Mendidik anak-anak celik kewangan .
Teringat sebuah buku yang pernah saya beli dan baca dahulu. Baru-baru ini saya baca semula buku tersebut. Buku di bawah kategori parenting ini bertajuk " Tips Groovi - Mendidik Generasi Y dan Z". Penulis buku merupakan pasangan suami isteri yang bernama Jamilah Samian dan Ahmad Fakhri Hamzah.
Mereka pernah dijemput ke tempat lama saya bekerja suatu ketika dahulu antara tahun 2010 - 2014 untuk berkongsi tips dalam mendidik anak-anak generasi Z. Apa yang menarik tentang buku ini adalah, ianya masih relevan dan dapat dibaca sehingga ke hari ini.
Saya tidak akan menyentuh kesemua bab yang ada di dalam buku ini. Pemilihan topik atau bab yang diambil adalah kerana anak-anak kami mula timbul kesedaran untuk mencari wang yang lebih. Selain daripada pemberian daripada ibu-bapa atau ahli keluarga yang terdekat.
Tahun lepas, syarikat buku yang bernama Iman Publication ada mewar-warkan tentang pencarian kerja kosong secara sambilan. Harga upah kerja adalah sebanyak RM8 sejam.
Pengalaman membantu mama bekerja sebagai pengira stok buku di Iman Publication |
Lalu saya sengaja mendaftarkan diri dan mengajak anak kami, Umair untuk sama-sama bekerja. Memandangkan anak kami masih belum cukup umur untuk bekerja. Jadi saya anggap saya yang bekerja dan Umair menjadi pembantu saya.
Kerjanya pun tidak sesusah mana. Generasi Alpha, memang laju menggunakan Google Form untuk mengemas kini data. Cuma perlu berhati-hati dalam mengira dan memasukkan data tersebut. Apabila dah terlalu banyak, kemungkinan kesilapan yang dilakukan itu masih boleh berlaku.
Dalam Bab 3 yang bertajuk - Bijak Menunggu, Hidup Mewah. Ada satu jadual yang dikongsikan tentang tahap kepintaran anak-anak mengendalikan wang .
Bahkan saya rasakan, panduan ini dapat dijadikan sebagai rujukan buat ibu-bapa ataupun orang dewasa juga.
Pada saya antara yang sukar untuk anak-anak di usia sekolah rendah dan menengah adalah untuk mereka kongsi, peroleh dan labur.
Kongsi di sini apabila anak-anak kita dengan rela hati bersedekah atau membelikan hadiah buat golongan yang memerlukan. Betapa bahagianya perasaan itu apabila kita dapat berkongsi rezeki yang ada dengan insan yang lain.
Sukar untuk kanak-kanak memperoleh pendapatan sendiri. Namun ianya tak mustahil jika ada sokongan dan bantuan daripada golongan dewasa ataupun ibu-bapa. Antara yang dapat dibuat, kalau anak itu minat melukis / mewarna. Hasil karya seninya boleh dijual. Hannah pernah sekali menjual hasil seni lukisnya ke luar negara.
Tapi nak kekalkan momentum itulah yang sukar buat kami. Kalau minat buat kek atau biskut, pun boleh dijual kepada kawan-kawan dalam talian.
Ada juga terfikir memandangkan anak-anak suka membaca buku cerita. Jadi mereka boleh buat review buku tersebut dan link kan dengan affliate mama nya. Kalau ada yang beli, dapatlah juga mereka wang hasil jualan buku itu.
Tapi yang ini masih belum lagi saya usahakan. InshaALLAH, akan datang.
Pelaburan pula, kami hanya menceritakan dengan bahasa yang paling mudah tentang keuntungan membeli Emas untuk jangka masa yang panjang dan juga perbezaan antara menyimpan di dalam bank dengan Tabung Haji ataupun ASB.
Sebenarnya ilmu sebegini tidak diajar di sekolah. Jadi, tanggungjawab kita sebagai ibu-bapa untuk berkongsi sebanyak yang boleh tentang pengalaman kehidupan kita dalam pengurusan kewangan.
Kehidupan anak-anak kita pada sekarang dan hadapan lebih mencabar . Harga barang semakin naik, peluang pekerjaan pun semakin sukar. Semoga mereka diterangkan hati, diberikan idea, kebijaksanan, dan kesabaran untuk mengharungi hari-hari yang mendatang.
0 comments
Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.