Menu-menu dari Tortilla Wrap

By Tuesday, March 16, 2021 ,

Hari ini masuk minggu ke-dua untuk Umair dan Uwais bersekolah. Bermakna, rutin untuk menyediakan sarapan mereka seawal 5:30 pagi pun bermula semula.

Kali ini saya cuba menyediakan menu yang apabila mahu dimakan tidak menggunakan sudu ataupun garfu. Lagipun, di sekolah mereka sudah disediakan makanan sebanyak empat kali sehari. Keperluan makanan tambahan ini disebabkan faktor anak-anak yang sedang membesar dan mereka kerap berasa lapar. 

Dahulu saya pernah menyediakan homemade nugget untuk mereka. Punya lah lama saya tidak buat nugget ini sampai terlupa resepinya bagaimana. Mujur juga saya simpan di sini untuk dijadikan rujukan pada masa hadapan.

Idea untuk membuat bekal dari Tortilla Wrap ini adalah apabila saya menonton satu rancangan masakan di Netflix yang bertajuk :

Nadiya's 5 minute crispy egg rolls - BBC


Penyediaan yang agak mudah, jimat masa dan paling penting anak-anak suka. Selain dari resepi Nadiya ini, saya juga ada resepi sendiri. Cuma perlu penyediaan awal sehari untuk daging ayam diperap dan dimasak. 

Penggunaan Air-Fryer ataupun oven sangatlah membantu. Maka, kerja membersihkan dinding dapur dapat dielakkan kerana tiada percikan minyak yang berlaku.

Saya dah potong gulungan tortilla menjadi pendek supaya tiada pembaziran berlaku.Sememangnya pada awal pagi mereka tidak dapat makan dengan banyak. Cukuplah sekadar alas perut sahaja.

Di dalamnya saya letak hirisan cendawan dan baby spinach.
Saya tidak mengikut 100% seperti resepi yang dikongsikan oleh Nadiya di dalam video nya. Tiada sebarang sapuan sos cuma mayonis saya calitkan sedikit untuk bertindak sebagai ejen 'pelekat' untuk mencantumkan hujung kulit tortilla tersebut.

Selain menggunakan telur sebagai isi utama, saya pernah menggunakan isi ayam yang dimasak terlebih dahulu. Perapkan dengan bahan-bahan rempah seperti serbuk cili, lada hitam / putih, bawang putih, halia, sos tomato, sos cili dan kicap. 

Ikut kreativiti dan selera masing-masing.

Kebiasaannya, saya meletakkan hirisan tomato dan daun baby spinach. Kedua-dua sayur ini tidak memberikan rasa yang 'teruk' buat anak-anak kami.

Memang sedap kerana ada pelbagai rasa dan puas hati sebab semua nutrien ada. Karbohidrat, protien dan vitamin.

Apa yang penting, usaha untuk memastikan anak-anak bersarapan sebagai alas perut sebelum ke sekolah itu adalah penting.

Kalau sudah biasa dari kecil sarapan, InshaALLAH...amalan ini akan berterusan sehingga mereka remaja, dewasa dan berumah tangga.

Semoga bermanfaat buat semua pembaca ya!



You Might Also Like

0 comments

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.