Aktiviti-aktiviti surirumah sepanjang PKPB

By Sunday, November 08, 2020 ,

 Assalammualaikum w.b.t

Sebagai seorang manusia biasa saya pasti kita semua akan terasa kesan daripada PKPB ini. Kalau tidak banyak, sikit itu mesti ada. Terutama bagi mereka yang  ekstrovert. Sudah biasa kehidupannya berjumpa dengan orang ramai. Apabila disuruh duduk sahaja di rumah pasti ini berita yang agak mengecewakan buat mereka.

Jangan lupa yang kita ini semuanya unik dijadikan ALLAH S.W.T. Perangai dan watak yang pelbagai ini saya rasa kita perlu raikan. Di dalam keadaan yang agak tertekan, suram dan sedih ini perlu untuk kita saling sokong menyokong dan bantu membantu. Walaupun hanya dengan doa dan kata-kata yang positif.

Saya risau dan sedih sangat kalau dapat tahu ada kawan-kawan yang depress dan jatuh sakit disebabkan tertekan kena duduk di rumah. Tetapi inilah yang dikatakan pengorbanan kita semua terutamanya orang awam. Lanjutan pengumuman rasmi berkenaan PKPB dan penutupan sekolah sehingga lah awal tahun hadapan memberi tamparan hebat buat ramai orang. Terutama calon-calon SPM juga STPM. Tidak dilupakan guru-guru juga yang tugasnya semakin mencabar.

Didoakan semua kita mengambil peranan yang sewajarnya. Buka mudah untuk menghadapi waktu-waktu yang sukar ini. Sesuatu yang tidak pasti di masa hadapan amatlah meresahkan jiwa dan nurani.

Saya seorang surirumah separuh masa. Separuh masa lagi, saya adalah seorang guru mengajar Cambridge English Online dan juga blogger. 

Masa saya akan dibahagikan dengan sebaik mungkin. Antara membantu anak membuat kerja sekolah, memasak tengahari, menyediakan bahan-bahan pembelajaran untuk setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat juga menghadiri kelas agama secara online - kelas sirah setiap hari Selasa dan Khamis. Pada hari Ahad pagi pula, saya akan menghadiri kelas tajwid juga secara online.

Tidak lupa juga hobi saya membaca buku, menulis di blog dan kadang-kala menjahit.

Bina Rutin Harian :

Hampir setiap pagi selepas solat subuh, saya dan suami atau saya seorang akan pergi berjalan ( brisk walk ) di kawasan perumahan. Lebih kurang 30 - 40 minit untuk satu sesi. Seronok juga mendengar kicauan burung dan melihat kehijauan yang ada. Senaman berjalan kaki secara laju ini baik untuk jantung, emosi dan jiwa.Jika saya tidak keluar bersenam, saya akan membaca Al-Mathurat dan selepas itu sibuk di dapur mengemas. Sarapan anak-anak ada masa saya pergi beli di luar sahaja ataupun saya memasak. 

Pagi dalam pukul 10.00 ke atas sehingga tengahari, masa saya bersama anak-anak. Membantu mereka membuat kerja sekolah. Ada latihan yang sudah siap dibuat perlu diambil gambar dan dihantar di FB group kelas sebagai bukti kehadiran murid. Agak memenatkan juga dibuatnya, namun itulah yang masing-masing semua orang sedang hadapi. Guru-guru pun penat menyediakan bahan-bahan, membuat video itu dan ini.

Membaca Buku Cerita Fiksyen & Bukan Fiksyen

Tahun ini saya diberikan masa yang lebih sedikit untuk membaca. Saya ada membeli secara online di MPH buku-buku yang saya rasakan seronok untuk saya baca. Pemilihan buku pada usia hampir 40an ini adalah amat penting kerana ianya akan menentukan samada buku itu mampu dihabiskan ataupun tidak. 

Sesiapa yang sedang mencari buku-buku yang sesuai untuk dibaca saya ingin menyarankan buku-buku seperti di bawah ini :

Semua karya Ustaz Hasrizal Abd Jamil dari Travelog Tarbiyah ini amatlah menarik. Kisah pengalaman beliau yang merantau pada usia muda menjadi seorang pelajar, berkelana hingga ke Jordan, sesekali pergi ke Turki dan juga pernah menjadi Imam di sebuah masjid di Ireland pada usianya 26 tahun. Yang saya kira agak muda untuk menghadapi semua cabaran yang tersedia di hadapan.

Susunan bahasa, penggunaan ayat, beberapa ayat Al-Quran yang diselitkan betul-betul mampu membawa jiwa saya seolah-olah bersama dengan si penulis merasai kepahitan dan kemanisan hidupnya di perantauan. 

Beliau menghasilkan beberapa buah buku dan siri Travelognya ada tiga buah. Saya sudah membeli 2 daripada 3 buah bukunya. InshaALLAH, selepas habis membaca secangkir teh pengubat letih, nanti saya akan cuba dapatkan Rindu Bau Pohon Tin. Saya ada rancangan untuk berkongsi sinopsis buku-buku yang saya dibaca di blog ini. Tetapi entahlah bila...selalu disibukkan dengan pelbagai perkara lain dan kadang-kadang rasa kekurangan idea untuk menulis. 

Beliau juga ada menulis buku-buku lain selain tema Jejak Tarbiah ini.  Antara buku yang saya teringin sangat untuk memilikinya selepas ini adalah Diari Abah dan juga Maoon Rizal ( Cikgu Di Finland )

Selain itu, buku Fadilat Amal ini pula saya baru beli minggu lepas di Shopee. Ada banyak sangat kisah-kisah sirah menarik yang saya rasa sesuai untuk orang awam, dewasa mahupun kanak-kanak membacanya. Umair pun kadang ada masa saya suruh dia baca dan tekun juga dia cuba habiskan sesuatu tajuk itu. 

Mencuba resepi baharu

Rentetan dari PKP pada bulan Mac yang lepas sehingga ke hari ini, ramai yang saya lihat sudah pandai memasak. Seronok betul saya lihat kerana ada pelbagai resepi yang telah dicuba. Kadang bukannya apa, menu-menu yang dikongsikan itu memberikan kita inspirasi untuk apa yang perlu dimasak. Ada masa memang kehabisan idea betul dibuatnya. 

Apa pun, jangan makan berlebihan juga jika tiada kerja berat yang dilakukan. Makanlah ala kadar sahaja. Takut nanti ada penyakit lain pula yang datang. 

Melakukan Hobi 

Saya ada terbaca sebuah artikel berkenaan dengan kepentingan hobi. Dahulu semasa sibuk bekerja, saya tiada hobi kecuali memasak. HAHAH!

Mungkin disebabkan sibuk bekerja dan ditambah dengan anak-anak yang ketika masih kecil lagi. Kepenatan otak dan fizikal itu membuatkan saya tiada masa untuk memikirkan tentang hobi. 

Melayan anak kecil dan menyantuni mereka dengan pelbagai aktiviti juga cukup untuk memberikan terapi buat saya. Jadi, dapatkah saya simpulkan bahawa itu juga salah satu dari hobi ?

Apabila anak-anak meningkat usianya, mereka lebih berdikari dan saya ada banyak masa untuk diri sendiri. Di sinilah saya akan cuba menghasilkan sesuatu.

Sebagai contoh, menjahit. Baru-baru ini, saya telah berjaya menghasilkan "Fabric Basket" . Saya mencubanya kerana bingung melihat kain-kain yang masih banyak seperti tidak pernah digunakan. Walhal, sudah dibeli bertahun-tahun. Ajaibnya, kain-kain tersebut tidak mereput langsung seperti  kain buruk. HAHAHAH!

Terjumpa tutorial membuat "Fabric Basket" ini di Google dan lantas saya mencubanya. Lebih kurang dua hari baru lah siap. Ini disebabkan saya juga ada tugas lain yang perlu dibuat. 

 

Perkara yang mengasyikkan saya adalah ketika mencantumkan patches itu. Memilih corak kain yang sepadan juga adalah satu terapi buat saya. Betul lah kenyataan artikel yang saya baca tempoh lalu.

Melalui hobi, kita akan rasakan hidup kita lebih bermakna, gembira dan produktif. Ada orang hobinya berkebun, bagus juga kan? nanti akhir-akhir kalau ada rezeki dapatlah dituai hasil tanaman itu.

Untuk mengetahui jenis hobi yang sesuai adalah mungkin perlu untuk lihat dari sudut minat dan paling penting kewangan. Jangan sampai berhutang pula hanya demi kerana hobi kita itu. Tambahan pula di waktu eknnomi kita yang  sedang tenat ini.

 Menonton dokumentari \ ceramah agama \ kisah masyarakat

Antara yang pernah saya tonton di Youtube adalah : Social Media Dangers Documentary - Childhood 2.0

Sirah tentang sahabat - sahabat Nabi S.A.W :

Sebenarnya, ramai lagi sahabat-sahabat Nabi yang kita jarang dengar nama mereka kecuali mereka yang berempat itu - Sayyidina Abu Bakr r.u, Sayyidina Umar Al-Khattab r.u, Sayyidina Uthman B.Affan r.u dan Sayyidina Ali Bin Abi Talib r.u.

Cerita kisah benar tentang perjalanan hidup seserorang yang menginspirasikan.

Kisah seroang pilot pertama perempuan di India di bahagian Air-Force yang menyertai misi peperangan di lembah Kargill ( Pakistan \ India ) :

"Gunjan Saxena"

Selain dari yang dinyatakan di atas, ada lagi hobi-hobi yang saya rasa sesuai untuk dicuba di dalam rumah. Antaranya :

1) Melukis

2) Menulis di blog

3) Belajar bahasa baru 

Itu sahaja yang dapat saya kongsikan di sini. Jadi, hobi kawan-kawan semua apa pula? Jangan malu dan segan untuk kongsikan di sini. Mana tahu, ianya akan memberikan inspirasi kepada orang lain pula.




 


You Might Also Like

1 comments

  1. Betul tu. Kena jadualkan masa sebaiknya musim PKPB ni. Baru la dapat buat rutin sebaiknya.

    ReplyDelete