Selesai memakai braces dan sambung memakai retainer.

By Tuesday, December 20, 2022

Setelah 4 tahun 3 bulan akhirnya tamat lah perjalanan bersama pendakap gigi. Ada beberapa peristiwa yang tidak pernah saya terfikir perlu saya lalui untuk menamatkan proses pemakaian pendakap gigi yang telah saya lalui.

Antaranya adalah termasuklah mencabut 4 batang gigi dan  pemakaian 2 batang skru pada gusi atas. Saya kira ini adalah perkara paling mencabar dalam perjalanan memakai pendakap gigi.

Perkara-perkara lain yang saya rasakan ianya tidaklah terlalu besar adalah seperti - peralatan yang digunakan oleh doktor kadang kala menyebabkan kulit bibir atas saya tersepit dengan peralatan yang beliau gunakan.  Sekaligus saya mengalir air mata dek kerana tidak dapat menahan kepedihan.

Kesukaran untuk membersihkan gigi selepas makan kerana sisa-sisa makanan tersepit antara celah-celah besi pendakap gigi. Rasa tidak selesa setiap kali makan itu normal. Memang kena rajin untuk berus gigi setiap kali selepas makan.

Sejurus selepas pendakap gigi ditanggalkan.

Proses untuk menanggalkan braces ini hampir memakan masa selama sejam. Doktor memang cuci keseluruhan gigi termasuk membuat 'scaling'. Selepas itu, doktor akan membuat acuan gigi untuk dijadikan retainer.

Tujuan retainer ini adalah untuk menahan gigi-gigi daripada bergerak ke sana ke sini. Jadi kedudukannya akan sama seperti hari pertama pendakap gigi dibuka. 

Doktor akan suruh kita nganga luas-luas dan acuan bersama ala-ala tanah liat yang berasa sejuk itu ditekan di bawah dan atas gigi selama beberapa minit. Masa doktor buat acuan bahagian bawah memang saya okay sahaja cuma ada rasa sejuk di bahagian bawah mulut tu. Apabila doktor buat acuan di bahagian atas, memang rasa geli sebab sentuh lelangit, anak tekak. 

Memang terseksa sangat, berkali-kali saya tahan rasa nak muntah sambil mengalir air mata dan air liur. Nak bernafas pun susah. Tak pasti kenapa sebab kalau diingatkan, semasa proses awal dahulu memang ada libatkan proses yang sama tapi tak seteruk yang kali ini.

Keesokan harinya, saya kembali berjumpa doktor untuk memasang retainer pada gigi. Menurut doktor, pemakaian retainer perlu setiap masa kecuali waktu makan. Pakai selama 6 bulan.

Selepas 6 bulan, pakai masa tidur sahaja. Ingatkan kalau dah buka pendakap gigi ini boleh la bersorak kegembiraan. Tapi rupa-rupanya tidak lagi ya. Pemakaian retainer ini saya andaikan komitmen seumur hidup. Rugilah dah habis beribu ringgit tapi akhirnya nanti gigi kita kembali seperti asal.

Rupa bentuk retainer

Retainer ini ada cara penjagaan yang tersendiri. Sebelum pakai, kena berus dahulu dan bersihkan menggunakan sabun pencuci pinggan. Kalau nak tanggalkan daripada gigi pun ada cara yang tersendiri. Retainer bahagian atas senang jer untuk saya tanggalkan. Tetapi untuk bahagian bawah memang mencabar sedikit. Saya perlukan kain sebagai alas kuku untuk menarik keluar retainer ini. Harapnya, nanti semakin mudahlah saya nak tanggalkan retainer ini.

Alhamdulillah, selesai lah cerita pemakaian pendakap gigi saya. Sekarang ini perjuangan untuk memakai retainer pula.Semoga saya kekal rajin untuk memakai retainer setiap masa.

Terima kasih buat kawan-kawan yang sudi berkongsi pengalaman bersama dan semoga dipermudahkan urusan yang mahu memakai pendakap gigi pada usia menjelang 40 an.

You Might Also Like

0 comments

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.