Tips Simpanan Jangka Masa Panjang untuk Pendidikan Anak-Anak : Mana Instrumen simpanan / pelaburan yang paling baik?
Ramai beranggapan bahawa simpanan RM100 sebulan sudah mencukupi untuk pendidikan anak. Namun, apabila dikira secara asas, RM100 sebulan selama 20 tahun hanya menjadi sekitar RM24,000. Jika dibandingkan dengan kos sebenar IPTA hari ini yang merangkumi yuran, penginapan, makan, bahan pembelajaran dan lain-lain, jumlah ini jelas tidak mencukupi. Secara kasar, kos boleh mencecah sekitar RM40,000 untuk kursus ijazah sarjana muda pendidikan, RM50,000 untuk kejuruteraan dan sehingga RM80,000 hingga RM90,000 bagi perubatan. Dengan kadar inflasi sekitar 2 hingga 4 peratus setahun, kos ini dijangka terus meningkat pada masa hadapan.
Saya baharu sahaja meneliti semula pelan Takaful yang telah diambil untuk anak kami yang sulung pada pertengahan tahun 2009. Takaful di bawah pelan Sarjana mempunyai elemen compounding sekitar 3 hingga 4 peratus setahun melalui dana pelaburan dalam tempoh matang selama 20 tahun. Namun, pertumbuhan ini tidak sepenuhnya kerana sebahagian sumbangan digunakan untuk kos perlindungan.
Berdasarkan data sebenar yang telah dianalisis, jumlah sumbangan sekitar RM36,000 berkembang kepada sekitar RM43,000 hingga RM45,000 selepas tempoh matang 20 tahun. Ini menunjukkan simpanan memang bertambah, tetapi pada kadar yang sederhana kerana fungsi utamanya bukan hanya simpanan, tetapi juga perlindungan.
Adakah saya menyesal? tentulah tidak. Cuma, jika diberikan peluang untuk patah balik. Saya akan bersungguh-sungguh membuat kajian dan menilai beberapa perkara termasuklah faktor inflasi dan perbandingan awal dengan instrumen-instrumen pelaburan lain yang ada di luar sana.
Ini adalah kerana, takaful yang sifatnya sebagai perlindungan merupakan 'risk transfer' iaitu pemindahan risiko. Dengan cara ini, kita dapat elak risiko besar yang mungkin boleh terjadi hanya dengan membuat caruman bulanan. Ada banyak jenis perlindungan dan secara peribadi ianya bergantung kepada situasi setiap orang.
Mungkin waktu itu, kesedaran kami amat sedikit tentang hal pengurusan kewangan. Namun saya tetap bersyukur kerana 17 tahun yang lepas, kawan saya 'paksa' saya menyimpan dan melabur duit secara bulanan demi masa hadapan anak-anak.
Apapun, saya petik semula nasihat yang saya baca di dalam buku yang bertajuk " BERGAJI & POKAI" - Ambil Insurans & Takaful hanya selepas simpanan kecemasan dikembangkan menjadi Tiga hingga Enam bulan perbelanjaan. Diulang, bukan gaji. tetapi Perbelanjaan.
Which is, saya tak buat pun kaedah yang ini. Bermakna, saya memang gamble betul waktu pelan takaful ini dipersetujui. Jadi saya harap, kawan-kawan di luar sana jangan ulang kesilapan yang telah saya buat. You can do better than me!
Bagi simpanan melalui SSPN pula, kaedah ini menawarkan pulangan sekitar 3 hingga 4 peratus setahun serta kelebihan pelepasan cukai. Instrumen ini selamat, namun memerlukan disiplin kerana simpanan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.
ASB pula memberikan pulangan yang lebih stabil sekitar 4 hingga 6 peratus setahun. Dengan simpanan yang konsisten, kesan compounding boleh membantu meningkatkan jumlah simpanan dalam jangka panjang.Cuma ianya perlukan displin dalam memastikan duit itu terus berkembang kerana kadar kecairannya juga tinggi (Mudah dikeluarkan).
Emas pula sering dilihat sebagai alternatif untuk melindungi nilai simpanan daripada inflasi. Dalam jangka panjang, emas menunjukkan kecenderungan peningkatan nilai yang membantu mengekalkan kuasa beli. Walau bagaimanapun, emas memerlukan kefahaman yang jelas. Terdapat perbezaan antara harga beli dan jual, dan harga boleh turun naik dalam jangka pendek. Tanpa strategi yang betul, seperti membeli dan menjual dalam tempoh singkat, simpanan emas mungkin tidak memberi hasil yang diharapkan. Matlamat simpanan juga perlu jelas sejak awal, sama ada untuk tempoh 10 tahun, 18 tahun atau 20 tahun.
Sebagai contoh, jika sasaran dana pendidikan ialah sekitar RM38,000 dan harga emas semasa Public Gold bagi 1 gram ialah RM670, jumlah emas yang perlu dikumpul ialah sekitar 56.7 gram. Secara mudah, sasaran ini boleh dibundarkan kepada 57 gram. Jika tempoh simpanan ialah 18 tahun, maka jumlah yang perlu dikumpul setiap bulan ialah sekitar 0.26 gram. Jika dikira dalam nilai wang semasa, jumlah ini bersamaan kira-kira RM176 hingga RM180 sebulan. Strategi ini lebih sesuai jika fokus diberikan kepada pengumpulan gram secara konsisten dalam akaun emas seperti GAP, bukannya terlalu risau tentang turun naik harga harian.
Kesimpulannya, simpanan pendidikan bukan sekadar tentang jumlah yang disimpan, tetapi bagaimana simpanan tersebut berkembang dan mampu menampung kenaikan kos pada masa hadapan. Takaful sesuai untuk perlindungan dan simpanan asas, SSPN membantu dari sudut manfaat cukai, ASB memberi kestabilan dividen dan memang ianya khas untuk simpanan pendidikan manakala emas boleh membantu mengekalkan nilai simpanan dalam jangka panjang jika disertai ilmu dan disiplin. Yang paling penting, simpanan perlu dibuat dengan strategi yang jelas supaya apabila anak melangkah ke universiti nanti, kewangan keluarga lebih bersedia dan tidak terlalu terbeban.
Semoga perkongsian ini dapat membantu semua khasnya buat mereka yang baharu bergelar ibu-bapa. Rancang sekarang untuk kehidupan yang lebih tenang.



0 comments
Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.