Resepi Keto "Broccoli Cheddar Muffins"
Menu sihat yang sudah lama saya buat tetapi baru berkesempatan untuk dikongsikan di sini.
Mufin brokoli bersama keju cheddar ini sesuai dimakan ketika masih panas ataupun suam-suam. Sesuai dinikmati bersama secawan kopi panas sebagai sarapan ataupun makan malam.
Bahan utamanya tentulah tepung kacang badam ( Almond flour ) sebagai pengganti tepung gandum. Amat menyihatkan kerana umum tahu, kacang badam itu pun sudah kaya dengan pelbagai khasiat.
Rasanya memang sedap. Inti di dalamnya boleh juga kita gantikan dengan bahan-bahan lain seperti sayur bunga kubis ( cauliflower ) , lada benggala - perlu dibakar di dalam oven sebentar untuk mengurangkan kandungan air di dalamnya. Ataupun, isi ayam ataupun ikan salmon sebagai sumber protein.
Resepi asal saya ambil dari sini : https://sugarfreelondoner.com/keto-broccoli-cheese-muffins-recipe/
Bahan-bahan untuk membuat "Broccoli Cheddar Muffins"
1) 4 biji telur gred A
2) 150 gram tepung kacang badam
3) 170 gram keju cheddar
4) 100 gram broccoli dicincang halus
5) 60 gram yogurt asli
6) 1- 1/2 tsp serbuk penaik ( baking powder )
7) 1/2 tsp serbuk bawang putih ( saya cincang 1 ulas bawang putih )
8) 1/2 tsp serbuk bawang ( saya tidak letak kerana bahan ini tiada di rumah )
Cara-cara membuat "Broccoli Cheddar Muffins" :
1) Panaskan oven terlebih dahulu
2) Dengan menggunakan alat memproses makanan ataupun pengisar. Pecahkan telur dan pukul telur dengan kelajuan maksima selama lebih kurang 2 minit.
3) Masukkan tepung kacang badam, keju, yogurt, bawang putih dan serbuk penaik. Kisar sehingga semua bahan-bahan tersebut bersatu dan sebati.
4) Akhir sekali, masukkan brokoli ke dalam adunan dan kacau rata menggunakan senduk ataupun spatula.
5) Tuang adunan ke dalam bekas mufin sehingga 3/4 penuh.
6) Masukkan ke dalam oven dan bakar pada suhu 180 darjah selama 20-30 minit atapun sehingga masak.
7) Apabila mufin sudah sejuk, boleh lah disimpan di dalam bekas kedap udara dan letakkan ke dalam peti sejuk. Panaskan dahulu menggunakan alat ketuhar gelombang apabila mahu menikmatinya kemudian.
Terima kasih kerana sudi membaca. Selamat mencuba semua!
1 comments
menariknya kak... mesti sedap sesekali layan muffin yang rasa savoury dari rasa manis je
ReplyDeleteTerima kasih di atas segala komen dan sokongan.