Akhirnya Uwais Membaca Al-Quran

By Wednesday, February 24, 2021 , , ,

Hampir setahun sekolah ditutup gara-gara wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Ramai ibu-bapa yang bimbang tetang pembelajaran anak-anak. Isu pelajaran tercicir, tidak dapat membaca ataupun istilah lainnya ialah "Lost Generation" . Terutama murid-murid tadika dan tahun 1 pada tahun 2020.

Pendidikan sudah pun wujud sebelum bangunan sekolah dibina. Sebelum kokurikulum , kokorikulum dan segala sistem pendidikan yang anak-anak kita sedang jalani. 

Jadi saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak apabila sekolah ditutup. Untuk saya dan suami, keselamatan anak-anak itu adalah lebih penting. 

Saya fikir, tahun lepas merupakan tahun saya 'homeschool' anak-anak saya. Meskipun sekolah ada membuat jadual belajar dalam talian. Tanggungjawab sepenuhnya anak-anak adalah di bawah ibu-bapa.

Pun begitu, bukan semua ibu-bapa cakna tentang kepentingan pendidikan. Jika cakna pun, mereka pasti sibuk dengan hal urusan yang menuntut hampir 100% tumpuan dan komitmen dalam kerjaya masing-masing.

Ada waktu dan ketika saya berfikir, jika Covid-19 ini berlaku pada zaman 80an- 90an. Apakah yang kami adik beradik akan lakukan bersama ibu-bapa di rumah?

Hiburan ketika itu hanyalah cerita-cerita kartun dan siaran-siaran yang boleh dikira dengan jari apabila mahu menonton televisyen. Selebihnya, kami banyak mengabiskan masa di luar rumah. Ke sekolah kebangsaan pada waktu pagi, ke sekolah agama pada waktu petang dan mengayuh basikal bersama kawan-kawan.

Kami bermain nyorok-nyorok, masak-masak , doktor-doktor dan pelbagai jenis mainan yang direkacipta sendiri.

Memandangkan  ayah dan emak saya ada membuka kedai runcit. Jadi, kami adik-beradik 'terpaksa' meringankan tulang melayan pelanggan-pelanggan yang datang. Paling sukar adalah sewaktu menonton rancangan kegemaran kami di televisyen.

Itulah 'pendidikan' lain yang saya dapat sewaktu saya kecil. Saya belajar berkomunikasi dengan orang, menyusun barang-barag di kedai, menulis hutang di dalam buku hutang yang ayah sediakan dan mengira baki yang perlu dipulangkan. Zaman yang tiada internet dan media sosia.

Hari inimemag sukar untuk memberikan pendidikan yang sama seperti apa yang saya perolehi ketika dahulu kepada anak-anak. Selain rumah, sekolah merupakan tempat anak-anak berjumpa dengan manusia lain untuk berkomunikasi.

Mungkin itu sahaja yang anak-anak ada.

Melainkan, saya aktif dalam badan-badan sukarelawan. Mungkin dengan cara ini saya dapat membawa anak-anak beraktiviti bersama-sama.

Sehingga ke hari ini, saya melakukan apa yang saya mampu. Anak-anak memanglah keutamaan saya tetapi ada perkara lain dalam hidup ini perlu diberikan perhatian.

Kerana apabila sampai waktunya mungkin saya pergi terlebih dahulu ataupun anak-anak yang meninggalkan kami dahulu. Itu rahsia ALLAH S.W.T. Kita sebagai hambanya mestilah berusaha melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing.

Sesungguhnya, usaha yang bersungguh dan niat kerana ALLAH S.W.T itu pasti akan ada ganjarannya. Kami berjaya menghabiskan buku IQRA' yang Uwais gunakan semenjak dia berada di darjah 1. Setiap hari dia membaca sehelai muka surat. Tetapi ada kalanya, dia tidak baca pun kerana alasannya dia sudah menyelesaikan tugasan hafazannya.

Setiap malam, selepas solat maghrib saya akan cuba memastikan semua pegang mushaf di tangan masing-masing. Kebiasaannya kami membaca mengikut giliran. Ketika anak 1 membaca, kami semua menyemak bacaannya. Begitulah untuk anak 2 , suami dan saya sendiri.

Waktu itu, Uwais masih membaca IQRA' dan menghafaz surah-surah di dalam Juzuk Amma. Saya  perasan dia lebih suka menghafaz ketika kami membaca Al-Quran. Selesai bacaan Al-Quran kami, baru saya menyemak hafazannya. Selepas itu dia agak kepenatan untuk membaca IQRA' . 

Saya tidak mahu memaksanya. Cuma kadangkala saya pesan, nanti kalau sudah lama tidak dibaca, Uwais akan terlupa dan lambatlah nak join kami baca Al-Quran sama-sama. 

Semenjak tiga - dua bulan yang lepas barulah dia rajin membaca IQRA'. Sebagai balasan, saya membawanya ke kedai buku berhampiran dengan rumah. Bukan POPULAR ataupun MPH. Kedai buku ini hanya memakan masa selama 6-8 minit sahaja dari rumah. 

Dia inginkan mushaf Al-Quran ( tafsir )  yang berwarna biru. Tetapi hanya ada warna merah dan hijau. Warna merah menjadi pilihan keduanya. Tetapi, tulisannya agak kecil dan kurang sesuai untuk dia yang berusia 9 tahun untuk membacanya.

Saya cadangkan mushaf yang berwarna hijau kerana saiz tulisannya lebih besar dan saya beritahunya yang saya akan jahitkan "Al-Quran Cover" yang berwarna biru. MashaALLAH...gembira sungguh dia.

Tidak sampai sehari, Al-Quran Cover bertemakan warna biru sudahpun siap saya jahit. Alhamdulillah..semuanya ini saya kembalikan kepada ALLAH S.W.T.



Apa yang berlaku adalah dengan pertolongan dan izinnya. Tiada satu yang datang dari saya. Hatta untuk melembutkan hati Uwais, memberikan kesabaran buat kami berdua, memberikan sedikit ruang dan masa dan juga kesihatan yang baik untuk kami sama-sama belajar membaca Al-Quran.

Semoga anak-anak kita semua dapat membaca Al-Quran dan beramal dengan ajaran yang terkandung di dalamnya.

 




You Might Also Like

0 comments

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.