Pengalaman membuang polip dengan prosedur " Hysteroscopy"

By Monday, May 22, 2023

Seingat saya, tempoh haid saya memakan masa lebih dari sepuluh hari ketika umur saya awal 30-an. Malah, ketika saya berada di Jepun lagi saya telah mengalaminya. Waktu itu, saya cuma berfikir yang mungkin ianya adalah akibat daripada perubahan hormon badan akibat selepas weaning off Uwais daripada menyusu badan. Disamping itu juga saya tidak ada rasa apa-apa sebarang kesakitan di kawasan rahim.

Pulang dari Jepun, perkara ini berlarutan dan hampir setiap kali kitaran memakan masa selama 14 hari. Ada masa, saya ingatkan sudah bersih. Tetapi, lusa nya ada seperti calitan yang merupakan discharge tetapi bewarna pekat seperti air milo.

Saya juga melakukan ujian pap smear dan mendapati tiada apa yang serius. Semuanya baik-baik sahaja. 

Sehinggalah, pada minggu lepas saya tekad untuk berjumpa dengan doktor pakar ( gynaecologist ) iaitu Dr. Raja Juhaidah di Hospital Columbia Asia Puchong. Setelah saya menerangkan apa yang berlaku ke . Doktor memeriksa dengan menggunakan alat pengimbas di atas perut dan juga melalui vagina. Doktor juga bertanya samada saya ada mengambil sebarang supplement / ubat-ubatan lain.

Hasil pemeriksaan, doktor mendapati ada dua cyst yang lebih kurang besarnya dalam 2-3cm dan menurut doktor juga, ianya tidak serius kerana apabila diteliti di dalam cyst tersebut hanyalah cecair.

Rupa Cyst

Selepas penemuan cyst tersebut, doktor juga dapat mengenalpasti ada 'sesuatu' dalam rahim saya . Tetapi ianya tidak dapat dipastikan dengan jelas kerana alat yang digunakan adalah imbasan sahaja. Jadi, doktor mencadangkan agar saya menjalani kaedah hysteroscopy dan juga minor operation di mana, pembuangan dan pembersihan akan dilakukan sekaligus.

Saya juga akan diletakkan di Wad Day Care untuk pemantauan sebelum, semasa dan selepas procedure dijalankan. Asalnya saya nak buat ketika suami ada di sini memandangkan waktu tersebut dia berada di luar negeri selama 2 minggu. Tetapi, doktor menyarankan agar saya dapat melakukannya dengan kadar segera.

Lebih cepat lebih baik.

Memang saya serabut juga memikirkan hal anak-anak ke sekolah. Siapa yang nak menghantar dan mengambil. Dah lah kakak sesi pagi, abang sesi petang dan adik dari pagi sampai ke petang. Akhirnya, seramai tujuh orang terlibat dalam memastikan urusan saya dipermudahkan. Terima kasih banyak-banyak buat jiran-jiran dan sahabat yang sentiasa ada.

Ikutkan hati memang senang kalau nak dipontengkan. Tetapi, saya juga tidak suka mereka berada di rumah tanpa pengawasan sesiapa. Lagi satu, sudah pasti masa akan dihabiskan dengan 'screen time'. Saya juga nak mereka tahu bahawasanya, sekiranya kita dalam kesusahan. Jiran-jiran adalah orang yang terdekat dan dapat dipercayai untuk kita meminta bantuan.

Bukankah di dalam Islam, kita disuruh untuk membantu dan meringankan beban saudara kita. Saya harapkan, anak-anak dapat mempelajari sesuatu dari kisah yang berlaku hari itu. Walaupun mreka tidak setuju tetapi saya sudah menjelaskan dan menerangkan perkara yang sepatutnya.

Tepat pukul 6.50am hari Isnin yang lepas saya bertolak dari rumah ke hospital. Pergerakan lalulintas agak sibuk di waktu pagi. Saya sudah sedia maklum hal ini. Di atas LDP, semuanya lancar dan sampai sahaja di hospital terus saya menekan butang 'C' dan menunggu dipanggil untuk pendaftaran.

Walaupun waktu itu tidak ramai pesakit, masa menunggu  lebih kurang 30-40 minit  untuk dibawa ke bilik "day care" . Jururawat membawa saya ke bilik bersalin di mana di sana terdapat nya sebuah sofa, katil boleh laras dan bilik air yang besar. Memang selesa! 

Ketika menunggu memang agak bosan,. Jadi memang selalu update status terkini dengan suami. Tidak lama kemudian, jururawat dan seorang pakar bius pun datang. Beliau sangat baik dan menjelaskan apa prosedur yang akan dilakukan. Darah saya juga diambil untuk diperiksa. ECG juga dibuat untuk memastikan jantung saya berada dalam keadaan yang baik. Bacaan darah tinggi juga normal. Segala prosedur ini adalah penting ntuk mengelakkan sebarang komplikasi ketika proses hysteroscopy dilakukan.

Saya diberikan ubat tahan gastrik dan tahan muntah melalui wayar sebab saya tak makan dari pukul 9 malam dan mungkin kesan sampingan ubat bius tersebut juga akan menyebabkan saya mabuk dan muntah.

Bilik ini sebenarnya adalah bilik bersalin. Sebab tu lengkap dengan baby cot dan peralatan kesihatan yang lain. Di sini lah tempat saya menunggu sebelum dan selepas.

Pada pukul 9.30am, saya ditolak ke dalam bilik operasi. Masa ini saya dah selawat dan baca doa banyak-banyak. Di dalam bilik pembedahan,  Doktor berkata kepada saya :

"Okay ya..kita nak mula dah "

Lantas, corong gas oksigen / ubat bius ditekupkan di hidung. Saya mengucap awal-awal sebab takut nanti dah pengsan tak bangun pula. Manalah tahu kan...sesungguhnya ajal dan maut itu rahsia ALLAH SWT.

Saya tak sedar dan tak tahu berapa lama saya ditidurkan. Sedar pun apabila doktor / jururawat memanggil nama saya. Perlahan-lahan saya cuba membuka mata, tetapi masih terasa mamai dan agak pening ketika cuba membuka mata. 

Pun begitu, saya sempat bertanya kepada doktor sekarang pukul berapa. Rupanya dalam sejam lebih juga baru selesai. Saya berfikir, mungkin semuanya sudah selesai awal lagi memandangkan keadaan saya ketika itu sama seperti ketika saya mula-mula masuk ke dewan bedah. Kaki pun lurus sahaja. Kalau diikutkan, posisi yang perlu adalah seperti seorang ibu melahirkan anak.

Alhamdulillah..lega sangat. Saya terus ditolak ke bilik day care. Sampai sahaja di sana, saya minta untuk jururawat memberikan telefon kerana saya perlu memberitahu suami. Saya tak mahu dia risau.

Masa tu nak taip pun, rasa beratnya kepala. Tapi kena gagahkan juga.

Jururawat minta saya untuk berehat dan lengan saya disambungkan dengan alat pemeriksaan darah tinggi. Saya cuba lelapkan mata , tapi tak boleh. Tidak lama kemudian, Doktor  pun datang dan bertanya kan keadaan saya. Keputusan ujian darah juga telah diberikan. Doktor cuma cakap, bacaan kolestrol saya melebihi paras yang sepatutnya. Saya cuma mengiyakan sahaja sebab memang dah agak dah.

Saya terus berehat dan tak lama kemudian, makanan tengahari pun sampai. Jururawat minta untuk saya minum air kosong dahulu sebagai langkah berjaga-jaga. Apa reaksi tubuh badan selepas beberapa jam dibius. Alhamdulillah, saya okay dan baik-baik sahaja. Lantas, menu tengahari itu saya makan sehingga licin. Memang sedap dan kebetulan saya pun lapar.

Beberapa jam kemudian, Doktor Raja Juhaidah pun datang dan menurut beliau, terdapatnya polip di dalam rahim. Katanya lagi, polip tersebut kecil sahaja dan memang dari polip tersebut adanya pendarahan. Doktor pun dah buang dan cuci. Sampel juga diambil untuk dihantar ke makmal bagi pengesanan kanser. 

Dua hari lepas, saya mendapat tahu bahawa ujian kenser tersebut negatif. Syukur ya Allah..lega sungguh hati. Walaubagaimanapun, saya perlu berjumpa kembali dengan Doktor Raja Juhaidah untuk tujuan 'follow up'. Saya pun belum sempat melihat video polip tersebut.

Pukul 3.45pm, saya turun ke farmasi untuk mengambil ubat. Ada dua jenis ubat yang dibekalkan Saya sempat juga menelefon Kak Yus meminta bantuan untuk mengambil Uwais dari sekolah. Sementara menunggu Zila datang menjemput, saya ke kafe sebentar dan memesan air milo panas.

Sebenarnya memang ada rasa pening-pening lagi. Tapi kena gagahkan juga demi anak-anak di rumah. Syukur, semuanya dipermudahkan. Sempat juga sahabat yang seorang lagi, Mimi datang melawat dan tolong ambilkan Umair dari sekolah.

Sahabat selamanya. Hanya ALLAH SWT yang membalas budi baik kalian.

 Update hari ini ( 22hb Mei 2023)

Pagi tadi sesi berjumpa semula dengan Dr Raja Juhaidah. Menerusi komputer beliau, ditayangkan kepada kami bagaimana bentuk dan rupa polip tersebut. Memang nampak ianya ada pendarahan dalam polip tersebut. Selain daripada itu, saya bagitahu doktor bahawa sehari selepas hysteroscopy dijalankan, tekak saya jadi perit dan gatal agak teruk. Akibatnya saya batuk-batuk dan menyebabkan kesukaran untuk saya tidur malam dengan lena. 

Saya juga ada berjumpa dengan doktor sebanyak dua kali. Dua jenis ubat batuk cecair yang diberikan kepada saya. Satu yang mengantuk dan satu lagi tidak mengantuk. Malangnya, kedua-dua ubat tersebut tidak memberikan kesan yang positif. 

Doktor Raja Juhaidah pun memberikan saya ubat sembur tekak Difflam Forte untuk bagi kurangkan rasa gatal tersebut. Selain itu, ada beberapa ubat pil diberikan untuk mengurangkan batuk. Kata beliau, kalau dah seminggu pun belum okay lagi cepat-cepat jumpa physician pula. 

Tertanya juga, adakah disebabkan tiub yang dimasukkan ke dalam rongga mulut sewaktu saya pengsan tempoh hari memberikan kesan sampingan sehingga ke hari ini ? Batuk saya ini memang tiada kahak. Kalau ada pun, kahaknya berwarna putih. Saya tidak selsema dan juga demam.

Mohon kawan-kawan doakan agar saya cepat sembuh ya!

Antara tips lain yang saya fikirkan ianya berguna adalah :

1) Perlu berpuasa sekurang-kurangnya 7 jam sebelum rawatan dimulakan.

2) Pakai sahaja baju dan tudung yang senang nak cabut dan pakai semula. Apatah lagi sekiranya pergi berseorangan tanpa teman.

3) Sangat digalakkan untuk ada orang lain sebagai peneman sebabnya kita akan rasa juga gementar / risau. Disamping boleh tolong jaga barang  dan mengawasi keadaan kita.

4) Tanggalkan semua barang kemas terutamanya rantai dan gelang.

5) Berdoa dan bertawakkal semoga ALLAH SWT melindungi kita dari sebarang kecederaan yang tidak diinginkan.

Saya harap semoga perkongsian ini menjadi dorongan dan panduan buat kaum wanita di luar sana. Bertindak segera dan cegah sebelum menjadi parah.

Jaga kesihatan sebaik mungkin ya kawan-kawan dan jangan takut untuk berjumpa dengan doktor kalau ada sebarang masalah kesihatan.



You Might Also Like

2 comments

  1. Salam hi sis..mcm mana dgn kesihatan skrng..semoga baik² Sahaja..boleh tahu berapa kos sis buat polyp removal?

    ReplyDelete
  2. Saya Buat daftar kat hospital macam pegi klinik..walk in .jumpa doktor ... doktor tgk ..Ada polips...terus dia Buang ..takde bius ..takde apa...tak Rasa apa pun....stgh jam setel..terus balik...sample dia hantar la lab

    ReplyDelete

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.