"Hari Pembebasan" - Throwback Cerita Covid-19
Ini kali ke-dua ke CAC dan harapnya ini juga kali terakhirlah saya ke sini. Tempat yang sangat mendebarkan kerana setiap saat terdedah kepada Virus Covid-19.
Penuh pesakit positif bercampur dengan negatif. Kanak-kanak dan bayi menangis, orang tua menggunakan kerusi roda. Yang tua dipapah dengan yang muda.
Petugas barisan hadapan yang cuba bercakap dengan manusia yang langsung tidak mampu bertutur bahasa Melayu atau Inggeris.
Saya menyaksikan segalanya dengan mata kepala sendiri. Ada makcik yang terbaring di atas stretcher yang mungkin dibawa menuju ke van untuk ke hospital atau ke MAEPS.
Seperti tidak percaya bahawa situasi yang selalu saya lihat di media sosial kini benar-benar berlaku di hadapan mata.
Kipas-kipas yang ada hanya untuk barisan hadapan kerana mereka memakai uniform yang membungkus dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Tak dapat nak bayang bagaimana panas dan bahangnya di dalam pakaian tersebut.
Barisan semakin panjang dan masa menunggu terasa sangat lama. Awalnya memang kebosanan kerana menunggu giliran.Mujur selepas itu seorang sahabat yang dikenali datang menyapa.
Dari satu kaunter akhirnya kami tiba kaunter yang ditunggu-tunggu. Doktor masih bertanya soalan yang sama kepada Uwais. Dan syukur jawapan nya pun tetap sama. Dia hanya menjawab pengalamannya di kuarantin seorang diri di dalam bilik.
Saat gelang dipotong terasa satu perasaan yang luar biasa. Kebebasan!
Sebelum melangkah pulang saya sempat menoleh ke belakang. Kaunter sudah ditutup dan manusia semakin berkurangan. Esok tidak pasti.
Walaupun bangunan Stadium Melawati itu semakin jauh ditinggalkan. Tetapi perasaan fobia dan serik itu berparut di hati.
Syukur Alhamdulillah! Kini Uwais kembali semula ke pangkuan kami.
0 comments
Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.