Perkara-perkara yang saya syukuri sepanjang tahun 2020
Saya sebenarnya telah menulis semua pencapaian saya pada tahun 2020 di dalam buku nota. Cuma , sekarang baru saya berkesempatan untuk berkongsi dengan pembaca semua.
Tujuan saya berkongsi adalah untuk saya lebih bersyukur. Saya tidak mahu menyalahkan Covid-19 sepenuhnya. Itu bukanlah sebab utama untuk kita terus menerus mengeluh kerana saya percaya bahawa setiap ujian yang ALLAH S.W.T turunkan pasti nya ada hikmah untuk kita semua.
1) Kesihatan :
Saya telah memulakan rutin setiap pagi selepas subuh untuk bersenam / jogging di taman berhampiran dengan rumah. Sebelum ini, saya tidak begitu menghiraukan kehadiran taman tersebut. Pergi juga lah sesekali kerana bawa anak-anak bermain di sana.
Tetapi, persepsi saya berubah ketika sekolah mula ditutup. Rutin setiap pagi saya seperti menyediakan sarapan untuk anak-anak, mengejut mereka dan menghantar mereka ke sekolah. Kini, berubah sepenuhnya.
Taman tersebut sudah menjadi lokasi kegemaran saya hampir setiap pagi. Bunyi cengkerik, kicauan burung, kehijauan pokok-pokok, keindahan langit ketika masih biru dan pancaran sinar matahari pagi yang menambahkan seri warna langit. Paling saya suka, pemandagan langit yang sedikit hitam tetapi sudah menunjukkan warna biru dihiasi dengan sang rembulan yang masih bercahaya. MashaALLAH..
Bernafas di luar ketika waktu ini membuatkan saya berasa sungguh segar dan bersemangat untuk memulakan aktiviti pada setiap hari.
Gambar-gambar ini diambil pada pukul 7:05 - 7:30am. |
Hasil dari bersenam hampir setiap hari, menjaga makan walaupun tidaklah saya terlalu berdisplin, Alhamdulillah...berat juga dapat dikurangkan sebanyak tiga kilogram. Dan sekarang, saya masih mengejar target berat saya yang ideal.
Suami saya juga memperkenalkan diet keto kepada saya. Bahan-bahan utama seperti tepung gandum, diganti dengan tepung kacang badam, gula putih diganti dengan erythritol.
Apa yang saya masih cuba sekarang adalah untuk tidur pada pukul 10:00pm setiap malam. Kebiasaannya, waktu tidur saya adalah pada pukul 10:30 - 11:00pm. Memang mencabar!
2) Keluarga
walaupun tiada sebarang penambahan ahli keluarga, tetapi kami diuji dengan kematian. Ibu saudara yang sangat kami sayangi sebelah suami pergi menghadap Illahi disebabkan serangan angin ahmar. Sedih kerana tempoh itu, perlaksanaan PKP yang agak ketat. Untuk merentas negeri tidak dibenarkan kecuali jika ada urusan yang benar-benar penting. Kematian pula, hanya melibatkan ahli keluarga terdekat sahaja. Hanya doa dari kami sekeluarga buat Allahyarham.
Hubungan kami sekeluarga di dalam rumah ini juga bertambah baik. Dari segi komunikasi, kami banyak bercakap dan berbincang hal-hal ehwal semasa. Suami pun memang bekerja dari rumah semenjak bulan Mac yang lalu. Setiap waktu solat,kami akan cuba solat berjemaah.Tidak dapat semua waktu, tapi syukur...lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini.
Semasa bulan Ramadan , kami akan mengaji bersama-sama sementara menunggu solat Isyak untuk solat tarawikh. Sehingga sekarang, amalan ini kami kekalkan.
Umair juga telah khatam Al-quran kali yang pertama pada bulan Oktober.
Kerisauan memikirkan orang tua di kampung yang tinggal berjauhan dari anak-anak itu pasti ada. Bagusnya di kampung saya, jiran-jiran memang ambil tahu antara satu sama lain. Sekarang ini, pada usianya 71 tahun, ayah masih mampu untuk memandu seorang diri ini.
3) Kerjaya
Saya berjaya menamatkan kursus ( CELT-P ) pada bulan Februari. Selepas itu, saya mengajar Cambridge English dalam talian. Pada mulanya agak mencabar kerana semuanya perlu saya fikir dan rancang agar pembelajaran dalam talian masih dapat memberikan manfaat untuk pelajar-pelajar saya.
Banyak yang saya pelajari tentang mengajar dalam talian. Memang mencabar, tetapi ianya masih mampu dilaksanakan. Kena pandai dan tahu bagaimana mahu menyesuaikan silibus yang ada supaya menjadi mudah untuk difahami oleh pelajar-pelajar saya.
Saya baca tips dan mendapatkan idea dari Youtube dan laman sesawang yang lain.
4) Pengayaan Diri
Saya banyak menghadirkan diri mendengar ceramah atau tazkirah berkenaan ilmu agama ataupun kekeluargaan.Ada yang percuma dan ada yang perlu dibayar.
Antara yang telah saya hadirkan diri adalah kelas sirah tentang Rasulullah S.A.W anjuran PETRONITA. Kelas yang mengandungi 10 siri ini telah disampaikan oleh Doktor Jefri Irwan Haris dari I.D.T .
Selain daripada itu, kelas tajwid yang sebelum ini saya ikuti secara fizikal di Akademi Alfan, saya sambung semula secara dalam talian. Sehingga ke hari ini, ahlinya sudah bertambah dari dua / tiga orang menjadi lapan orang. Terbaru, seorang sahabat baru dari Kazakhtan menyertai kami.
Bersama Ustaz Nouman Ali Khan pula, saya belajar untuk memahami perkataan-perkataan yang ada di dalam Al-Quran. Ianya bukan mudah kerana setiap kali kelas, mengambil masa hampir tiga jam. Saya akan cuba pastikan, setiap hari saya akan menontonnya. Itulah, kepayahan dan pelaburan yang sedang saya lakukan.Mencari waktu untuk mencari ilmu. Semoga suatu hari nanti, ianya membuahkan hasil yang lumayan. Paling penting, bermanfaat juga kepada orang lain.
Kami juga belajar ilmu baru tetang wasiat dan hibbah. Melalui seorang kenalan di bank suatu ketika dahulu, beliau menjadi mentor untuk kami melaksanakan hibah ini. Bukan senang untuk mengambil langkah pertama kerana ianya melibatkan dengan kematian kita sendiri.
Sedih dan bukanlah sesuatu yang menggembirakan.
Namun, kita semua tahu bahawa kematian itu pasti akan datang. Tidak lewat atau awal walau sesaat.
Mahu atau tidak, kami tetap berbincang bersama-sama tentang pembahagian hata kepada anak-anak. Semoga dengan usaha kami ini, fitnah dan perbalahan dapat dielakkan selepas ketiadaan kami nanti.
5) Anak-anak
Selain dari mereka bermain video games, saya ajarkan juga mereka memasak dan membuat kerja-kerja rumah yang lain. Buat masa sekarang, mereka sudah ada jadual membuang sampah. Setiap hari, mereka bergilir membuang sampah. Menggunakan jadual ini juga, mereka bergilir membentang sejadah, membaca doa selepas iqamat dan menanak nasi.
Katil juga , mereka kemaskan sendiri. Ada masa , mereka terlupa atau buat-buat lupa. Jadi, saya lah yang selalu membebel mengingatkan mereka.
Hari Ahad setiap minggu kami akan bergotong royong membersihkan rumah dan bilik masing-masing.
Tugas menyidai dan mengangkat pakaian juga dilakukan oleh mereka bersama-sama. Tugas melipatkan kain yang sehingga kini kadang mereka buat, kadang hanya dilonggokkan sahaja di dalam bakul. Hahahaha~
Cabarannya? perlu lah rajin mengingatkan mereka, bersabar degan seribu satu macam perangai anak-anak. Buat-buat tidak nampak jika hasil kerja yang mereka lakukan itu tidak menepati tahap kekemasan kita.
Antara menu-menu yang sudah anak-anak saya pelajari :
- Lempeng
- Nasi Goreng
- Bihun Sup
- Mi Goreng
- Wafel
- Nasi
- Roti Bakar
- Roti telur
- Biskut
- Karipap segera ( beli yang sejuk beku dan tinggal suruh anak-anak masak di dalam 'air fryer')
Kesimpulannya, ambil masa untuk diam dan berfikir dengan tenang. Apa 'perjalanan' hidup yang kita mahukan.
Jangan bazirkan masa yang ada dengan perkara yang sia-sia. Semakin hari, usia kita semakin meningkat. Bermakna kita semakin hampir dengan kematian.
Semoga saudara dan saudari semua juga diberi ilham dan masa yang diberkati untuk melakukan sesuatu yang berfaedah. Untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Tidak dapat banyak, tidak mengapa. Kerana saya cuba sentiasa berpegang kepada ayat ini :
Ù„ِÙŠَبْÙ„ُÙˆَÙƒُÙ…ْ Ø£َÙŠُّÙƒُÙ…ْ Ø£َØْسَÙ†ُ عَÙ…َÙ„ًا
”Supaya Dia menguji kamu, siapa diantara kamu yang lebih baik amalnya” (QS. Al Mulk, 67: 2)
1 comments
perancangan Allah adalah yg terbaik
ReplyDeletealhamdulillah
Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.