Harga Emas Menjunam ke RM491/g: Apa Sebenarnya yang Berlaku?

By Friday, June 27, 2025 , ,


Fokus kepada garisan yang berwarna kuning

Minggu ini, harga emas mencatatkan penurunan ketara dan kini berada pada paras RM491 per gram. Ini agak mengejutkan, memandangkan minggu lalu harga menunjukkan peningkatan, dan lebih ketara apabila dibandingkan dengan paras tertinggi RM533 per gram pada 22 April lalu. Apa sebenarnya yang sedang berlaku?

Kalau ikut logik biasa, bila berlaku peperangan atau ketegangan politik, harga emas selalunya naik. Ini kerana emas dianggap sebagai “safe haven” – tempat pelabur berlindung apabila ekonomi dan politik global bergoncang. Contoh klasik ialah semasa krisis kewangan atau ketegangan antara negara, harga emas biasanya melonjak kerana ramai pelabur beralih kepada logam berharga ini.

Namun kali ini, sebaliknya pula yang berlaku. Ketika konflik antara Iran dan Israel kembali memuncak, harga emas menurun. Ini menimbulkan persoalan: Kenapa pelabur tidak lagi melihat emas sebagai pilihan utama saat dunia sedang bergolak?

Jawapannya berkait rapat dengan perkembangan politik Amerika Syarikat, khususnya selepas Donald Trump kembali berkuasa sebagai Presiden. Pada 24 Jun 2025, Trump mengumumkan satu genjatan senjata antara Iran dan Israel.

Kenyataan Trump ini telah mengubah sentimen pasaran secara drastik. Pelabur melihat kemungkinan konflik ini akan mereda, lalu mula meninggalkan emas dan kembali melabur dalam aset berisiko seperti saham dan dolar AS. Akibatnya, permintaan terhadap emas menurun dan ini menyebabkan harga jatuh ke paras terendah dalam tempoh dua minggu.

Namun begitu, perlu diingat bahawa tindakan Trump bukanlah jaminan kepada kestabilan. Sepanjang pentadbiran pertamanya dahulu, dasar luar beliau sering dilihat tidak konsisten dan agresif, seperti dasar “maximum pressure” terhadap Iran yang banyak merosakkan peluang diplomatik. Hubungan USA dengan Israel juga sering dipersoalkan kerana dilihat berat sebelah dan menambah bara dalam konflik Timur Tengah.

Jadi, walaupun pasaran kelihatan tenang buat seketika, kegusaran terhadap dasar luar AS masih ada. Dunia masih tidak pasti sama ada genjatan senjata ini benar-benar akan bertahan atau sekadar strategi politik jangka pendek. Dalam ketidaktentuan sebegini, emas tetap dianggap sebagai aset pelindung dalam jangka panjang.

Jika kita melihat kembali sejarah, kisah rakyat Vietnam semasa era perang menjadi contoh terbaik. Ramai yang terpaksa melarikan diri dan hanya bergantung kepada emas sebagai pelindung kekayaan — mudah dibawa, boleh ditukar di mana-mana, dan kekal bernilai walau di negara asing.


Lembaran emas Kim Thanh tulen dalam pembungkusan asal, berat sekitar 37.5g (1.2057 oz), dengan tanda “OR PUR” dan cap bandar seperti Saigon, Hong Kong, Hanoi, Phnom Penh. Sumber : rarecoincollector


Begitu juga hari ini. Walaupun dunia lebih moden, sistem kewangan lebih canggih, dan pelaburan makin pelbagai, peranan emas tidak pernah hilang. Ia bukan sekadar logam, tapi simbol kestabilan dalam dunia yang sentiasa berubah-ubah.

Kesimpulan

Penurunan harga emas minggu ini bukan semata-mata soal ekonomi, tetapi juga refleksi kepada ketidaktentuan geopolitik dunia. Konflik Iran-Israel, pengaruh Trump, dan ketidaktentuan dasar global semuanya saling berkait. Apa pun keadaannya, emas kekal sebagai aset bernilai – mungkin bukan untuk hari ini, tetapi pasti berguna saat kita benar-benar memerlukannya.


You Might Also Like

0 comments

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.