Selepas pertama kali saya dan seorang sahabat menaiki ETS pada tahun 2019. Kali ini saya pergi bersama anak-anak pula.
Destinasi kami adalah ke Perai dan stesen ETS yang terhampir adalah Bukit Mertajam. Pencarian tiket secara dalam talian telah saya mulakan lebih kurang seawal dari tarikh kami berlepas. Risau tiket habis memandangkan minggu tersebut adalah minggu cuti persekolahan penggal.
|
Sarapan di KFC, KL Sentral. Satu aras dengan ruang menunggu ETS.
|
|
Semua ini bag kami
|
Cara pembelian tiket secara online juga sangat mudah. Boleh pergi sahaja ke lawan sesawang KTM :
https://online.ktmb.com.my
dan masukkan tarikh , destinasi serta jumlah penumpang. Saya
mencadangkan agar lebih baik jika anda terus mendaftarkan diri sebagai
ahli untuk kemudahan pada masa hadapan. Apatah lagi jika anda seorang
yang kerap berjalan menggunakan perkhidmatan ETS ini.
Alhamdulillah,
Berjaya juga mendapatkan tiket untuk tarikh yang kami kehendaki. Saya memilih servis Platinum dengan harga tiket sehala RM80 untuk dewasa dan kanak-kanak RM44.
Untuk pemilihan tempat duduk. Saya telah memilih Koc B dan tempat duduk yang bernombor 1B,1A dan 2B,2A untuk ke Bukit Mertajam dan semasa pulang , saya memilih tempat duduk 10C,10D dan 11C, 11D.
Jika berempat dan tidak kisah untuk duduk bertentangan dengan arah perjalanan, boleh pilih tempat duduk yang ada meja khas sesuai untuk empat penumpang. Dua orang penumpang akan mengikut arah dan lagi dua orang penumpang akan melawan arah pergerakan. Tempat duduknya adalah bernombor 9 dan 10.
|
Sebagai rujukan untuk pemilihan koc |
Mungkin saya akan memilih koc D atau E pula pada masa hadapan. Paling penting untuk saya adalah kedudukan kerusi yang tidak bertentangan dengan arah pergerakan keretapi. Jika tidak, kemungkinan saya akan pening. 😖
Jika mahu yang lebih selesa dan semua kedudukan kerusi mengikut arah pergerakan keretapi, boleh juga memilih tempat duduk business. Harganya dalam RM100++. Bergantung kepada destinasi yang kita tuju.
Kelebihan untuk tempat duduk business ini adalah lebih luas, privacy dan semua tempat duduk adalah sehala sahaja. Tempat menunggu di KL Sentral juga disediakan khas untuk pemegang tiket business.
Apa yang menarik ketika pemilihan tiket dalam talian adalah, kita boleh semak samada lelaki ataupun perempuan yang akan duduk bersebelahan dengan kita nanti. Jika tidak selesa duduk bersebelahan dengan berlainan jantina, boleh lah pilih yang sama jantina.
Tempat letak bag juga disediakan. Jika memilih kerusi bernombor 1 dan 2. Ada tempat kosong di belakang untuk letak bag. Ataupun boleh pilih tempat duduk nombor 15 dan 16 untuk tempat letak bag yang ada rak besi. Bahagian atas tempat duduk penumpang juga ada disediakan kemudahan untuk letak bag.
Kalau lapar atau teringin menghirup air kopi panas bolehlah menjengah ke kafe yang terletak di koc E. Pemilihan makanan tidaklah begitu banyak. Antaranya adalah nasi goreng, keropok lekor, sandwich telur dan keju. Air sejuk pula, ada air mineral dan 100 plus. Air panas, ada air bancuhan 3 dalam 1.
Harga untuk sebekas nasi goreng biasa pada tahun 2022 adalah RM10. Agak mahal kerana kandungan nasi nya tidak berbaloi dengan harga yang dibayar. Kalau di Safren kedai mamak kegemaran kami, nasi goreng ayam RM9.50 tetapi isinya banyak dan ayam goreng pun seketul besar. Boleh dikongsi dua orang.
Untuk sandwich pula, kalau tidak silap saya. Harganya sebungkus adalah RM4.80. Kalau terdesak dan saja ingin mencuba, boleh lah kawan-kawan beli. Saya pun tak sangka harganya sudah meningkat. Inilah namanya Inflasi. Lain kali, boleh bungkus siap-siap makanan di luar kerana ETS membenarkan makanan luar untuk dibawa masuk. Mungkin mereka juga tidak banyak makanan dan minuman yang disediakan.
|
Umair dan Uwais menikmati sandwich sambil melihat pemandangan di luar. |
|
Sedang membayar harga sebungkus sandwich
|
Pada pendapat dan pengalaman saya, perjalanan kami menaiki ETS sangat selesa memandangkan tempat duduknya boleh dilaraskan jika mahu bersandar dan tidur. Meja yang bersambung dengan kerusi juga disediakan. Tempat untuk mengecas telefon pintar juga ada di bawah tempat duduk ( soket tiga pin kalau saya tidak silap ).
Semasa pergi, tidaklah berasa sejuk sangat. Tetapi, ketika pulang terasa juga suhu hawa dinginnya agak sejuk. Mujur anak-anak bawa baju sejuk. Tidak pasti adalah suhu tersebut dilaraskan mengikut cuaca di luar. Ataupun tempat duduk?
Perlu diingatkan agar penumpang berada di platform 15 minit sebelum keretapi ETS tiba. Kami sampai 1 jam lebih awal dari masa bertolak kerana mahu bersarapan dahulu dan lebih tenang menunggu. KFC menjadi pilihan saya dan anak-anak.
|
Aktiviti di dalam ETS
|
Jadi, berbaloi kah menaiki ETS berbanding memandu?
Jawapan saya, ianya bergantung kepada keutamaan dan perancangan kewangan masing-masing.
a) Jarak perjalanan :
Jika kawan-kawan tinggal jauh dari mana-mana stesen ETS. Ianya mungkin agak tidak berbaloi. Perlu difikir juga kos tambang dan tenaga yang terlibat. Lagilah kalau berjalan bersama anak-anak kecil.
b) Barang banyak :
Kalau sejenis nak bawa banyak barang juga tidak digalakkan menggunakan ETS. Contohnya : nak bawa toto, bantal busuk, selimut, periuk nasi dan kuali.
Saya sendiri mengorbankan kasut untuk dipakai ketika majlis kenduri yang akan saya hadiri. Saya hanya membawa sepasang kasut yang disarung di kaki dan ianya adalah kasut sukan.😂Kerana pada saya, keselesaan itu lebih penting dan ada juga perancangan mahu berjogging.
c) Elak kesesakan lalulintas :
Sebenarnya, ini adalah BIG WHY kenapa saya memilih ETS . Ianya sangat digalakkan kerana tiada kesesakan lalulintas yang berlaku ketika perjalanan. Rumah - KLSentral : 30minit. KL Sentral - Bukit Mertajam : 4 jam. Bukit Mertajam - rumah adik : 15min.
Jumlah masa perjalanan : 4 jam 45 minit
Jika memandu dari rumah sehingga ke destinasi terakhir adalah lebih kurang jam 4 jam tanpa berhenti berehat ataupun tiada kesesakan lalulintas. Kami pernah sekali memandu kereta dan masa yang diambil lebih kurang dalam 6 jam. Waktu ini kalau tidak silap saya juga cuti sekolah pada bulan 12 yang lepas.
Agak kepenatan jugalah dibuatnya. Itupun kami sudah bertukar-tukar pemandu.
Memandangkan suami tiada di sisi ketika ini. Jadi, saya kurang berani untuk memandu berseorangan bersama anak-anak ke tempat yang jarang saya pergi. Jauh pula tu kan.
d) Kos :
ETS platinum dua dewasa dan kanak-kanak pergi balik dari KL Sentral - Bukit Mertajam : RM500
GrabCar 6 seater ( Rumah - KL Sentral ) : RM41.00
GrabCar 6 seater ( KL Sentral - Rumah ) RM75.00 ( Pulang pada pukul 5.30pm ketika jalan raya sesak)
Total : RM616.00
*Kos ini mungkin kami boleh kurangkan jika memilih waktu balik yang lebih selamat.
Kesimpulannya, pilihan di tangan masing-masing. Baik untuk saya, tidak semestinya baik untuk kawan-kawan di luar sana.
Perjalanan dan pengalaman ini saya coretkan supaya boleh dijadikan panduan buat sesiapa yang mahu mencuba perkhidmatan ETS.
Semoga bermanfaat buat semua.