Mindset keibubapaan dalam pendidikan anak-anak di musim pandemik.

By Saturday, December 19, 2020

 

Setelah saya mendengar tentang pendapat dan perkongsian dari Ust Hasrizal Ab Jamil di 'Page FB PIBG SK Meru Jaya' malam yang lalu, saya dapat rasakan jiwa dan fikiran saya lebih tenang.

Tajuk ini sangat kena dengan situasi saya sekarang. Memandangkan Hannah juga tiada UPSR dan keputusan PAJSK nya biasa-biasa sahaja. Apakah keperluan pendidikan yang perlu dibekalkan kepadanya.

Adakah dengan tiada nya UPSR, pembelajaran berhenti di sini?

Ianya membuka minda dan menyedarkan saya bahawa pembelajaran bukan sahaja berlaku di sekolah. Hakikatnya, pembelajaran telah wujud semenjak 'sekolah' belum diwujudkan. Nabi Adam A.S adalah manusia pertama yang ALLAH S.W.T ajarkan tentang ilmu yang tidak mampu dilakukan oleh Malaikat.

Nabi Muhammad S.A.W mengajar para sahabat tanpa sekolah. Namun begitu pedagogi ataupun kurikulum yang digunakan oleh Rasulullah S.A.W adalah perkara yang tidak patut untuk kita abaikan. Malah sangat perlu untuk kita contohi.

Rasulullah S.A.W tidak mengajar setiap hari dan baginda juga berusaha dalam mengatur strategi supaya para sahabat tidak bosan belajar. 

Tips lain dari sahabat Nabi S.A.W iaitu Ibnu Abbas R.A :

1) Antara dua sesi pembelajaran, anak-anak muridnya bebas untuk melakukan sebarang aktiviti.

2) Jika mata anak-anak muridnya sudah beralih / tidak fokus. Berhenti. Buatlah aktiviti yang lain.

Sebelum Covid-19 lagi, anak-anak kita sebenarnya mungkin sudah terseksa dengan sistem yang sedang mereka ikuti. Jika ada antara anak-anak yang tidak suka ke sekolah kerana bosan. Janganlah disalahkan budak itu 100%. Ada dua kemungkinan jika hal ini terjadi. Antaranya yang pertama adalah, content yang tidak menarik. Saya dapat sedikit sebanyak memahami hal ini kerana saya sendiri rasa mata pelajaran sejarah yang diajar di sekolah untuk pelajar sekolah rendah adalah sesuatu yang mengarut. 

Bayangkan, isi kandungan buku teks itu terlalu banyak maklumat yang perlu dihafal oleh murid-murid seawal usia mereka 10 tahun. Dan pada masa yang sama, guru-guru terbeban dengan tugas-tugas yang lain. Tidak cukup dengan itu walaupun matapelajaran sejarah ini termasuk dalam peperiksaan, namun markah akhir yang diambil hanya lah pengiraan jumlah markah bagi mata pelajaran yang diambil ketika peperiksaan UPSR sahaja - Matematik, Bahasa Melayu, Sains dan Bahasa Inggeris. 

Akibatnya anak akan berfikir, tidak perlu untuk mengetahui tentang sejarah kerana akhirnya tidak dikira dalam peperiksaan. Tidakkah kita rasa ianya satu pembaziran masa? adalah lebih baik jika mata pelajaran ini digantikan dengan aktiviti-aktiviti yang lebih memberikan 'nilai kemanusiaan' kepada murid-murid yang masih di peringkat usia kanak-kanak ini. 

Faktor kedua kenapa ada anak-anak bosan dengan sekolah adalah, cara penyampaian mata pelajaran itu diajar. Guru-guru perlu mencari idea dan jalan bagaimana mahu mengajar sesuatu topik itu menjadi menarik. Inilah tanggungjawab yang memang perlu digalas oleh setiap guru.

Di dalam surah Al-Mulk ayat ke -2 . Hidup ujian dan mati juga ujian. Ujian itu adalah untuk melihat siapa yang melakukan amalan yang terbaik. Jadikanlah ujian Covid-19 ini untuk kita berusaha memperbaiki diri, berfikir bagaimana mahu memberikan yang terbaik buat anak-anak kita semua.

Pendidikan wujud adalah sebenarnya untuk 'serve' anak-anak. Mereka ini adalah keutamaan kita. Guru-guru dan ibu-bapa pula adalah yang kedua penting memainkan perananan di bidang pendidikan ini. 

Memandangkan anak-anak sekarang ramai yang berada di rumah dengan ibu-bapa. Maka kitalah yang mesti memikirkan sesuatu yang perlu dilakukan / dibuat dengan mereka. 

Sekarang, tiada lagi dinding 4 segi yang menjadi penghalang anak-anak ini untuk fokus di sekolah. Tiada lagi guru displin yang mengawal mereka. Kita bebas memilih apa kemahiran / ilmu yang mahu diserapkan kepada mereka.  

Contohnya adalah tingkatkan kemahiran hidup yang penting untuk anak-anak kita menjadi seorang dewasa yang mampu berfungsi dengan baik. Kajian mendapati bahawa 80% graduan mempunyai masalah besar dalam kerjaya kerana tidak mampu berkomunikasi dengan baik. Apa yang selama ini sekolah tolong untuk anak-anak memajukan diri atau mempersiapkan diri mereka dengan alam pekerjaan / dewasa nanti ?

Di sekolah, mereka terikat dengan sistem. Duduk, sedut semua apa yang diberikan oleh guru dan kemudian memuntahkan semuanya kembali ketika peperiksaan. 

Untuk mengubah sistem pendidikan ini, orang atasan perlu sedar dan cuba untuk faham isu ini. Saya faham, kita perlukan usaha yang sangat besar untuk melakukan perubahan menyeluruh ke atas sistem pendidikan yang ada sekarang.

Cukuplah, jika kita ibu-bapa yang mulakan dahulu perubahahan sistem yang selama ini mungkin tanpa sedar kita terlalu 'memaksum' kannya. Duduk berbincang dengan anak-anak dan tanya mereka selain dari melihat buku teks sekolah apakah perkara lain yang mereka ingin lakukan untuk belajar. 

Antara cabaran-cabaran yang sedang kita hadapi sekarang adalahseperti KBAT, Krisis mental ramaja , sistem pendidikan yang terlalu berpaksikan peperiksaan , input vs output pelaburan untuk guru memperkasakan diri mereka supaya dapat mengajar anak-anak murid dengan yang sepatutnya. 

KBAT bukan bererti kita meninggikan aras soalan-soalan ke tahap yang lebih susah di atas kertas. Murid dan guru perlu bersedia bagi melaksanakan KBAT ini. Lihat murid, adakah mereka mahu bercakap dan mengeluarkan pendapat. Adakah juga jawapan anak murid masih boleh diterima walaupun jawapannya tidak sama dengan skema. Walaupun jawapannya kalau dipusing-pusing, ianya masih logik. Hal KBAT ini adalah perlu dilakukan setiap hari di sekolah. Bukannya hanya ditulis di atas kertas sahaja.
Malaysia antara negara yang membelanjakan wang yang agak banyak di dalam dua sektor iaitu kesihatan dan pendidikan. Namun begitu, hasil outputnya tidak seperti diharapkan. Ianya masih belum 'menguntungkan'. PElru dikaji dan dilihat jika ada lompong-lompong yang perlu diperbaiki.

Peperiksaan bukanlah tidak boleh langsung dilaksanakan. Namun, kita terlalu menganggung-agungkan ianya. Peperiksaan adalah salah satu dari alat untuk menilai sejauh mana seorang pelajar itu faham apa yang telah mereka pelajari. Ianya dapat dilaksanakan dalam dua bentuk. Formatif dan Sumatif. 

Pada pendapat saya, Ujian berbentuk formatif lebih memberikan kesan ( High Impact ) berdasarkan ujian berbentuk sumatif. Formatif juga lebih kepada guru / pendidik untuk refleks diri mereka apa yang perlu ditambah baik di masa hadapan. Sekiranya sesuatu tugasan itu tidak dapat dilaksanakan seperti yang diharapkan. Berhenti sebentar. Ambil masa untuk fikir, di mana salahnya. 

Adakah arahan kita tidak jelas? anak murid kita itu jenis yang bagaimana? pemilihan bahasa yang kita gunakan adakah ianya cukup mudah untuk para pelajar khususnya murid-murid sekolah rendah yang berada di tahap 1.

1 daripada 3 di kalangan rakyat Malaysia menghadapi sakit mental. Ini termasuklah dengan remaja. Zaman mereka cabarannya semakin hebat. Dengan social media yang pelbagai. Tidur yang tidak cukup akibat melihat skrin telefon hingga lewat malam. Menyebabkan mereka tidak cukup tidur. Remaja dan anak-anak kecil sebenarnya memerlukan jumlah tidur yang cukup untuk menjadikan mereka manusia yang dapat berfungsi dengan baik. Antaranya adalah kemampuan mereka untuk fokus di dalam kelas.

Negara Singapura melaburkan lebih kurang dalam SGD7,200 seorang dan untuk guru-guru di Malaysia adalah dalam lebih kurang RM25 seorang. Begitulah banyaknya pelaburan yang dilakukan oleh  Negara Singapura untuk memantapkan ilmu para guru bagi memberikan yang terbaik kepada murid-murid mereka. 


Dalam pendidikan, Ada empat perkara atau faktor yang mempengaruhi anak-anak. Kesemuanya perlu diambil berat dan diberi perhatian. 

Apa yang menarik perhatian saya adalah 'motivasi pembelajaran'. Ini adalah kerana ada dua faktor yang mendorong anak-anak kita untuk belajar dengan bersungguh. Yang pertama adalah motivasi luaran. Kita sebagai ibu-bapa yang perlu memberikan semangat, kata-kata nasihat dan juga dorongan.

Faktor kedua adalah yang paling mencabar apabila ianya perlu datang dengan sendiri dari dalam jiwa anak-anak kita. 

Saya teringat kisah hidup saya ketika berada di tingkatan 1 - 3 di sebuah sekolah yang bukan berasrama penuh. Saya mendapat tawaran untuk belajar di sana di atas program rancangan khas. ( RK ). 

Pengalaman perit saya selama belajar tiga tahun di sana, menyebabkan saya bertekad untuk belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mengeluarkan diri saya dari sekolah / asrama tersebut.

Saya katakan perit adalah kerana ada beberapa perkara seperti selalu ketiadaan air. Saya perlu mengangkat air sebaldi dari tingkat bawah hingga ke atas bersama kawan dengan menaiki tangga. Ada kalanya, air yang diisi penuh itu apabila sampai di destinasi yang sepatutnya, ianya susut dek kerana air itu tumpah sedikit-sedikit ketika dibawa ke atas.

Paling sedih, apabila penat berlari pulang dari sekolah di waktu hampir maghrib menuju ke kantin. Berbaris dan kemudian nya giliran saya dipotong oleh kakak-kakak senior. Proses menjadi lambat. Tapi saya perlu makan dengan segera. Kadang-kala tidak terasa makanan yang masuk ke dalam kerongkong kerana mahu mengejar masa ataupun, memang makanan itu tidak menepati selera saya. Apabila sampai ke tandas, air yang ditadah di dalam baldi sudang hilang! licin tiada setitik. Sedih! rasa nak menangis. Saya tiada tempat untuk mengadu.

Saya bukannya datang dari keluarga yang senang. Saya hidup dan selama 12 tahun, saya dibesarkan di kampung. Cuma saya tidak tahan dengan gaya hidup itu sendiri. Lantas, dalam diam...saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya saya berjaya menempatkan diri saya di MRSM.

Tidak pasti bagaimana dengan anak-anak kami. Maklumlah, mereka sudah hidup selesa dan senang. Hidup susah tiada dalam kamus mereka. Jadi apakah motivasi yang sesuai untuk digunaka pakai?

Apabila ada rasa motivasi, maka akan hadir perasaan 'ownership' dengan sendirinya. Semoga anak-anak kita semua mampu menghadapi cabaran hidup mereka dengan terus 'belajar'. Bukan hanya di sekolah tetapi walau di mana mereka berada.

 

 


 

You Might Also Like

2 comments

  1. saya rasa apa yang sis rasa adalah normal.. namanya parents mesti akan ada rasa risau pada anak2.. dan semestinya nak beri yang terbaik.

    ReplyDelete
  2. Bila sistem pendidikan tiba2 berubah, memang memberi kerisauan buat kita semua, terutamanya ibu bapa. apapun harap moga ada hikmah yang besar disebalik itu. good luck kak nanny!

    ReplyDelete

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.