Wajib tonton - Umar Al-Farouq the series ( Umar Al-Khattab )
Kisah Farouq Omar ini berjaya membawa saya seolah- olah kembali ke zaman Nabi Muhammad (S.A.W) dan Khalifah Ar-Rasyidin . Suasana penggambaran dan skrip adalah sama seperti apa yang diceritakan oleh beberapa orang scholars / ustaz seperti Sh. Omar Suleiman dari Yaqeen Institute dan Dr. Jefri Irwan B. Haris Gunawan.
Umar Al-Khattab (ra) dilahirkan di Mekah dan berasal dari Bani Adi. Bani Adi bukanlah bani yang hebat seperti Bani Hashim tetapi tidaklah berada dalam kasta bani yang rendah. Umar menceritakan bahawa, bapanya Al-Khattab Ibn Nufail, seorang bapa yang sangat garang. Dia sering dipukul , dimarah, diherdik dan dipaksa melakukan pekerjaan sehingga keletihan.
Kemungkinan, itu juga mempengaruhi wataknya yang garang dan tegas. Namun Umar Al-Khattab mempunyai hati yang lembut dan sangat baik. Umar Al-Khattab sendiri Ketika menjadi Khalifah bertanya kepada isterinya, Atiqaa ( anak kepada Zaid Ibn Amr ) berkenaan ‘kegarangan’ nya.
Walaupun tajuk cerita nya “Farouq Omar” tetapi ramai sahabat-sahabat
Nabi lain yang muncul dalam cerita ini. Selain daripada empat orang Khalifah –
Abu Bakr, Umar Al-Khattab, Uthman B. Affan dan Ali B. Abi Talib. ( May ALLAH
S.W.T be pleased with all of them ). Ada ramai lagi sahabat-sahabat lain yang
saya baru tahu kewujudan, pengorbanan dan jerih perih mereka dalam menyebarkan
agama Islam.
Antaranya adalah seperti – Khalid Al-Walid, Ikrimah ( sepupu
Khalid Al-Walid ) Abu Jandal, Abdullah, Suhayl, Abu Ubaidah, Bilal Bin Rabah,
Wahshi ( sahabat Bilal Ketika mereka sama-sama menjadi hamba ) , Jaafar B. Abi
Talib, Zaid Ibn Haritha ( anak angkat Nabi Muhammad ) Abdullah Ibn Rawahah, Zaid Ibn Al-Khattab ( adik Umar Al-Khattab ),
Abu Hudaifah ibn ‘Utba, Salim Mawla Abu Hudaifa, Abu Sufiyan.
Ada juga sedikit babak, bagaimana Abu Jahl menyiksa keluarga Yassir , Sumayyah dibunuh. Waktu mereka diseksa , datang Abu Bakr dan menyampaikan pesanan Rasulullah S.A.W agar mereka bersabar kerana syurga menanti mereka.
Dari kisah ini, ayat permulaan surah Al-Ankabut ditujukan khas buat keluarga Yassir. OK! Yang ini saya baru tahu asbabul nuzul ayat tersebut. MashaALLAH…kisah mereka dirakamkan di Al-Quran.
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ - 29:2
Do the people think that they will be left to say, "We believe" and they will not be tried?
Bilal Bin Rabah juga diseksa dengan sangat teruk, datanglah Abu Bakr menebus Bilal sebagai hamba sahaya dan bebas lah Bilal B. Rabah dari tuannya yang kejam. Jika Abu Bakr digelar As-Siddiq , Umar Al-Khattab pula digelar ‘Al-Faruq’ yang membawa maksud keupayaan membezakan yang hak dan yang yang batil.
Umar Al-Khattab memeluk Islam setahun selepas penghijaran umat Islam ke Abyssinia dan juga selepas tiga hari Hamzah B. Abdul Muttalib ( bapa saudara Rasulullah S.A.W) memeluk agama Islam.
Islam selepas Umar, adalah sangat berlainan. Umar dengan berani dan terang-terangan memberitahu ketua-ketua kabilah kafir Quraisy tentang pengislamannya. Dengan beraninya, Umar mengetuk pintu rumah Abu Jahl dan memberitahu yang kini beliau sudah memeluk agama Islam.
Episod paling menyayat hati dan meruntun jiwa saya adalah sudah semestinya sewaktu Nabi Muhammad S.A.W meninggal dunia. Ketika itu, Umar Al-Khattab sangat beremosi sehingga Abu Bakr (ra) datang menenangkan suasana.
Beberapa perang ketika Rasulullah masih hidup dan selepas baginda wafat juga ada dilakonkan. Anak-anak lah paling teruja apabila tiba bab perang dan berlawan ni. Celik terus mata .. HAHAHA!
Perang Badar yang dimenangi oleh Kaum Muslimin. Ketika perang Uhud, tentera Islam mengalami
kekalahan kerana tidak patuh dengan arahan Rasulullah S.A.W. Ketika itu, Khalid
Al-Walid masih belum memeluk agama Islam. Dialah yang mengarahkan tenteranya
mengepung bukit UHUD dan memerangi tentera Islam sehingga kalah. Hamzah, bapa
saudara Nabi Muhammad mati syahid dibunuh oleh Wahashi ( yang ini ada kisahnya,
kena cerita asing ).
Kemudian, diikuti dengan perang Mut’ah, Perang Khandak, Perang Yamama yang ramai mengorbankan ahli huffaz Al-Quran, Perang Yarmouk yang berlangsung selama 6 hari. Sewaktu perang,watak Khalid Al- Walid paling mencuri perhatian kami. Dan lagi teruja apabila baca sendiri bagaimana strategi yang telah dirancang untuk mengalahkan pihak lawan. Tak terbayang dek akal apabila pihak lawan yang mencecah berates ribu tetapi tentera islam hanya beribu sahaja ramainya.
sedikit sedutan yang saya rakamkan. Hebatnya watak yang dilakonkan sebagai Khalid Al-WalidAda dua babak yang mempamerkan adegan mencium dahi sahabat. Antaranya, Umar Al-Khattab dan Abu Bakr As-Siddik juga Khalid Al-Walid dan Abu Ubaidah. Peristiwa ini berlaku apabila , mereka mahu mengalihkan jawatan / tugas. Subhanallah..setiap ayat yang diucapkan, hanya lah kerana ALLAH S.W.T. Khalid Al-Walid dengan rela hati menyerahkan tugas ketua panglima nya kepada Abu Ubaidah kerana Khalid dipecat oleh Umar Al-Khattab. Tiada dendam langsung. Khalid terus memberikan sokongan padu buat Abu Ubaidah.
Kiranya, Khalid Al-Walid pun menyerlah juga dalam cerita ini. Kuasa jajahan semasa pemerintahan Umar Al-Khattab diperluaskan sehingga berjaya menakluki empayar Byzantine.
Sikap yang ditonjolkan di dalam cerita ini sangat terkesan. Ianya sama seperti apa yang pernah saya dengar di dalam siri Sirah dan ada juga yang saya terbaca di buku / internet. Antaranya adalah apabila seekor unta yang membawa barang yang banyak diarahkan untuk diturunkan barang-barang nya supaya unta tersebut tidak terseksa. Umar Al-Khattab mencuba untuk berlaku adil dengan semua makhluk ALLAH S.W.T.
Terkesan apabila seorang demi seorang sahabat yang meninggal dunia termasuk Khalid Al-Walid dan sahabat kesayangan Umar sendiri iaitu Abu Ubaidah B.Jarrah yang mati disebabkan oleh wabak taun yang melanda. Kita selalu dengar di luar bahawa Umar Al-Khattab ini seorang yang garang, tegas dan berani. Tetapi tahukah kita semua bahawa, di sebalik kegarangan dan ketegasan yang ada di dalam dirinya, ada kelembutan di dalam dirinya. Beberap kali, air matanya tumpah kerana kehilangan para sahabat dan ahli keluarga nya. Tidak lupa juga, apabila Umar selalu bermunajat dan meminta ampun di atas segala kekhilafannya terhadap ALLAH S.W.T. Walaupun dirinya tahu, dia adalah antara sahabat yang dijanjikan syurga.
Memang insaf dan banyak sangat sikap dan kebaikan yang ditonjolkan oleh para sahabat Nabi ketika zaman Khalifah ini memerintah.
Satu lagi perkara apabila menonton cerita sirah ini dengan anak-anak, mereka akan lebih cepat menghubung kaitkan dengan apa yang dipelajari di sekolah.
Ada suatu hari, Umair bercerita kepada saya. Katanya hari ini dia belajar tentang Abu Ubaidah! Alhamdullillah..nampak dia lebih seronok dan rasa teruja mungkin sebab dia sudah menonton cerita ini terlebih dahulu dan apabila Mu’allim mengajar di sekolah, sudah pasti dia lebih faham dan penghayatan nya akan lebih la lagi kan?
Kalau anda semua ada masa, saya galakkan sangat untuk menononton Umar Al-Farouq the series. Boleh layari laman sesawang ini dan daftar dahulu secara percuma. Seterusnya, boleh la terus tonton ya!
https://www.islamicity.org/9106/omar-ibn-khattab-series/
0 comments
Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.