Kisah Hijrah Nabi S.A.W yang panjang
By NanyFadhly Friday, July 21, 2023 Sirah
Cerita Hijrah Nabi S.A.W adalah satu perjalanan yang sangat susah dan penuh liku. Terngiang-ngiang lagu nasyid “Awal Muharram” yang famous tu. Terus saya terbayang segerombolan manusia berjalan beramai-ramai berlatarkan padang pasir menuju ke suatu destinasi.
Hijrah yang pertama pada zaman Nabi S.A.W adalah ke Habasyah sebanyak 2 kali kerana waktu itu orang Muslim dibuli dan diancam teruk oleh orang Musyrikin di Mekah.
Pun begitu, Nabi S.A.W dan beberapa orang sahabat seperti Abu Bakr dan Ali tidak ikut serta. Lepas Khadijah dan Abu Talib meninggal dunia. Abu Lahab, adik kepada Abu Talib ambil jawatan ketua Banu Hashim. Malangnya lepas beberapa minggu jaminan perlindugan keluarga untuk Nabi S.A.W ditamatkan oleh Abu Lahab. Kiranya Nabi S.A.W telah dibuang keluarga sendiri.
Jadi Nabi S.A.W pun pergi la ke Thaif untuk mencari perlindungan. Tapi tak berjaya. Lepas tu balik ke Mekah tanpa jaminan keselamatan. Nabi S.A.W pun try minta perlindungan daripada beberapa Menteri Kanan Mekah yang kesemuanya adalah non-muslim. Akhirnya, seorang yang berjiwa negarawan bernama Mut’im Ibn Addiy menerima permohonan ini dan Nabi S.A.W berada di bawah perlindungannya selama beberapa tahun.
Semasa bulan Haji, tahun ke-11 kenabian. Nabi S.A.W dengan sahabatnya, Abu Bakr mula mencari ‘Ansar’ sebab Nabi S.A.W tak nak lah selamanya berada di bawah perlindungan Mut’im.
Ibadah Haji pada masa zaman itu juga dihadiri oleh orang yang bukan Islam dari pelbagai tempat. Sebanyak 12 cubaan rundingan untuk Nabi S.A.W jadikan mereka ‘Ansar’ tetapi semua pun tak berjaya. Ada yang minta nak jadi raja selepas Nabi S.A.W wafat dan ada yang tolak mentah-mentah tanpa sebarang rundingan.
Akhirnya, Nabi S.A.W bertemu dengan Jemaah dari Madinah. Masa ini ada 6 orang puak Khazraj. Mereka semua faham situasi Nabi S.A.W dan janji nak datang balik pada musim Haji tahun hadapan.
Antara sebab mereka mudah untuk menerima Nabi S.A.W adalah kerana adanya hubungan kekeluargaan. Moyang Nabi S.A.W adalah berasal daripada Madinah. Iaitu Banu Najar di Kuba’.
Seperti yang dijanjikan mereka datang kembali ke Mekah dan berjumpa dengan Nabi S.A.W. Perbincangan dibuat dan akhirnya keputusan dicapai. Termetrai lah perjanjian yang dinamakan perjanjian Aqabah yang pertama. Seramai 12 orang yang terlibat iaitu 10 Khazraj dan 2 Aus.
Pada 13 tahun kenabian, Nabi S.A.W berjumpa lagi dengan 75 orang lalu termetrailah perjanjian Aqabah yang kedua pula. Maka bermulalah proses perpindahan para sahabat dari Mekah ke Madinah. Mus’ab Bin Umair dihantar oleh Nabi S.A.W ke Madinah sebagai pendakwah pertama .
Lebih kurang selepas 2 bulan para sahabat pindah ke Madinah sedikit demi sedikit, barulah tiba giliran Nabi S.A.W pula ke Madinah. Perjalanan Nabi S.A.W dan Abu Bakr bermula pada 26 Safar bukannya pada bulan Muharram dan mereka sampai di Madinah pada bulan RabiulAwal.
Kenapa Muharram dijadikan sebagai bulan permulaan dalam tahun Islam ?
Antara Tarikh-tarikh lain yang para sahabat berbincang untuk
menjadikannya sebagai bulan permulaan bagi tahun Islam :
1) Bulan Nabi S.A.W lahir
2) Bulan Nabi S.A .W dilantik menjadi Rasul
3) Bulan Nabi S.A.W berhijrah
4) Bulan Nabi S.A.W wafat
Tarikh Nabi S.A.W lahir dan dilantik menjadi Rasul ditolak oleh para sahabat sendiri kerana jaraknya terlalu lama berlaku. Jadi, mereka ada perselisihan pendapat. Terutamanya Tarikh lahir kerana bukan budaya orang Arab ketika itu suka untuk mengingati tarikh lahir seseorang.
Pilihan yang ada hanya tinggal dua sahaja. Samada tarikh Nabi S.A.W wafat ataupun berhijrah. Kedua-duanya sahabat yakin dan tiada sebarang perselisahan pendapat tentang bila tarikh kedua-dua peristiwa itu berlaku.
Memilih tarikh Nabi S.A.W wafat tidak sesuai. Sebabnya takkan setiap kali umat Islam meraikan tahun baru mereka perlu bersedih kerana ianya bersangkut paut dengan tarikh ulang tahun kewafatan Nabi S.A.W.
Jadi yang tinggal adalah tarikh bila Nabi S.A.W berhijrah. Sebenarnya, Nabi S.A.W berhijrah pada akhir bulan Safar bersama dengan seorang sahabat nya iaitu Abu Bakr. Malah sahabat-sahabat tahu hal ini.
Jadi kenapa bulan Muharram juga yang dipilih?
Ini kerana Bulan Muharram muncul selepas bulan Zulhijjah. Bulan Zulhijjah merupakan detik umat Islam mengerjakan Ibadat Haji. Saydina Umar Al-Khattab melambangkan ianya sebagai pemisahan antara Hak dan Batil
Simboliknya adalah apabila umat Islam habis mengerjakan Haji dan pulang ke tempat masing-masing pada bulan Muharram, maka bulan itu merupakan permulaan baharu untuk menjadi yang lebih baik pada tahun berikutnya.
Detik Zuhijjah dan Muharram pula adalah di mana persiapan awal dan rapi dilakukan. Termasuklah misi mencari Ansar, perjajian Aqabah, Nabi S.A.W hantar Mus’ab Bin Umair ke Madinah sebagai ‘guru agama Islam’ di sana.
Sehinggalah strategi mengelirukan Musyrikin dengan menggantikan Ali B. Abu Talib di tempat tidur Nabi S.A.W sendiri kerana ancaman bunuh.
Begitulah kisah penghijrahan Nabi S.A.W dan para sahabat yang penuh dengan strategi dan cabaran. Sehingga akhirnya Islam mencapai kemenangan dan tersebar dengan luas pada ketika itu.