Balik Kampung Edisi Selepas AidilAdha
By NanyFadhly Sunday, June 15, 2025Memandangkan tahun ini, giliran kami meraikan AidilAdha di kampung Kelantan. Maka, peluang untuk menziarahi ayah dan emak di Perak ditundakan seminggu selepas kami pulang daripada Kelantan.
Saya tidak dapat untuk meluangkan banyak masa dengan mak dan ayah di kampung. Pulang ke kampung pada hari Sabtu dan kembali semula ke Puchong pada hari Ahad.
Cuaca di kampung halaman juga, panas membahang. Sempat kami dalam perjalanan singgah di gerai tepi jalan di kawasan Sabak Bernam untuk menikmati cendol yang berharga RM5 sebekas.
Perjalanan juga lancar dan tiada sebarang masalah. Emak terlebih awal sudah memesan untuk saya belikan bahan-bahan masakan. Katanya, nak buat lepat cendol dan laksa. Ayah juga sudah menelefon saya pada awal pagi, bertanya keberadaan kami anak-beranak. Kesihan mereka, pasti rindu dan sunyi. Tertunggu-tunggu kepulangan anak dan cucu-cucu.
Sampai sahaja di rumah, emak sudah menghidangkan juadah terngahari. Menunya seperti yang emak beritahu dalam perbualan WhatsApp kami. Sup tulang lembu korban, ikan cencaru sumbat dan sayur tumis peria. MashaALLAH, memang sedap sangat. Dapat pula, sup itu dimakan dengan sambal kicap. Ianya menjadi tradisi ataupun kebiasaan keluarga kami makan sup dengan sambal kicap. Tak toleh kiri dan kanan dah jawabnya.
Di kampung, saya tidak langsung membuka laptop walaupun pada asalnya , perancangan saya untuk menyiapkan beberapa tugasan MASTER saya. Tetapi, banyak masa saya habiskan untuk bersama-sama dengan emak dan ayah.
Pelbagai hal dan cerita yang emak borak dan kongsikan dengan saya. Banyak masa, saya hanya mendengar dan banyak bertanyakan soalan. Biarpun saya tahu kebanyakkan cerita yang emak kongsikan dengan saya, tidak relevan dengan kehidupan saya di bandar yang semua orang pun sibuk dengan diri masing-masing.
![]() |
Buah nenas yang emak tanam sendiri. Emak minta saya kupas dan potong. Manis sangat! |
Pada waktu petang, kami keluar halaman dan menyapu daun-daun pokok mempelam yang banyak berguguran di atas tanah. Kemudian, daun-daun kering tersebut dibakar. Anak-anak memang jarang dapat peluang bermain dengan api. Maklumlah, tinggal di bandar. Mana ada kawasan yang sesuai untuk membakar.
![]() |
Banyak kan daun kering yang berguguran? |
Silap haribulan, kena denda pula atas tuduhan pembakaran terbuka. Ketika sibuk saya menyapu, teringat anak saya ( Hannah ) pernah bagitahu. Katanya, di Shoppee daun-daun kering pun ada orang buat business. Tergelak emak apabila saya ceritakan perihal ini kepadanya. Agaknya, kalau emak nak jual pun boleh. Tapi tulah, kos penghantaran lebih mahal dari kos daun-daun kering itu.
Keadaan ayah pula bertambah baik dan sudah mampu duduk di atas kerusi untuk solat. Sebelum ini, ayah akan diambilkan wudu oleh orang lain dan kemudian terus solat duduk di atas katil. Ayah semakin selera untuk makan dan banyak bercakap. Tidak seperti sebelum-sebelum ini, badan dan muka nya cengkung. Cuma keadaan kaki ayah yang membengkak tetapi tak sakit pula katanya.
Saya memang sudah lama tidak mengemaskinikan blog, lantas terlalu banyak cerita dan kisah yang tidak saya abadikan di sini. Sebenarnya, pada tahun lepas dalam bulan May / Jun. Ayah kena serangan penyakit gout yang serius sehingga perlu dikorek isi daging yang sudah dijangkiti kuman. Ayah perlu berada di Hospital Teluk Intan selama lebih dari 10 hari. Maka, kami adik beradik bergilir untuk menjaga ayah.
Ada waktu, kami terpaksa ambil dan upah orang luar untuk jaga ayah memandangkan anak-anak semua nya ada kekangan yang tidak dapat dielakkan. Malam caretaker dan siang anak-anak. Memang mencabar, tetapi semuanya dipermudahkan ALLAH SWT.
![]() |
Gambar pagi tadi bersama ayah. Sengaja dia menyuruh saya mengambil kaca mata hitamntya. Katanya nak nampak bergaya! 😆 |
Banyak pengajaran hidup dan pengalaman yang dapat kami timba daripada kisah ayah yang sakit. Ada satu masa, kami fikir yang ayah memang takkan dapat jalan selama-lamanya. Tapi, kuasa ALLAH, doa dari semua anak-anak termasuk emak. Ayah sudah mampu berjalan walaupun menggunakan tongkat.
Kami menarik nafas lega terutama emak kerana, tak perlu lagi untuk emak mengendalikan ayah setiap kali ayah ingin menunaikan hajat. Ayah sudah mampu ke bilik air dan membersihkan diri. Semangat ayah sudah pulih! Syukur ya ALLAH...
Pagi tadi sempat saya masak bihun goreng, vakum kan kawasan ruang tamu, bersihkan peti sejuk, cucikan mesin basuh dan lapkan habuk pada kabinet TV. Emak juga sempat buatkan lepat cendol sebagai bekalan kami untuk dibawa pulang.
Sambil saya tolong, saya rakamkan juga proses nak memasak lepat cendol ini. Mudah sahaja rupanya, tak perlu kukus. Hanya dimasak di atas api yang sederhana sehingga semua nya pekat dan kemudian dibungkus menggunakan daun pisang.
Kawan-kawan boleh tonton video pendek saya ini ya. Video pertama, the making of lepat cendol dan video kedua, sepetang di kampung saya Bagan Datuk. Ada orang Bagan Datuk tak kat sini?
Saya bersyukur masih dapat merasa kasih sayang ibu dan ayah dan paling mahal adalah doa daripada mereka. Saya doakan buat mereka yang sudah tiada kedua orang tua nya semoga roh-roh mereka diampunkan ALLAH SWT. Teruskan menjadi anak yang soleh dan mendoakan kesejahteraan mereka di 'sana'.