Review Buku Novel Sultan Muhammad Al-Fateh
Saya agak teruja apabila dapat membaca kisah Sultan Muhammad Al-Fateh di dalam sebuah buku novel yang ditulis oleh Saudara Abdul Latip Talib.
Asalnya, saya hanya menyelak beberapa helaian muka surat sahaja. Tetapi, terus jatuh cinta untuk tahu dengan lebih lanjut kisah Sultan yang sangat terkenal ini.
Gaya penulisan dan olahan yang dibuat oleh penulis tidak bosan dan membaca bukunya membuatkan saya seolah-olah sedang menonton wayang setiap babak-babak yang dipamerkan.
Buku ini sesuai dibaca untuk kanak-kanak ( 10 tahun ke atas ) remaja dan orang dewasa. Setakat ini saya dan Umair yang sudah habis membacanya.
Sebenarnya ini buku ke-tiga yang saya ada bertemakan biografi. Buku pertama yang saya beli adalah tentang Nabi Muhammad S.A.W. Seterusnya buku tentang Tun Dr Mahathir Mohamad dan yang terkini adalah buku Sultan Muhammad Al-Fateh.
Di dalam buku ini juga terdapat beberapa orang penting yang memainkan peranan dalam mendidik dan membesarkan Sultan Muhammad Al-Fateh. Pastinya kisah hidup beliau dari zaman kecil lagi sudah diasuh dengan sebaik-baik mungkin oleh kedua ibu-bapanya.
Hebatnya Sultan Muhammad Al-Fateh kerana mempunyai sifat peribadi yang unggul. Beliau menguasai banyak bahasa dan menjadi sultan pada usia remaja ( 16 - 19 tahun ).
Diselitkan juga sedikit kisah tentang salah seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang masih hidup ketika zaman pemerintahan Muawiyah.Pada ketika itu umurnya sudah hampir mencecah 100 tahun.
Abu Ayub Al-Ansari berasal dari Kota Madinah, beliau berketuruan Ansar. Rumahnya di Madinah pernah dijadikan tempat tinggal sementara untuk Nabi S.A.W.
Percubaan demi percubaan untuk menakluki Kota Konstatinopel semenjak dari zaman para sahabat Nabi S.A.W tetapi menemui kegagalan.
Strategi peperangan Sultan Muhammad Al-Fateh ketika itu sememangnya sama seperti strategi peperangan ketika zaman Nabi Muhammad S.A.W. Perkara pertama yang dilakukan adalah dengan cara yang baik. Iaitu mengajak Maharaja / pemerintah untuk memeluk Islam terlebih dahulu.
Selain itu, Sultan Muhammad Al-Fateh juga meniru cara peperangan Nabi S.A.W . Beliau memasang ratusan pelita / lampu dan membuat bising pada waktu malam supaya pihak musuh berasa gentar dan takut. Dengan cara ini, pihak musuh menyangka bahawa orang Islam lebih ramai daripada mereka.
Antara lain adalah kisah si pembuat senjata meriam yang bernama Urban. Nama meriam itu juga diambil sempena nama si pembuatnya yang berasal dari Negara Hungary. Teknologi dan kepakaran meriam itu mampu merobohkan kubu Kota Konstantinopel.
Babak yang paling saya tidak dapat lupakan di dalam buku ini adalah ketika Sultan Muhammad Al-Fateh mendapat ilham dari mimpinya bagaimana untuk mengalihkan semua kapal-kapalnya untuk masuk ke kawasan perairan Tanjung Emas.
Berkali-kali usaha tentera Islam menemui kegagalan kerana hebatnya sistem kubu / tahanan pihak lawan. Mereka memasang pagar berduri di bawah permukaan air. Sekiranya ada yang cuba mengangkat pagar tersebut, ada penggera yang berbunyi seterusnya menyebabkan tentera musuh menyedari mereka diancam.
Akhirnya, taktik tentera Sultan Muhammad Al-Fateh iaitu membawa sebanyak 70 buah kapal dari Selat Bosporus ke Tanjung Emas melalui bukit yang tinggi dengan jarak hampir 5km!Semuanya berlaku dalam satu malam.
Laungan takbir dan gema sorakan kemenangan meliputi ruang angkasa Kota Konstantinopel. Suasana ini mendatangkan gemuruh di dalam hati pihak musuh.
Pengakhiran kisah beliau sudah pasti dengan kematian. Tetapi, saya agak terkejut dan sedih kerana beliau sebenarnya mati bukan di medan peperangan.
Kalau ingin tahu apakah yang berlaku terhadap Sultan Muhammad Al-Fateh, sila dapatkan buku ini dan bacalah sendiri.
Menonton Cerita Sultan Muhammad Al-Fateh di Netflix.
Rise of Empires : Ottoman
0 comments
Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.