Walaupun sudah tidak lagi meletakkan sebarang impian atau azam sepanjang tahun 2022, namun masih ada juga beberapa perkara yang saya kirakan ianya suatu pencapaian buat diri saya.
Apa yang telah saya ubah dari kebiasaan adalah menukarkan azam tahunan kepada harian ataupun mingguan ataupun bulanan. Dengan cara ini, ianya lebih mudah dan praktikal untuk saya cuba capai.
Memasuki tahun 2023 menyedarkan saya bahawasanya usia kita semakin meningkat maka semakin dekatlah masa kita dengan kematian.
Saya juga terfikir, Apakah pencapaian saya sepanjang tahun 2022 ? dan adakah selama ini semua pencapaian tersebut dapat memberikan manfaat kepada saya, suami, ibu-bapa, anak-anak, adik-beradik dan yang pasti saham di akhirat sana.
Keibubapaan ( Parenting )
Ianya suatu perjalanan yang panjang dan adakalanya memenatkan jiwa dan fizikal. Semasa anak-anak kecil, cara mendidiknya lain. Ketika kita masih muda dan bertenaga manakala mereka semua nampak comel dalam apa juga keadaan.
Apabila anak-anak sekarang meningkat remaja . Kita perlukan lebih banyak unsur kesabaran dalam memilih bahasa yang sesuai dan kena dengan jiwa mereka.
Saya juga masih menimba ilmu dan banyak mendengar ceramah / membaca tips di internet dan buku dalam menjalankan tugas sebagai seoarang ibu. Apatah lagi, dengan ketiadaan suami yang bukan setiap hari ada di sisi.
Kunci penting nya adalah SABAR. Saya akan terus bersabar dan bersyukur dengan kehadiran anak-anak di rumah. Tidak akan membanding kan mereka dengan kanak-kanak yang lain.
Untuk diukur sejauh mana kecemerlangan saya sebagai seorang ibu di mata manusia adalah tidak mungkin dapat dinilai. Makanya, saya menyerahkan sahaja segalanya kepada ALLAH S.W.T
Kerjaya :
Merupakan guru sambilan mengajar membaca Al-quran kanak-kanak.
Anak murid pertama yang belajar mengaji secara dalam talian dengan saya semenjak 6 Januari 2021. Dia adalah warga Bangladesh dan datang ke Malaysia kerana ayahnya bekerja di sini. Sudah tiga tahun saya mengajarnya dan Alhamdulillah..walaupun masih lagi di IQRA' 6 tetapi saya berpuas hati kerana dia menunjukkan peningkatan dalam pembelajaran.
Tidak dilupakan dua orang lagi anak murid saya yang baharu sahaja tahun lepas memulakan pengajian mereka bersama saya.
Kelas Cambridge English saya di Pusat Tusyen Alfan, Bandar Kinrara masih berjalan seperti biasa walaupun selepas Covid-19 ada penurunan bilangan pelajar. Saya kira, tahun 2023 ini sudah masuk tahun ke - 4 .
Perkara yang akan saya tambah baik untuk tahun 2023 :
Cuba menambah bilangan para pelajar untuk kelas Cambridge tetapi tidak untuk kelas mengaji kerana saya juga mahu masa saya diluangkan bersama anak-anak.
Menghadiri seminar atau latihan yang diberikan oleh pihak syarikat (The Easy Way )
Memperbanyakkan aktiviti fizikal dan komunikasi secara telus di kelas supaya para pelajar seronok untuk belajar.
Kewangan :
Memandangkan saya seorang suri rumah sepenuh masa. Saya menerima wang nafkah dari suami setiap bulan dan juga hasil titik peluh saya mengajar . Disamping wang hasil dari tanah kelapa sawit di kampung.
Tahun ini, hasil penjualan kelapa sawit untuk tanah setengah ekar adalah dalam RM6K-RM7K. Terima kasih ayah di kampung yang banyak menguruskan segala-galanya. Cuma kami risau memikir masa hadapan jika nanti sesuatu yang buruk berlaku kepada ayah. Perlu ada 'back-up' untuk ini.
Yuran mengaji yang saya ambil bulanan adalah dalam RM60-RM65 sebulan. Dapatlah dalam RM1K - RM1.5K setahun.Untuk Cambridge pula, saya anggarkan lebih kurang RM7,580 setahun ( Tiada kelas ketika bulan puasa dan Disember ) .
Simpanan di TH dan ASB masih belum mencapai RM100K. Perlu bekerja keras untuk menyimpan lagi.
Sudah ada beberapa keping 1 dinar emas dari Public Gold buat diri sendiri dan anak-anak. Harga 1 dinar emas ketika itu adalah RM1,157 - RM1,194. Lagi beberapa tahun, kita boleh tengok berapa harga kenaikan emas tersebut.
Perkara yang akan saya tambah baik untuk tahun 2023 :
Lebih berdisplin dalam bebelanja . Sekarang saya sudah ada google sheet untuk rekod perbelanjaan. Dengan ada nya perancangan kewangan sendiri, saya berasa lebih tenang dan tersusun . Saya rasa agak terkilan kerana tidak memulakan nya dari awal. Jika ada pun, mungkin hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Kali ini saya cuba untuk memperincikan perbelanjaan bulanan.
Pertama kali seumur hidup, saya ada buat beberapa jenis tabung kewangan. Antaranya - tabung Jepun, ujian saringan kesihatan dan keluarga. Semoga tabung-tabung ini mampu mencapai target pada masa yang telah ditetapkan.
Kesihatan :
Saya menyertai program BSK sudah setahun lamanya. Berat badan juga sudah mencapai berat yang ideal . Dengan ketinggian saya 153cm dan berat sekarang 51kg-52kg. Disamping itu, saya dapat jumpa ramai kenalan baru dalam misi yang sama. Nak mengamalkan gaya hidup yang sihat dan kekal aktif.
Beberapa kali juga saya menyertai virtual run anjuran pelbagai pihak. Antaranya termasuk BSK dan MRSM. Saya juga banyak belajar tentang ilmu kesihatan yang betul dan praktikal untuk diamalkan.
Rekod senaman dari aplikasi Samsung Health juga banyak membantu perjalanan gaya hidup aktif saya. Untuk tahun 2022 , saya telah pun berjalan / berlari sejauh 2006 km! Alhamdulillah atas pencapaian ini.
Perkara yang akan saya tambah baik untuk tahun 2023 :Tidak terlalu bercita-cita tinggi. Hanya cuba mahu konsisten sekurang-kurangnya 150min seminggu bersenam disamping mengurangkan lagi habit yang suka kan makanan merapu.
Lebih rajin memasak di rumah terutamanya untuk sarapan pagi. Sebab sekarang nafsu nak membeli nasi lemak / bihun goreng selepas menghantar anak-anak ke sekolah sangat lah perlukan kawalan diri yang kuat.
Pembelajaran :
Menghadiri kelas membaca Al-Quran dalam talian seminggu sekali. Mendengar kelas sirah Dr Jefri ( geng sirah ) di Youtube.
Kadang-kadang saya mendengar ceramah tentang tafsir surah ( tapi dah lama pula tinggal ) . Membaca buku tentang kewangan dan teknik mendidik anak-anak.
Perkara yang akan saya tambah baik untuk tahun 2023 :
Walaupun saya stay-at-home-mother, cabaran terbesar adalah mencari masa yang sesuai untuk duduk mendengar sebarang ceramah di media sosial.
Terkejar dengan tugas hakiki seorang suri rumah - memasak, mengemas, ke pasar, menghantar anak, melipat baju dan pelbagai lagi. Ada masa juga terleka dengan smartphone.
Perlu displinkan diri sekurang-kurangnya 20min sehari untuk mendengar ceramah atau membaca buku dan berkongsi dengan kawan-kawan di sosial media.
Perhubungan
Suami sekarang bertugas di luar negeri. Dua minggu di sini dan dua minggu lagi di sana mencari rezeki. Perhubungan jarak jauh memerlukan banyak kesabaran dan komunikasi dua hala yang berkesan. Setakat ini kami masih bahagia . Jarang sangat-sangat bergaduh sebab bukan apa , rugi rasanya kalau masa yang ada tidak diperuntukkan untuk perkara yang seronok . Apatah lagi anak-anak yang meningkat dewasa. Mereka sentiasa memerhatikan tindak-tanduk kedua ibu-bapa.
Sebulan sekali saya dapat pulang ke kampung saya di Perak untuk menziarahi dan menyantuni ibu-bapa. Kalau tanpa suami pun, hanya bersama anak-anak.
Ada juga melawat adik beradik dan saudara mara. Tetapi tidak lah terlalu kerap.
Kawan-kawan? iya, ada berjumpa sekali sekala. Selebihnya kami banyak bertanya khabar di WhatsApp.
Perkara yang akan saya tambah baik untuk tahun 2023 :
Semestinya ingin meluangkan lebih banyak masa dengan adik-beradik. Mungkin setiap kali musim cuti sekolah perlu ada perjumpaan bersama?
Perlu lebih kerap untuk pulang ke kampung mertua di Kelantan. Walaupun agak sukar kerana perjalanan yang agak jauh ditambah lagi dengan suami yang bekerja di luar negeri. Semoga ALLAH S.W.T permudahkan urusan.
Banyak bertanya khabar kawan-kawan sekolah / bekas teman sekerja / jiran-jiran .
Lain-lain:
Berjaya menghasilkan lebih daripada 10 keping lukisan yang menggunakan warna air. Ada beberapa yang berjaya dijual. Selebihnya saya simpan untuk kenang-kenangan ataupun dijadikan sebagai hadiah.
Tiada lagi pemakaian pendakap gigi selepas ianya dibuka pada bulan Disember 2022. Yahoo!!
Menyertai NGO Sekolah di bawah platform Bukan Soal Kurus, kelolaan Coach Kevin Zahri.
Dapat menjadi fotografer Lisa Surihani dalam majlis ilmu di Bangi.
Seorang pembimbing emas dengan Public Gold.
Semoga tahun 2023 ini lebih banyak kebaikan yang kita akan capai bersama-sama. Amin Ya Rabbal Alamin.