Resepi Kek Keto Coklat bersama sapuan mentega kacang

By Tuesday, January 12, 2021 ,

Resepi seterusnya dari majalah Keto Baking adalah Kek Coklat bersama mentega kacang. Sebenarnya, kek ini ambil masa untuk dihabiskan dek kerana anak-anak bukanlah peminat mentega kacang. 

Saya juga semasa usia seperti mereka tidak suka  apa sahaja makanan yang ada unsur kacang di dalamnya. Kecuali, kuah kacang yang yang dimakan bersama ketupat ataupun nasi impit. 

Tetapi, selera tekak berubah mengikut peredaran zaman. Jika ditanya, gabungan kek coklat bersama sapuan mentega kacang ini sebenarnya agak unik. Rasa kek coklat yang agak pahit kerana saya menggunakan coklat cip yang peratusan gulanya hampir tiada ( dark chocolate ) jenama Callabaut. 

Sapuan kacang mentega tiada gula  jenama Arries yang dibeli melalui Shopee . Jenama lain yang saya boleh cadangkan adalah : Jobbie ataupun Yogood

Resepi asal menggunakan loyang bulat bersaiz 9 inci. Tetapi saya menggunakan loyang bersaiz 8 inci. 

Bahan-bahan membuat Kek Keto Cokelat Bersama Sapuan Mentega Kacang :

- 192g tepung kacang badam

- 80g serbuk koko

- 42g tepung kelapa ( coconut flour )

- 1tbsp serbuk penaik ( baking powder )

- 1/2 tsp garam

- 115g mentega yang dicairkan

- 150g pemanis ( saya guna  erythritol ) 

-  4 biji telur

- 177ml susu kacang badam ( almond milk )  

 Bahan-bahan untuk membuat sapuan ( frosting ) :

- 225g krim keju ( saya guna jenama Tatura ) 

- 4 sudu besar mentega yang berada pada suhu bilik 

-250g mentega kacang

-120g erythritol (  resepi asal powdered sweetener ) - 

- 236ml krim putar ( resepi asal double cream )

Cara-cara mebuat:

- Panaskan oven pada suhu 180C dan lapik loyang dengan kertas alas kek. Saya menggunakan dua loyang kek bersaiz 8'.

- Di dalam bekas yang sesuai, satukan bahan-bahan kering di atas dan gaul sehingga semuanya bercampur dengan sekata. 

- Gunakan pengadun elektrik untuk mengadun sebati bahan-bahan seperti mentega dan  erythritol. Adun sehingga mentega bertukar tekstur seperti krim dan agak 'cerah'. Sekarang, masukkan telur satu persatu dan adun lagi sehingga adunan menjadi sebati.

- Seterusnya,masukkan separuh bahan kering tadi ke dalam adunan bahan basah.  Tuang susu badam ( almond milk ) ke dalam adunan. Adun sebati. Kemudian, masukkan baki bahan-bahan kering tadi dan adun lagi. 

- Bahagikan adunan kek dengan sama rata ke dalam bekas loyang kek. 

- Bakar pada suhu 180C selama 40 minit atau sehingga masak.

- Keluarkan kek dari oven dan biarkan sejuk sebelum disapu dengan krim mentega kacang.

 

Cara-cara membuat krim mentega kacang : 

- Adun krim keju, mentega dan mentega kacang sehingga semuanya bercampur sebati. Kemudian, masukkan pemanis dan krim keju . Sambung lagi mengadun bahan-bahan tersebut sehingga teksturnya kelihatan licin dan berkilat. 

Akhir sekali, sapu rata krim pada permukaan kek yang pertama. Kemudian, letakkan kek yang satu lagi di atasnya. Sapu lagi krim pada permukaan kek yang paling atas. 

 

Sekarang, kek sudah pun siap dan sedia untuk dinikmati.

Selamat menjamu selera semua!



You Might Also Like

1 comments

  1. sedapnya tengok tu kak... lagilah tengok dia punya kejadian yang dilapisi peanut butter

    ReplyDelete

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.