Perbelanjaan Bulan Oktober Menggunakan Peraturan ( 60-20-20)

By Sunday, October 30, 2022 ,

Antara blog kewangan yang saya suka baca adalah blog Suraya https://ringgitohringgit.com/money-management/the-50-30-20-rule/.Beliau banyak berkongsi tips yang bermanfaat tentang ilmu kewangan termasuk lah cara untuk menyimpan dan mengawal perbelanjaan bulanan.

Bagi saya seorang surirumah sangat perlu untuk memiliki ilmu kewangan ini. Kalau tak dapat 100% pun, dapat separuh pun jadilah. Kita boleh sampaikan juga kepada anak-anak dan ahli keluarga juga kawan-kawan.

Setelah beberapa tahun saya berhenti track perbelanjaan . Bulan lepas saya kembali untuk mengawal dan membuat bajet bulanan. Maklumlah, setiap tahun pun ada inflasi. Harga nilai duit kertas semakin menyusut dan barang juga semakin mahal. Dahulu kala, ketika saya masih kanak-kanak sekitar tahun 90-an. Saya hanya membawa 30 sen sahaja ke sekolah. Segelas  air sirap ketika itu hanya berharga 10 sen manakala nasi lemak daun pisang pula berharga 20 sen. 

Hari ini, semuanya tinggal sejarah. Nasi lemak pun paling kurang RM1 - RM1.50. Anak-anak ke sekolah paling kurang bawa RM5. Semakin hari , kita berdepan dengan pelbagai kesukaran untuk kelangsungan hidup. 

Jadi adalah lebih baik jika kita naik taraf ilmu pengetahuan kita untuk kehidupan yang lebih menenangkan dan tersusun. Duit dan harta benda jika tidak diuruskan dengan baik akan memakan diri sendiri. 

Suraya di dalam blognya ada berkongsi 'spreadsheet perbelanjaan menggunakan Rules 50-30-20. Ini bermakna, 50% daripada wang yang kita perolehi digunakan untuk keperluan, 30% untuk kemahuan dan 20% digunakan untuk simpanan - ASB , TH, Emas dll.

Cuma untuk saya dan keluarga, saya menukarkan kepada 60-20-20. Ini disebabkan nilai keperluan keluarga kami melebihi kemahuan. Untuk bulan Oktober, perbelanjaan barangan dapur hampir mencecah RM900. Bajet yang saya letak adalah Rm1000. Keperluan pendidikan anak-anak juga agak tinggi memandangkan setiap mereka ada ambil kelas tusyen.

Segala perbelanjaan, saya simpan resit-resitnya. Kalau saya beli nasi lemak yang tepi jalan itu. Saya akan catitkan harganya sebagai rekod simpanan. 

60% perbelanjaan untuk keperluan hidup.

Hannah - MC+ subjek sejarah sekali seminggu: RM39

Hannah - Home tuition subjek matematik dua kali seminggu : RM50

Umair - MC+ subjek matematik sekali seminggu : RM39

Uwais - Kelas mengaji tarannum sekali seminggu : RM80

Umair & Uwais - Kelas fencing dua kali seminggu : RM500

Selain perbelanjaan dapur, pendidikan anak-anak, insurans juga merupakan perbelanjaan ketiga tertinggi dalam bahagian keperluan.

20% perbelanjaan kemahuan.

Ada beberapa perbelanjaan yang tersasar dalam bahagian kemahuan. Antaranya adalah penjagaan kesihatan. Bulan ini saya diuji dengan kesihatan setelah beberapa tahun saya tidak demam/batuk yang serius. Alhamdulillah A'la Kulli Haal. 

Waktu diuji sakit, saya rasakan bahawa nikmat sihat itu sangat lah berharga. Saya boleh bangun untuk bersenam di luar rumah. Tetapi, waktu saya sakit. Apa yang mampu hanyalah terbaring di atas katil. Duit pun terpaksa dikeluarkan untuk membeli ubat-ubatan di farmasi. 

Juga antara yang tersasar adalah perbelanjaan makan di luar. Sebenarnya, apabila saya kumpul semua resit-resit yang ada. Banyak yang dibeli ketika waktu pulang dari mengambil Umair dan Uwais ke sekolah. Anak-anak kelaparan setelah dijemput dari persekolahan. Jejak sahaja kaki ke dalam kereta, terus berbunyi " Mama, lapar lah. Ada makanan tak?"

Sebagai seorang ibu, memang kasihan sangat. Nak tak nak, saya beli juga lah kadang-kadang roti gardenia ataupun kuih muih, pisang goreng.

Walaupun saya ada letak 'hiburan' di situ. Tetapi tak sempat juga nak berhibur. Baguslah juga kan? sebab dah terlebih bajet dalam bahagian kemahuan di situ. Adakah perlu untuk saya ubah menjadi 25%? Hurmm...saya kira, biarlah dahulu. Kita tengok bajet untuk bulan November pula.

Perkara menarik, apabila saya ada letak 'gift' untuk diberikan kepada kawan-kawan ataupun ahli keluarga. Alhamdulillah, bahagian tersebut tidak terlebih. Begitu juga dengan hobi memandangkan anak-anak sahaja yang beli buku cerita / komik. InshaALLAH, mungkin bulan ini saya akan naik taraf keahlian PATREON saya. Dapatlah saya melukis dan berkarya dengan lebih hebat. InshaALLAH.

20% untuk simpanan. 

Selebihnya sebanyak 20% saya simpan / laburkan dalam ASB / TH dan juga emas. 

Kesimpulannya, saya rasa bahagian kemahuan agak 'rigid'. Untuk bulan November, saya akan cuba buat rules 60-25-15. Bunyi nya tak 'bijak' sangat. Tapi, ini hak kita dan perlu sesuaikan dengan cara hidup masing-masing. Paling penting, kita tahu ke mana perginya duit kita selama ini. Paksa juga ya untuk menyimpan! Sebab dikhabarkan, hampir kesemua rakyat Malaysia susah untuk menyimpan secara konsisten setiap bulan. 

Kawan-kawan ada buat bajet bulanan tak? Care to share what's your outcome and how you dealt with it.

That's all and thank you for reading!

  

You Might Also Like

0 comments

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.