Resepi susu kacang badam buatan sendiri. Sedap dan wajib dicuba!
Assalammualaikum w.b.t
Sekarang ini kami cuba kurangkan minum susu lembu dan beralih kepada susu yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan. Paling elok apabila susu ini dihasilkan sendiri. Ianya menjadikan susu yang bebas dari sebarang bahan pengawet termasuk lah GULA.
Cuma susu kacang badam ini tidak dapat bertahan lama. Jika disimpan di dalam peti sejuk bahagian bawah, pastikan ianya dihabiskan dalam masa dua-tiga hari. Mungkin selepas ini kami perlu menyimpan di dalam bekas khas di bahagian sejuk beku bagi memastikan susu badam mampu bertahan lebih lama.Kami pun tidak menyangka bahawa susu badam yang kami buat sendiri ini rasanya lebih sedap dan 'ringan'.Susu kacang badam ini boleh juga dicampurkan dengan buah-buahan untuk membuat "smoothie". Sangat baik untuk kesihatan bagi orang dewasa dan anak-anak kecil. Ianya juga boleh dicampurkan dengan madu ataupun stevia.
Resepinya yang sangat mudah memang patut dicuba oleh semua orang. Hanya gunakan mesin pengisar untuk menjadikan kacang badam ini bertukar menjadi susu. Kacang badam yang digunakan hendaklah yang asli. Bukan yang sudah siap dipanggang. Saya beli di kedai yang menjual bahan-bahan membuat kek. Harganya memang agak mahal. Kalau tidak silap saya, 500gram kacang badam berharga RM26.00.
Dengan kuantiti sebanyak 500 gram ini, kami hanya mampu membuat sebanyak tiga kali sahaja. Bermaksud, tiga cawan. Untuk satu cawan kacang badam yang sudah diproses menghasilkan lebih kurang 700ml susu.
Sebenarnya, nisbah resepi asal adalah 1:4 ( 1 cawan kacang badam dan 4 cawan air ). Jika mahu lebih pekat, boleh kurangkan air. Tetapi pada kami sukatan nisbah campuran kacang badam dan air ini sudahpun mencukupi. Sedap lah di lidah dan anak tekak kami ini.Sebagai tambahan perisa, boleh tambahkan secubit garam, sebiji buah kurma dan 1 sudu kecil esen vanilla. Ada juga saya bercadang mahu menambahkan sedikit sebuk koko. Tetapi masih belum berkesempatan lagi.
Jom kita semak resepi susu kacang badam buatan sendiri.
Bahan-Bahan :
1) 1 cawan kacang badam
2) 4 cawan air
3) secubit garam
4) sebiji kurma
5) 1 sudu kecil esen vanilla
Cara-cara membuat :
1) Rendam 1 cawan kacang badam bersama dengan air. Rendam cukup tenggelam kesemuanya.
2) Masukkan kacang badam yang sudah direndam bersama dengan 4 cawan air.
3) Masukkan secubit garam, sebiji kurma yang dibuang biji dan 1 sudu kecil esen vanilla.
4) Kisar sehingga halus
5) Tapis menggunakan kain penapis dan perah sehingga airnya kering.
6) Sudah siap dan boleh lah diminum terus. Sedap dan lazat!
Oh ya! hampas dari kacang badam itu jangan dibuang. Saya telah menukarkannya menjadi tepung kacang badam. Jangan tidak tahu, tepung kacang badam ini boleh dijadikan pelbagai masakan seperti kek dan lempeng. InshaALLAH, saya akan kongsikan di lain waktu pula ya.
Selamat mencuba semua!
0 comments
Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.