Review Buku Diari Abah

By Thursday, March 11, 2021

 

Sungguhpun tajuknya Diari 'Abah' , tetapi saya berpendapat bahawa buku ini juga sesuai dibaca oleh seorang 'Emak'. 

Ada banyak bab yang menceritakan pengalaman penulis tentang pengalaman hidupnya sebagai seorang ayah di Malaysia, Ireland dan Finland ( yang terkini ).

Apa yang menyebabkan saya bermotivasi membaca buku ini dari satu helaian ke helaian yang lain adalah bagaimana beliau menulis buah fikirannya ketika berdiskusi atau berbual santai dengan anak-anak nya yang hampir kesemuanya belasan tahun. Dalam erti kata lain adalah remaja.

Saya baca dengan penuh penghayatan sehingga ada waktu saya tersenyum dan ketawa kecil membacanya. Diselitkan juga ayat-ayat Al-Quran yang digunakan oleh beliau untuk menyampaikan tazkirah ringkas tetapi padat dan terkesan buat anak-anaknya ketika solat sunat tarawikh pada tahun 2020.

Banyak iktibar yang saya perolehi apabila membaca perkongsian beliau di dalam buku ini.Terdapat juga diselitkan tentang buku-buku yang pernah beliau baca beserta tajuk dan isi kandungan pentingnya.

Sebagai ibu yang memasuki umur 40-an tahun ini dan mempunyai seorang anak remaja. Saya dapat merasakan apa yang penulis cuba sampai dan kongsikan. 

Ada satu babak yang menyebabkan saya teringat atau terfikir kisah lampau. Beliau menceritakan tentang perasaan 'loneliness' apabila berseorangan di bumi Finland bersama-sama dengan empat orang anaknya yang pelbagai kerenah. Sementara isteri bekerja sebagai seorang doktor di hospital di Ireland.

Keadaan yang diceritakan itu tidaklah begitu terperinci tetapi apabila beliau menyatakan bahawa  untuk  'stayback' di universiti itu pun sudah payah dan merungsingkan kerana ada tenggungjawab lain yang perlu dilaksanakan. Iya! ianya tentang tanggungjawab terhadap anak-anak. 

Saya pernah mengalaminya ketika tinggal berseorangan menguruskan anak-anak yang ketika itu masih kecil. Si kakak baru berumur 6 tahun dan yang bongsu berusia 2 tahun. Suami pula bertugas di luar negara. 

Haru-biru, lelah, penat fizikal dan mental. Waktu itu, saya bekerja. Keluar rumah sebelum pukul 7:00am dan pulang hampir waktu maghrib. Ada ketika, lewat hampir pukul 10:00 malam! Kasihan sungguh anak-anak yang ditinggalkan di pusat pengasuh ketika itu.

Mujur ianya tidak berlanjutan terlalu lama. Setelah saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan mengikut suami ke luar negara. 

Kini anak-anak saya sedang meningkat remaja. Benarlah apa yang diceritakan oleh beliau di dalam buku tersebut.

Ketika anak-anak ini kecil, apa sahaja yang mereka lakukan kita fikir ianya comel dan yakin bahawa ia adalah perkembangan yang sihat. Buku-buku pendidkan keibu-bapaan tentang bayi dan kanak-anak juga banyak di pasaran. Tetapi, buku-buku untuk remaja sangat kurang. Jika ada pun, banyak yang dari luar negara.

Saya juga mengakui, ketika anak masih kecil saya banyak berkongsi gambar dan kerenah mereka di sosial media. Namun sekarang tidak lagi. 

Segala-galanya berubah.

Mereka sudah ada pendapat sendiri. Walaupun bentuk fizikal seperti orang dewasa, tetapi cara mpemikiran dan perkembangan otak mereka masih lagi bukan seperti orang dewasa yang betul-betul 'manusia'

Cabarannya adalah kita sebagai ibu-bapa perlu terus mengasihi mereka seperti mereka masih seperti kanak-kanak kerana mereka itu adalah anak-anak.

Walau kadang terluka dan terasa hati, itu semua saya rasa perlu kita anggap sebagai ujian dari ALLAH S.W.T untuk mendidik amanah yang telah diberikan.

Mujur ada kisah Nabi Yusuf A.S dan Nabi Nuh A.S. Kedua-dua Nabi ini diuji dengan perangai anak yang bermacam-macam dan tidak beriman. Tugas kita haruslah mencuba yang terbaik.

Saya sebenarnya kagum bagaimana penulis pandai bermain kata dan menggunakan ayat yang mampu menyebabkan anak-anak nya terdiam, berfikir dan memberi pendapat. Kadang saya buntu, tidak terjumpa ayat atau perkataan yang sesuai untuk dihujahkan kepada anak-anak.

Ternyata, bukan mudah untuk menjadi seorang ibu dan bapa. Perlu ada ilmu untuk mendidik dan membimbing mereka. Contohnya sekarang zaman I.T. Jadi, mahu atau tidak, MESTI ambil tahu apa yang anak-anak suka lihat di sosial media. Bagaimana mahu 'block' alat-alat peranti yang mereka gunakan. Permainan online apa yang mereka main, dengan siapa dan bagaimana.

Persoalan-persoalan seperti ini tentu lah memeningkan kepala. Jika boleh, saya tidak mahu ambil tahu pun. Kerana pada usia awal 40-an ini, minat / hobi dan keutamaan sudah beralih arah. 

Selagi hidup dan bernyawa, kenalah kuatkan semangat. Bak kata Tuan Penulis, kita masih dapat bertahan selagi kita ada ilmu di dada dan terus berusaha, berdoa kepada ALLAH S.W.T.

Sesiapa yang berminat untuk membaca buku ini sendiri, boleh lah membuat pembelian di Iman Shoppe Bookstore secara dalam talian dengan harga RM40.



You Might Also Like

2 comments

  1. mesti best kan baca, teringat dana pernah baca buku tulisan arwah Dr Nazli Noor, Ulu yam di liverpool... seronok membaca kisah suka duka di luar negara membesarkan anak-anak dengan keterbatasan diri nya.

    ReplyDelete

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.