Jom belajar menjahit secara online bersama Jom Jahit!

By Saturday, June 20, 2020 , ,

Assalammualaikum w.b.t

Disebabkan musim PKP baru-baru ini, saya mengambil keputusan untuk meningkatkan kemahiran menjahit saya.  Lagipun, sudah lama sangat saya tidak menggunakan mesin jahit tepi. Lantas, rasa bersalah mula menyelebungi diri ini seperti mana habuk sudah pun menyelimuti mesin jahit itu.

Ikutkan rasa dan nafsu malas ini memang rasa tak nak buat apa-apa pun. Tetapi, rasa 'kosong' pula. Jadi,  terus gatal tangan mula google di internet kelas menjahit. Maka terjumpa lah facebook Jom Jahit. Mereka juga memang ada buat promosi kelas menjahit secara online dengan harga yang agak berbaloi.



Saya beli 5 pakaian yang berharga RM50. Antara material yang saya dapat adalah, video melakar, memotong dan menjahit setiap pakaian. Nota dalam bentuk format .pdf untuk setiap pakaian. Percuma pola kain lipat batik, kain duyung dan kain bentuk A.

Sehingga harini, saya telah menghasilkan 2 helai baju kurung kedah modern, 1 kain lipat batik, 1 kain bentuk A, dua helai palazzo dan sepasang baju melayu teluk belanga.

Bersama pola kurung kedah untuk Hannah. Kain cotton tu dah beli lama semasa saya tinggal di Jepun dahulu.
Dengan teknologi zaman sekarang, InshaALLAH...apa sahaja mampu dilakukan.

Hati berbunga riang apabila melihat hasil penat lelah. Walaupun tidak lah sempurna tetapi Alhamdulillah...menjadi dan Hannah boleh pakai baju ini untuk Raya Haji nanti.
Pengalaman baharu apabila menjahit lengan berbentuk 'S'. Agak mencabar sebab perlukan teknik yang betul, Jika tidak, kain luar baju akan berkedut berlipat. Jadi, kelihatan tidak kemas hasil jahitan.
Baju ini saya jahitkan untuk anak saudara yang berusia 2 tahun dan dia menetap di Pulau Pinang. Saya suka jahit baju untuk budak-budak sebenarnya. Sebab mereka tidak memerlukan kain yang banyak, jadi kurang 'messy' di situ. Kain pula, saya suka sangat guna kain cotton sebab senang mendengar kata dan arahan, Saya benci jahit guna kain satin sebab kain begitu kurang mendengar kata dan menuntut kesabaran yang sangat tinggi. HAHAHAH~

Dek kerana itu, saya tidak mahu mengambil sebarang tempahan. Cukuplah, menjahit pakaian ini hanya dijadikan sekadar hobi dan lepas untuk diri sendiri dan anak-anak serta ahli keluarga terdekat.

Ini pula palazzo menggunakan kain jeans yang lembut
Untuk palazzo, saya masih belum dapat menghasilkan seluar yang betul-betul selesa di celah kelangkang. Apabila saya besarkan celah kelangkang, jadi kurang cantik pula. Saya rasa perlukan pola lain untuk bahagian hadapan dan juga belakang.



Ini pula seluar palazzo yang saya jadikan seluar tidur buat Hannah. Kebetulan material kain ini jenis stretchable dan sejuk. Sesuai sangatlah kalau saya buat jadi seluar tidur. Baju melayu Uwais juga sudah saya siapkan tetapi belum sempat untuk diambil gambar. InshaALLAH...entry yang lain pula nanti.

Saya merasakan belajar online ini walaupun bunyinya seakan 'mudah' tetapi jika anda merupakan beginner level '0' dan tiada sesiapa di sekeliling yang mampu menolong. Saya cadangkan agar terus berguru secara bersemuka 'jasad'. Ini adalah kerana, guru tersebut mampu memberikan tunjuk ajar yang lebih berkesan berbanding di atas talian.

Saya juga sehingga kini, ada kalanya tersangkut juga dan mampu bertanya melalui Telegram. Cuma ianya tidak selalu memuaskan hati saya. Contohnya, jika pola leher saya kelihatan 'pelik' di manakah kesilapan saya yang mampu untuk saya perbaiki? Semuanya perlu dikaji sendiri.

Walaupun, ukuran nya sudah diperiksa berkali-kali. Pasti ada kekurangan ketika saya menyediakan pola leher tersebut.

Sijil yang diberikan secara softcopy buat simpanan.
Ini pula sijil Baju Kurung Kedah dan Kain A-Line.

Sebelum saya tamatkan cerita menjahit saya ini. Saya berkira-kira mahu membeli sebuah lagi mesin jahit. Alasan? tidak lah berapa kukuh kerana mesin jahit Janome kesayangan saya ini masih lagi elok dan cukup untuk memenuhi permintaan 'diri' sendiri. HAHAH~

Jadi, kita simpan dahulu angan-angan untuk memiliki mesin jahit model NV-A150 dari jenama BROTHER. Kita tahan air liur dahulu sebelum meleleh. Tatap sahajalah gambar mesin jahit ini yang saya ambil dari website BROTHER .






A150 | Brother Malaysia

You Might Also Like

0 comments

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.