Resepi asal pencarian di Google adalah "Kek coklat berhantu". Berhantu apabila saat sesudu kek ini masuk ke mulut, rasa seperti tidak mahu berhenti untuk menyuap buat kali ke dua, tiga dan empat. Mungkin lebih sesuai jika kek coklat ini diberikan nama "kek coklat kerasukan".
Apapun, ternyata ini adalah kek coklat paling sedap pernah saya hasilkan. Krim keju di tengah bersama salutan sos coklat pada permukaannya yang berkilat, bersinar dan melimpah ruah mampu menggoda para penonton yang melihat.
Cara memasak kek ini juga mudah sahaja kerana menggunakan teknik mengukus. Kebiasaannya, jika kek dimasak menggunakan oven, sering juga kita dengar keluh kesah berlakunya perkara buruk kepada kek mereka.
Seperti contoh, lekukan pada permukaan kek ataupun, kek membentuk dua lapis bahagian. Bahagian pertama teskturnya halus dan gebu manakala bahagian kedua pula menghasilkan tekstur yang padat dan lembap seperti tanah liat.
Boleh kemurungan dibuatnya.
Berlainan dengan mengukus. Tidak banyak perkara yang perlu dijaga atau diambil berat dalam pengendalian periuk pengukus.
Baiklah, mari kita lihat dan semak bahan-bahan untuk membuat kek coklat kukus lemak berkrim kegemaran semua. Resepi asal saya ambil dari sini : https://www.seminitresepi.com/resepi/c/0/i/17351329/kek-coklat-berhantu
Bahan-bahan A :
1 cawan minyak sayuran - saya guna light olive oil
1 cawan susu segar
1/2 cawan susu pekat - saya kurangkan menjadi 3/4 cawan
1 cawan serbuk koko
1 cawan gula kastor - saya kurangkan menjadi 3/4 cawan
2 biji telur
Bahan-bahan B :
1 cawan tepung kek
1 tbsp serbuk penaik ( baking powder )
Bahan-bahan untuk krim keju :
250 gram krim keju
500 gram whipping cream - saya rasa terlalu banyak. Mungkin selepas ini dikurangkan menjadi 300gram ataupun 400 gram.
4 tbsp susu pekat manis - juga saya kurangkan menjadi 2 tbsp
Bahan-bahan untuk sos coklat :
100 gram coklat masakan
100 gram whipping cream
1 tsp nutella - tak letak
1 tsp glucose - tak letak
* Setelah sos coklat ini dicurahkan pada 2 biji kek ianya tidak cukup untuk 2 biji kek yang lain. Jadi, saya kena buat sekali lagi sos coklat ini. Jadi, saya sarankan gandakan sahaja bahan-bahan di atas untuk penjimatan masa.
Kaedah memasak kek :
1) Satukan kesemua bahan-bahan (A) di dalam periuk yang sesuai. Kacau-kacau sehingga semua bahan sebati. Kemudian, panaskan bahan-bahan tersebut di atas api yang sederhana sehingga semuanya cair dan tiada gumpalan atau ketulan yang terlihat. Masak sekejap sahaja ya! jangan sampai mendidih, takut nanti bencuhan bertukar menjadi bubur coklat.
2) Kemudian, tuangkan bahan-bahan (B) ke dalam periuk yang mengandungi bahan-bahan (A). Tuang sedikit demi sedikit dan kacau sehingga kesemuanya menjadi satu bancuhan kek. Pastikan tiada ketulan.
3) Perlahan-lahan, tuangkan bancuhan kek di dalam bekas yang bersesuaian. Pastikan aras bancuhan kek tidak melepasi 3/4 daripada ketinggian bekas. Jika tidak, kek yang terhasil akan seperti Gunung Kinabalu ataupun Gunung Fuji yang sukar untuk ditarah.
4) Tempoh memasak kebiasaannya dalam 30 - 45 minit. Bergantung kepada bekas yang digunakan. Lagi kecil, lagi cepat tempoh memasak.
5) Apabila sudah masak, biarkan kek sejuk dahulu. Nanti senang untuk kek dipotong pada bahagian tengah. Kek ini walaupun sudah sejuk tetapi ianya sangat lembut dan sensitif. Fragile dalam bahasa Inggerisnya.
Kaedah membuat krim keju:
1) Biarkan krim keju pada suhu bilik dalam tempoh 20-30 minit. Kemudian, satukan dengan susu cair . Putar sehingga kedua-duanya bersatu. Masukkan pula whipping cream dan putar lagi sehingga menjadi agak pekat. Apabila adunan sudah pekat, sila berhenti serta merta kerana aduanan akan menjadi cair jika diputar dengan lebih lama.
Kaedah membuat sos coklat :
1) Campurkan kesemua bahan ke dalam bekas yang tahan panas microwave.Panaskan lebih kurang seminit. Kacau-kacau sehingga semuanya sebati.
Potong kek pada bahagian tengah. Kemudian, letakkan sos krim cheese.Lagi banyak lagi sedap. Kemudian, letakkan lapisan kek satu lagi ke atasnya. Sepukan lagi sos krim cheese dan akhirnya, tuangkan sos coklat untuk melitupi sos krim keju tadi.
Masukkan satu / dua sudu krim keju ke dalam 'piping bag' dan picitkan ke atas permukaan sos coklat. Gunakan lidi sate untuk membuat corak yang sesuai.
Saya sarankan agar kek ini disejukkan dahulu di dalam peti ais sebelum dapat dinikmati. Sedap sangat sehingga menjilat sudu!
Selamat mencuba semua.