Hari Penentuan

By Friday, May 21, 2021

Hati sudah tidak keruan semenjak siang lagi. Malam menjadi gundah gelana kerana memikirkan pertarungan untuk esok hari.
 
Dek kerana tidak mahu terlalu memikirkan tentangnya. Saya teruskan sahaja bacaan tadarus online malam itu. Usai tadarus, dengan berat hati saya mengangkut bag tarik ke dalam bilik dan perlahan-lahan tangan mula mencapai pakaian.
Sehelai demi sehelai dilipat dan dimasukkan ke dalam bag.
Hati berkata tidak. Tetapi akal memandu saya untuk bertindak mengikut kewajaran.
 
Seawal jam 7.30 pagi, saya dan Uwais bergerak ke CAC ( Covid Assessment Centre ) di Stadium Shah Alam. Sebelum bertolak, lokasi di Google Map ditetapkan.
 
Jalan mula sibuk apabila kereta memasuki LDP. Dada terus berdebar, peluh merecik dek kerana penghawa dingin ditutup. Tingkap dibuka seluas-luasnya. Asap kereta berkepul-kepul masuk. Mujur lah kami memakai pelitup muka.
 
Kereta yang sesak, motosikal yang bertali arus datang dari arah belakang menyebabkan saya perlu fokus memandu. Susahnya nak belok ke kiri.
 
Lagi 1km saya akan sampai ke destinasi. Lampu isyarat yang berhenti terasa sungguh lama. Luar panas, dalam pun panas. Pemanduan diteruskan seperti biasa. 
 
Tiba-tiba, google map menyuruh saya membuat pusingan U. Aduhai...terlepas simpang ke ni?
Rasa nak menangis.
 
Mujur sudah tidak jauh dari lokasi Stadium. Syukur kami sampai dengan selamat. Tarik nafas lega sekejap. Arahan seterusnya, kami perlu beratur di luar. Ramai sungguh yang positif Covid-19. Kanak-kanak, bayi, dewasa dan orang tua. Semua pun ada.
Walaupun di dalam stadium itu besar. Tetapi, boleh terasa bahangnya. Kami tidak perlu menunggu lama kerana pihak sekolah sudah menetapkan laluan khas. 
 
Ada beberapa kaunter termasuk pendaftaran, pemeriksaan suhu badan dan aras oksigen.
Setelah selesai, penantian bersambung lagi di kaunter yang seterusnya. 
 
Kaunter penentuan di mana Uwais akan dikuarantin. Masa ini rasa seperti seolah-olah berada di Mahkamah. Menunggu Tuan Hakim menjatuhkan hukuman.

"Kuarantin di mana?" Soalan pertama doktor. 
 
"Di bilik atas, dalam rumah" . Saya menjawab.
 
"Makan macamana?"
 
Kali ini doktor bertanya kepada Uwais pula. Beliau memandang ke arah Uwais dan mata mereka bertentangan. Dalam hati saya berdoa supaya Uwais yakin menjawab soalan dengan betul.
 
"Mama ketuk pintu, letak makanan di luar"
 
Fuh..lega.
 
"Mama masuk dalam bilik tak?"
 
"Ada orang di luar bilik?"
 
"Baju kotor letak di mana?"
 
Bertubi-tubi soalan ditanya pada si anak. Mujur jawapannya memuaskan hati doktor. Untuk menambahkan garam dan perasa, saya menambahkan cerita.
 
Saya tunjuk gambar keadaan Uwais di dalam bilik melalui CCTV yang ada. Saya jelaskan dengan terperinci bagaimana S.O.P kami di rumah. Lagaknya seolah-olah saya inilah doktor dan doktor di hadapan itu pesakit Covid. 
 
"Jadi mahu kuarantin di rumah?
 
"Ya Doktor!"
 
"Sekejap, saya mahu berbincang"
 
Kurang dari 5 minit doktor tersebut kembali semula. 
 
"Okay boleh"
 
Bagaikan ada batuan besar di bahu yang sudah diangkat. Alhamdulillah...syukur!

 

You Might Also Like

2 comments

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.