Tutorial Menjahit Bag Bento Paling Mudah Tanpa Zip

By Thursday, October 15, 2020 , ,

 Assalammualaikum w.b.t

Projek menjahit untuk bulan Oktober ini saya bawakan sesuatu yang mudah untuk dicuba oleh mereka yang baru mahu berjinak dengan dunia jahitan.

Usaha menjahit bag bento ini bermula apabila saya telah membeli bekas tupperware yang baru untuk dijadikan bekas bento anak-anak bawa ke sekolah.

Saya beli disebabkan bekasnya terbahagi kepada dua ruang dan saiznya agak besar dan disertakan dengan satu bekas kecil berpenutup. Saya fikirkan ianya sesuai untuk digunakan sebagai bekas kuah. Contohnya, spaghetti dan nasi lemak. 

Sebelum saya menghasilkan bag bento ini, saya hanya menggunakan plastik biasa yang ada di dalam rumah ini. Memandangkan saiz tupperware ini agak lebar, jadi susah betul rasanya berjumpa dengan saiz plastik yang sesuai. Saiz yang ada di rumah, kebanyakan kecil dari saiz tupperware itu. Akhirnya, terpaksalah menggunakan plastik yang paling besar.

Agak 'sakit mata'  apabila plastik yang digunakan  terlebih besar. Entah tidak tahu apa yang tidak kena. Apa yang pasti sesuatu yang merimaskan dari kaca mata seorang ibu yang melihatnya. 

Lalu terhasil lah bag bento yang saya sendiri jahit. 

Saya hanya menggunakan konsep tali jerut sahaja kerana tiada zip yang panjangnya bersesuaian dengan keperluan bag bento ini.

Agak besar juga bag bento ini kerana botol air yang panjangnya lebih kurang ukuran lengan saya, masih mampu dimasukkan dan ditutup dengan baik. Sengaja ruang itu saya adakan bagi menampung keperluan-keperluan lain. Jika tidak digunakan sebagai bag bento, ianya masih boleh digunakan sebagai bag serbaguna. 

Panjang tupperware ini adalah lebih kurang 9 inci dan lebar nya pula dalam 5.5 inci. Ianya tidak lah terlalu tinggi, lebih kurang dalam 2 hingga 3 inci sahaja.

Saya menggunakan dua corak kain yang berlainan.Jika kurang kerajinan, boleh menggunakan hanya satu kain sahaja. Kain bercorak itu adalah koleksi ketika saya menetap di Jepun dahulu. Dalam hati, bila lah agaknya kain ini akan habis saya gunakan. 

Anak-anak semakin meningkat dewasa. Mereka pun nanti malu apabila menggunakan corak yang agak keanak-anakan. Tidak 'cool' katanya. Kain hijau itu pula, saya beli Daiso Malaysia, beberapa tahun yang lepas. Kalau tidak silap, saya beli kain tersebut adalah untuk menghasilkan topi chef kanak-kanak. 

Boleh lah sematkan pin peniti di antara kain A dan kain B. Kemudian, jahit lurus untuk mencantumkan kain A dan kain B pada kedua belah bahagian. Nanti ianya akan menjadi sehelai kain yang besar.

Kalau rajin, boleh lah jahit tepi pada setiap hujung kain tersebut. Saya jahit sebab kain hijau itu agak berbulu teruk juga.

Kemudian, lipat 1 inci pada hujung kain kanan dan kiri ( rujuk gambar di atas yang bernombor 1 ). Selepas itu, jahit lurus sahaja. Langkah seterusnya, lipat dua kain dengan kain cantik bertemu cantik ataupun S/L bertemu S/L. Lipat bagi sama ya. Dan jahit lurus dari bawah hingga ke atas. 

PENTING : Jangan dijahit sehingga lalu garisan no.1. Ini adalah kerana untuk memberi ruang kepada tali jerut untuk dimasukkan nanti.

Jahit pada kedua-dua belah bahagian ya.

Seterusnya, masukkan tangan ke dalam bag bento yang sudah siap dijahit cantum di kedua-dua belah bahagian. Buat bentuk segitiga seperti gambar di atas. Ini adalah bertujuan untuk membuat tapak bag bento. Ukur 3 inci dari luar ke dalam. Kemudian jahit lurus seperi garis putus berwarna merah. Ulang kaedah yang sama pada bahagian yang satu lagi.

Rupa bentuk bag bento yang sudah siap dijahit. Lihat dengan teliti ada bentuk tiga segi di dalamnya.
Ambil 'safety pin' dan cucuk pada hujung tali atau kain yang akan dijadikan sebagai tali penjerut bag bento.
Masukkan tali jerut tersebut dari lubang kain A sehingga ianya bertemu.
Selepas itu, masukkan tali satu lagi dari bahagian B. Cara untuk memasang tali jerut boleh dirujuk pada gambar di atas. Akhir sekali, ikat mati pada hujung kedua-dua bahagian tali tersebut.

Sudah pun siap bag bento jerut. Saya harap, tutorial yang saya cuba sampaikan mudah difahami dan dapat mendorong mereka yang baru belajar menjahit untuk tidak berputus asa dan cuba untuk menghasilkan sesuatu.

Umair pun suka dengan bag bento yang saya hasilkan ini. Tetapi malangnya, sehari sebelum saya menyiapkan bag bento, kerajaan mengumumkan beberapa daerah di negeri Selangor sudah masuk di dalam zon merah akibat wabak covid-19 yang semakin meningkat. Nampak gayanya kena lah tunggu dalam 2 minggu lagi. Itupun jika keadaan kembali reda seperti biasa.

Selamat mencuba kepada yang berminat.



 



You Might Also Like

2 comments

  1. Nice tips !

    Cute je bag kalau saya mesti gembira je kalau nak pakai

    ReplyDelete
  2. Oh nice! Nampak macam mudah nak buat. Ni bukan untuk bento saja ni. Untuk kegunaan lain pun boleh

    ReplyDelete

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.