.giliran yang ke- 22. 

Kawasan menunggu agak luas dan selesa. Ada borang yang perlu diisi dan dikembalikan semula ke kaunter apabila nombor giliran kita dipanggil


Kertas ini lebih kurang 'check-point card' kita.  Perlu diserahkan kepada bahagian yang terlibat untuk tujuan pengesahan dan audit supaya tidak ada pemeriksaan yang tertinggal. Jangan risau, sebab ada pekerja hospital yang panggil nama kita dan memantau sejauh mana pemeriksaan yang sudah dilakukan.

Pemeriksaan pertama yang dilakukan adalah ambil darah. Dalam bilik itu, ada tiga orang jururawat yang bertugas. Makanya, tidak lah perlu tunggu terlalu lama dan mereka juga sudah berpengalaman. Sekejap sahaja sudah selesai.

Ujian yang seterusnya adalah pemeriksaan air kencing. Jika ada pembaca yang sudah biasa membuat ujian saringan kesihatan, ini adalah ujian biasa yang sering dilakukan. 

Selesai ambil darah dan air kencing, saya terus makan sarapan pagi kerana ianya termasuk sekali dengan pakej yang diambil. Ini pun salah satu sebab faktor saya memilih Beacon Hospital sebagai tempat untuk melakukan saringan ujian kesihatan.


Air yang tersedia adalah teh 'O', kopi 'O', air panas untuk bancuh air milo. Roti, sekaya. marjerin, gula dan krimer juga disediakan. 

Sedap juga rasa bihun goreng ini. 

Memandangkan saya perlu menjalani "Stress Test" iaitu ujian berlari di atas treadmill. Jadi saya tidak dibenarkan untuk minum air yang mengandungi kafein seperti teh dan kopi. 

Selesai bersarapan, kena buat "pelvis and abdomen ultrasound" pula. Malangnya, doktor minta saya minum air dengan banyak sampai pundi kencing penuh yang rasa sampai nak terkencing. Agak tidak selesa sebab alat scan tersebut akan ditekan-tekan pada bahagian tempat "cesaerian". Luka jahitan tersebut jika ditekan dengan kuat dan berkali-kali memang agak terasa ngilu. Tapi, masih mampu bertahan. Tidaklah terlalu sakit ya..jadi, jangan risau buat ibu-ibu yang seangkatan dengan saya.

Ujian pemeriksaan "chest x-ray' dilakukan di tingkat bawah. Jika pakai rantai hendaklah ditanggalkan terlebih dahulu. Semua jenis pin tudung juga tidak dibenarkan. Ini pun, tidak sampai 5 saat sudah siap selesai.

Baju khas disediakan untuk tujuan Chest-Xray dan Mammogram. Kain selendang berwarna biru disediakan untuk dijadikan sebagai lapik pelindung kerana tidak dibenarkan memakai baju dalam. Ianya bertindak sebagai 'double protection' dan saya suka sangat usaha pihak hospital yang memandang serius isu keselasaan terutamanya buat golongan wanita.

Dalam banyak-banyak ujian pemeriksaan yang dilakukan, ujian pemeriksaan tekanan darah tinggi dan penglihatan  adalah yang paling senang, tak sakit dan relaks diikuti dengan  pemeriksaan air kencing dan 'chest x-ray'

Bagi wanita yang berusia lebih 40-an, amatlah digalakkan untuk membuat ujian Mammogram ini dan tak perlu pun untuk buat setiap tahun. Setiap dua tahun adalah yang terbaik. Berlainan dengan pap smear, yang perlu dilakukan setiap tahun.

Ujian pemeriksaan mammogram di antara yang paling terseksa. Pun begitu, demi menjaga kesihatan untuk diri sendiri dan keluarga tersayang. Haruslah kutempuhi jua...

Alhamdulillah, selesai menjalani pemeriksaan mammogram. Jumpa lagi dua tahun kalau umur panjang dan diberikan rezeki yang mencukupi. 


Minum air kosong berulang kali demi memastikan pundi kencing penuh sambil menunggu giliran untuk 'chest x-ray' dan mammogram. 

Seterusnya, bagi melakukan 'stress test' di atas treadmill. Baju perlu ditukar kepada uniform yang disediakan oleh pihak hospital sekali lagi. Ini adalah kerana, baju yang saya pakai iaitu jersi tidak dibenarkan . Saya terlupa yang baju saya pakai tu, memang susah untuk nurse pasang segala jenis wayar di bahagian dada beserta mesin yang dipakaikan di bahagian badan. Mesin dan wayar tersebut disambung pula ke mesin 'tread-mill'. Jangn risau sebab bilik untuk menukar pakaian serta loker juga ada disediakan. 

Pesanan buat mereka yang ingin melakukan 'stress test' saya nasihatkan untuk biasakan senaman kardio seperti contoh berjogging ataupun 'brisk walk'. Kalau dapat jalan dekat kawasan yang berbukit lagi bagus sebab 'treadmill' tu mendongak ke atas. Ibarat kita berjalan mendaki bukit. Sebab bila 3 minit yang terakhir tu, memang mesin akan bergerak dengan agak laju, menyebabkan kita perlu jogging secara perlahan ( Slow Jog ).

InshaALLAH, kalau selalu buat senaman dengan kerap. Mesti boleh lalui ujian 'stress test' ini dengan tenang. Dan jangan risau sebab jururawat akan sentiasa berada di sisi  dan bertanya keadaan kita. Tekanan darah tinggi juga diambil ketika ujian 'stress test' ini dijalankan. 
 
Selesai ujian 'stress test', saya melakukan ujian 'pap smear'. Ujian ini juga penting bagi golongan wanita terutamanya yang berusia 40 tahun ke atas. Kepada yang pernah buat, pasti faham bagaimana proses ianya dilakukan dan bagaimanakah perasaannya ketika ujian ini dilakukan. 

Selesai semua ujian pada pukul 11.40am dan kemudian hidangan tengahari dihidangkan. Nasi tomato bersama ayam masak merah menjadi santapan kami semua. Senang kan? sebab tak perlu untuk ke kafe sebab ada di antara kami yang masih belum siap sepenuhnya ujian-ujian pemeriksaan. Jadi bila nama dipanggil, kita pun sentiasa sedar dan tahu apa nak buat. 

Makanan tengahari yang sangat sedap. Boleh tambah kalau nak yer..

Akhirnya selepas menunggu lebih kurang 1 jam lebih, saya dipanggil untuk berjumpa dengan doktor bagi membincangkan hasil keputusan daripada ujian pemeriksaan yang telah dilakukan.

Saya sudah menganggak dari awal tentang ujian keputusan bacaan ujian kolestrol saya. Seingat saya, ketika umur saya ketika itu 24 tahun, doktor juga telah memberitahu yang bacaan kolestrol saya tinggi. Tetapi ketika itu, saya tiada sebarang kesedaran. Umur masih muda dan rasa teruja mendapat pekerjaan dengan syarikat PETRONAS melebihi kerisauan doktor tersebut. Hahaha!

Selepas menjangkau usia lewat 30an, saya baru sedar dan mahu kembali ke pangkal jalan. Pernah juga jaga pemakanan dan melakukan senaman dengan agak kerap. Hasilnya, memang bacaan kolestrol saya turun. Tetapi, selepas beberapa waktu. Saya lalai dan faktor kesibukan menguruskan anak-anak, dan sekarang saya bekerja semula sebagai R.A menyebabkan rutin tersebut hanya tinggal kenangan.

Saya masih bersenam tetapi tidak sekerap dahulu. Bab makan pula, saya tidak ambil kisah. Mana yang ada di hadapan mata, itu yang saya pilih. Apatah lagi, menu di kebanyakan kedai makan kesemuanya yang bergoreng. Saya hanya mampu menjaga kuantiti dan kawal pengambilan gula. Air memang selalunya saya akan order air kosong ataupun yang tiada gula. 

Cuma doktor ada juga beritahu, berdasarkan keputusan analisis LDL, HDL tu semua. Kemungkinan, faktor genetik adalah penyumbang utama kepada kadar kolestrol yang tinggi itu.

Nampaknya, saya perlu kembali ke pangkal jalan. Cuma persoalan, mampu kah aku ? bermain di fikiran. Kepada yang nak tahu lebih lanjut pakej yang saya ambil ini. Jemput lah klik link di bawah ini ya :

                                     Pakej saringan ujian kesihatan wanita atas 40 tahun.


Siapa yang masih tercari-cari lagi mana hospital yang sesuai untuk buat 'health screening' boleh la cuba di Beacon Hospital, Petaling Jaya. Nak buat temujanji pun senang. 

Semoga hantaran kali ini dapat memberikan manfaat buat semua pembaca di luar sana. Khasnya buat golongan wanita / isteri / ibu.


You Might Also Like

0 comments

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.