Idea Baju Kemerdekaan Kanak-Kanak Dari Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan

By Saturday, September 19, 2020 , , ,

 Assalammualaikum w.b.t 

Sempena bulan kemerdekaan dan hari kebangsaan, sekolah anak-anak ada membuat pertandingan pakaian patriotik. Jadi, saya cuba mereka dan menjahit sendiri baju yang akan dipakai oleh Uwais. Pada awalnya, dia meminta saya membuat pakaian yang sama seperti yang pernah dipakai oleh abangnya Umair pada empat tahun yang lepas. Namun demikian, saya memujuknya supaya memakai sesuatu yang lain.

Niat saya adalah untuk menanamkan semangat patriotik dan sayang kepada negara tercinta. Saya pernah terbaca jika mahu membuat pakaian dari kain bendera hanya boleh dilakukan pada hari Kebangsaan / Malaysia dan ianya boleh dilakukan pada tempoh masa-masa tertentu sahaja. 

Saya gabungkan idea pendekar dan superhero supaya Uwais berminat dan seronok untuk memakainya. Tempoh menyiapkan sepasang baju ini adalah lebih kurang tiga hari , dua malam. Ala-ala pergi bercuti pula kan? 

Untuk baju, saya gunakan kain satin. Walaupun saya sebenarnya cuba sedaya upaya mengelak untuk tidak mahu menggunakan kain satin kerana sifat materialnya yang sangat licin, mudah berbulu dan sukar 'mendegar kata'. Tetapi, masa sudah suntuk dan saya malas mahu mencari kain cotton di kedai lain. Kain satin ini saya beli di kedai alat jahitan di Taman Medan. Harganya adalah RM4.30 semeter. Saya beli tiga warna - merah, biru  dan putih. 

Selain dari material kain tersebut, saya juga membeli dua helai kain bendera yang bersaiz 3' x 6'. Harga setiap helai adalah RM6.90. Saya beli di kedai yang berhampiran dengan kedai alatan jahitan itu kerana saya agak malas mahu mencari di kedai yang lain.

Balik dari kedai, saya terus mulakan operasi. Bermula lah perjalanan menjahit seorang tukang jahit amatur. Saya google cara membuat yukata yang paling mudah. Yukata adalah pakaian tradisional orang Jepun. Pada saya, yukata antara pakaian yang mudah untuk dihasilkan. Dalam masa yang singkat, saya perlukan sesuatu yang mudah untuk dhasilkan.


Jika diperhatikan gambar ini. Saya terpaksa letak tukul sebagai pemberat untuk mengelakkan kain dari bergerak ke sana ke sini. Selepas percubaan dua kali menggunting, barulah saya berjaya mendapatkan apa yang saya mahukan. Sebab itu, saya tidak mahu mengambil tempahan. Kerana saya banyak buang masa mencuba itu dan ini. Hahaha~

Untuk membuat 'cape' saya ukur dan bentukkan seperti skirt berbentuk A. Kembang di bahagian bawah kerana pada mata saya, bentuk itu lebih cantik berbanding kain yang hanya berbentuk empat segi tepat. 

Saya lipat dan jahit kelim di semua bahagian untuk mengelakkan kain bendera ini daripada berbulu dan tercarik. Di bahagian atas pula, jahit ruang selebar 1-2 inci. Ini adalah ruang untuk memasukkan tali / kain untuk dibuat kedut. 

Cantumkan bahagian badan bermula dengan bahu di atas sebelah kiri dan kanan. Jahit tepi semua bahaian ya. Kalau tiada mesin jahit tepi, boleh jahit kelim dua kali. Bahagian lengan pula, saya jahit bendera saiz kecil di kedua-dua belah.Sekejap sahaja sudah siap bahagian baju. Cuma ambil masa sedikit kerana perlu mengawal keaddaan kain yang sentiasa berbulu itu.

Bahagian seluar pula, saya gunakan pola yang pernah saya beli dahulu dari Awie Geng Manik. Pola ini untuk kanak-kanak berusia 7 tahun. Tetapi memandangkan saiz badan Uwais ini pun kecil, jadi memang pola ini sesuai untuk dia. Saya kecilkan lagi menjadi 'slim fit'

Apabila siap dicantumkan, jangan lupa pasangkan getah di bahagian atas. Jahit tepi juga untuk mengelakkan kain daripada berbulu dan terkoyak.

Seterusnya, untuk tali pinggang pula saya lipat menjadi saiz yang saya inginkan. Kemudian, saya ukur pinggang Uwais. Tandakan di mana pelekat 'velcro' perlu dijahit. Pandai-pandai la jahit dan bentuk menjadi apa yang digambarkan di fikiran masing-masing ya. 

Untuk tengkolok pula, saya gunakan kain satin yang saya lekatkan dengan kertas pelapik leher yang ada gam di bahagian belakang. Ini adalah bertujuan supaya tengkolok menjadi lebih keras dan mudah dilipat. Namun demikian, ianya tidak semudah yang disangka. Saya fikir mungkin kain satin itu sudah agak tebal berbanding kain cotton. Tetapi, Alhamdulillah...siap lah juga tengkolok ini. Asalnya kosong sahaja dan selepas itu saya jahitkan bendera di atas nya. Jika ingin mengetahui tutorial membuat tegkolok ini boleh la cari sahaja di Youtube. Ada banyak juga cara membuatnya. Boleh lah pilih mengikut kesesuaian masing-masing.

Saya gunakan pin untuk lekatkan tengkolok pada bahagian kiri dan kanan
Saya tambah lagi aksessori di kedua belah lengan. Seperti biasa, ambil ukur lilit lengan untuk dapatkan saiz yang sesuai dan selesa apabila dipakai.

Saya jahit butang supaya nampak lebih cantik tidak keliahatan kosong.

Keris daripada kertas buatan kakak. Siap diwarnakan lagi. Terima kasih Hannah!

Hasil akhir

Abang tolong angkatkan 'cape' di belakang

Tidak sabar untuk ke sekolah

Pandangan dari belakang

Seluar

Di mana ada model, di situ ada pereka fesyen.

 

Kalau empat tahun yang lalu, Umair mengenakan busana bertemakan seorang ninja. Tahun ini dia hanya mahu memakai baju batik. Idea asalnya, saya mahu menjadikan dia kelihatan seperti seorang YB. Tetapi, secara tiba-tiba dia bersuara.

= = = = = = = = = = = = = = = = =

"Kenapa abang rasa abang macam perkerja mamak ? "

= = = = = = = = = = = = = = = = =

😂😂😂😂😂😂😂😂😂😂😂😂😂😂😂


Kita imbas kenangan empat tahun yang lepas lah ya.

Semoga kenangan ini akan diingati dan menjadi memori zaman kanak-kanak yang terhebat untuk mereka. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia semua!


You Might Also Like

3 comments

  1. Asalam sis nk tanya pasal rawatan kat medispan hannan tu bole

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya dah stop lama buat facial treatment di sana. Budget ke tempat lain pula. Heheh...saya sebenarnya suka and kalau ada rezeki nak sambung jer buat rawatan tu. Puas hati!

      Delete
  2. wahhhhh cantiknya kak... bestnya orang yang teror menjahit nih... aritu masa aiyan dana buat sendiri tengkolok dengan bendera pastu buat selimpang je heheheh... maklum tak reti menjahit

    ReplyDelete

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.