Sebaris ayat yang tersirat makna.

By Wednesday, April 21, 2021 , , ,

 

Bukan selalu 'surat cinta' ini dapat ke tangan saya. Kebarangkaliannya mungkin hanya setahun sekali, sama seperti bulan Ramadan yang mengikut kitaran alam ketentuan Tuhan.

Walaupun hanya menggunakan 'magic pen' dan kertas A-4 kosong yang dilipat empat. Ianya masih mampu memberikan sentuhan magis yang tembus ke hati . Begitulah mak-mak di muka dunia ini tuan-tuan dan puan-puan.  Hati dan perasaannya mudah tersentuh dengan apa sahaja yang dikaitkan dengan anak.

 "Terima kasih kerana jaga Umair sampai sekarang" 

Sebaris ayat namun tersirat sesuatu yang lebih mendalam.   Selayaknya, emak di kampung lah antara manusia yang perlu dihargai pada tarikh 11 haribulan April setiap tahun. Emaklah yang bersusah payah melahirkan dan membesarkan. Pastinya sehingga hari ini...tidak pernah emak tidak berdoa kebahagiaan dan kejayaan anak-anaknya di dunia dan akhirat.

Kerana itu jugalah yang kita semua emak-emak buat juga kan?

Pernah, suatu hari di meja makan. Saya menduga anak-anak dengan soalan ini:

"Kenapa nak kena bagi hadiah kepada hari lahir kita? Sebab yang lahirkan kita tu emak kita. Hakikatnya, kita tak buat apa-apapun. Tiba-tiba lahir, membesar dan diberikan segalanya. Tup,tup...apabila tiba tarikh hari lahir kita,dapat pula hadiah"

"Ntah, dah semua orang buat macam tu, kita ikut ajerla"

Anak kedua menjawab.

"Sebab dah kena 'ajar' macam tu"

Jawab anak yang sulong.

Hakikatnya, saya juga memikirkan begitu. Cuma, dahulu persoalan ini tidak pernah timbul di benak fikiran dan hati sanubari saya. 

Tidaklah  saya mengatakan  satu kesalahan untuk meraikan hari lahir insan-insan yang kita sayangi. Malah ianya adalah salah satu sifat mahmudah.Bukankah menzahirkan kasih sayang sesama manusia itu suatu rahmat yang diberikan oleh Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tuhan Sekalian Alam?

Selayaknya, hanya kepada ALLAH saya bersyukur. 

Memasuki umur 40-an, fasa kehidupan juga berubah. Pada usia ini, saya giat memproses apa yang pernah berlaku selama ini sebagai iktibar dan tauladan untuk diinsafi. Hendak berkongsi dengan anak-anak, bukanlah semudah yang disangka. Kerana perkataan "mama dulu......" tidak memotivasikan mereka.

Dulu lain, sekarang lain.

Suatu hari nanti, jika umur mereka panjang sampai ke-40an. Saya percaya, mereka juga akan mengalami perkara yang sama. InshaALLAH. 

Terima kasih Umair dan Uwais atas kad ucapan hari lahir ini. Semoga kalian menjadi anak yang soleh, khalifah yang terbaik. Berjaya di dunia dan akhirat.

Amin!

p/s : I love you too sons!


 




You Might Also Like

1 comments

  1. hati emak ni kan sejenis hati tisu kak... heheheh walaupun mungkin nampak kecil tapi bagi kita besar sangat tuh impaknya

    ReplyDelete

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.