Belajar Sirah Secara Online Bersama Doktor Jefri Irwan Haris Anjuran PETRONITA & PETRONAS- SIRI 1 : Penghijrahan ke Habsyah

By Tuesday, October 13, 2020 ,

Assalammualaikum w.b.t

Semenjak PKP yang dilakukan pada bulan Mac lalu, saya banyak juga mengikuti kelas-kelas ilimiah secara online. Sekiranya internet di rumah kita laju dan tidak semput ataupun perlahan seperti siput, maka ianya sesuatu perkara yang patut kita syukuri. Kerana di waktu-waktu PKP begini, saya sendiri masih memerlukan 'sesuatu' sebagai makanan jiwa. 

Kali ini, saya mendaftarkan diri untuk belajar tentang sirah seorang manusia yang terhebat di dunia ini. Tidak lain dan tidak bukan, manusia yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad S.A.W.

Kelas sirah ini disampaikan oleh Doktor Jefri Harris yang dianjurkan oleh PETRONITA ( Persatuan wanita / isteri kakitangan PETRONAS ) .

Terdapat sebanyak sepuluh siri yang akan dikongsikan oleh Doktor Jefri . Setiap siri mengambil masa selama sejam. Walaupun ianya disampaikan secara online, tetapi MashaALLAH, saya lihat hari ini ramai juga yang menghadirkan diri dan mendengar apa yang cuba disampaikan oleh beliau.

Siri pertama berkenaan penghijrahan sahabat-sahabat Nabi ke Ethiopia sudah berakhir hari ini. Apa yang menarik adalah cerita yang disampaikan oleh Doktor Jefri sebenarnya agak menarik. Banyak yang saya rasa tidak disampaikan di dalam buku teks. Kalau ada pun, mungkin gaya penceritaan agak membosankan. Sebab saya dahulu memang tidak minat sejarah. Kerana saya tidak faham kenapa harus menghafal beberapa tarikh, nombor dan nama-nama yang ada di dalam buku sejarah yang ada.

Kemungkinan juga, minat kepada sejarah ini seiring dengan peningkatan umur? semakin umur meningkat, cara berfikir kita berubah, minat kita juga berubah. Dan mungkin ada juga faktor-faktor lain yang saya pun sukar untuk tuliskan di sini.

Sebagai mukadimah, Doktor Jefri berpendapat bahawa kisah-kisah Nabi dan sahabat-sahabatnya telah dikurangkan kepada cerita yang bersifat hukum. Contohnya - Jangan banyak gelak, nanti hitamkan hati. Isteri patut 100% patuh melulu kepada suami. Akhirnya, agama kita bersifat robotik. 

Apabila mendengar sirah Nabi, banyak sebenarnya yang cara hidup kita yang boleh dikatakan agak menyusahkan jika dibandingkan bagaimana Nabi dan sahabat-sahabatnya mengamalkan cara hidup islam ketika dahulu. 

Tiga nombor berikut adalah nombor-nombor yang kita perlu tahu untuk lebih mudah faham dan 'appreciate' tentang kisah hidup Nabi.

40 : Dilantik menjadi Nabi/Rasul pada usia 40 tahun

13 : Berdakwah selama 13 tahun di Mekah

10 : Berada di Madinah selama 10 tahun.

Apabila kita campurkan ketiga-tiga nombor ini, jumlahnya adalah 63 tahun. Sama jumlahnya dengan umur Nabi ketika meninggal dunia.

Mengapakah penting kita perlu tahu nombor-nombor yang penting ini? Contohnya, perang Badar berlaku setelah nabi berhijrah ke Madinah. Jadi, umur Nabi ketika berperang adalah dalam 53 tahun.  Umur Nabi berkahwin dengan Maimunah r.a dan Aisyah r.a juga selepas 53 tahun. Ini adalah kerana peristiwa ini berlaku ketika di Madinah.

Penghijrahan pertama Nabi adalah sebenarnya ke Habsyah iaitu salah sebuah tempat di Afrika yang lebih terperinci nya adalah di Ethiopia. Ini berlaku apabila keadaan di Mekah semakin tertekan. Ramai sahabat diseksa  dan dibuli. 

Maka Nabi mengarahkan beberapa orang Islam seperti Zubayr Ibn Awwam  dan Uthman B. Affan ( may ALLAH SWT be pleased with all of them ) berhijrah ke Habsyah. Ketika itu, jumlah yang berhijrah adalah seramai lebih kurang 14 - 15 orang sahaja.

Mereka dihantar ke Habsyah untuk mendapat perlindungan dari Raja Najasyi dan juga dapat mengamakan ajaran agama Islam dengan lebih tenang.  Hijrah ini berlaku pada tahun ke-5 Nabi dilantik menjadi Nabi/Rasul.

Raja Najasyi walaupun beragama kristian, tetapi dia merupakan seorang Raja yang sangat baik dan adil. Dia akirnya memeluk Islam , namun usaha nya untuk menyampaikan ajaran agama Islam kepada para pegawai Istana dan rakyat jelatanya tidak berjaya. Keadaan menjadi huru-hara dan akhirnya dia tidak berjaya mengajak rakyatnya memeluk agama Islam. 

Setelah sebulan orang-orang Islam berada di sana, mereka terdengar khabar angin yang orang Quraisy ramai yang sudah memeluk agama Islam. Maka mereka pun beramai-ramai pulang ke kampung halaman mereka di Mekah. Namun, kisah ini tidak benar kerana ianya hanyalah salah faham yang berlaku.

Ketika Nabi membacakan surah An-Najm ayat 20 -21, kepada orang Musyrikin Quraisy di Kaa'bah. Mereka turut sama sujud bersama dengan Nabi. Ketika kejadian itu berlaku, ramai yang salah faham telah menganggap mereka sudah 'bersama' Nabi, walhal mereka hanya mengikut sahaja apa yang Nabi buat dek kerana terkesima dengan ayat-ayat yang dibacakan oleh Nabi ketika itu.

Hikmahnya, mereka pulang ke Mekah adalah, mereka sempat 'mengiklankan' bagaimana seronoknya atau selamatnya tinggal di Habsyah. Maka bertambah ramailah orang Islam yang berhijrah ke Habsyah iatu dalam 150 orang. Ini berlaku pada tahun ke-6 Nabi dilantik menjadi Nabi/Rasul.

Suatu hari, Najasyi mendapat berita bahawa anak saudaranya sendiri mahu merampas kuasanya dan akan berlaku peperangan yang besar. Maka, raja Najasyi memberitahu hal ini kepada orang-orang Islam yang berada di sana ketika itu.

Kata Raja Najasyi - Jika nanti dia kalah, pergilah ke kawasan pelabuhan di mana dia sudah menyediakan kapal untuk mereka menyelamatkan diri masing-masing. Dikhuatiri bahawa sekiranya dia mengalami kekalahan, raja yang baharu itu tidak akan melindungi mereka seperti mana dia memberikan perlindungan kepada orang Islam tersebut.

Raja Najasyi juga pernah menguruskan perkahwinan Ummu Habibah ( Ramlah ) apabila suaminya iaitu Ubaidillah B. Jahs ( sepupu nabi ) meninggal dunia di Habsyah. Dia juga menghantar rombongan untuk mengiringi Ummu Habibah pulan ke Mekah untuk hidup bersama Nabi.

Akhirnya Raja Najasyi meninggal dunia dan Nabi Muhammad S.A.W menlakukan solat jenazah ghaib ke atasnya. Namun demikian, raja Najasyi diuruskan pengebumiannya secara agama kristian kerana tiada seorang pun yang tahu bahawa dia telah memeluk agama Islam kecuali orang-orang Islam Mekah yang menetap di sana. 

Begitulah cerita dan kisah seorang raja yang asalnya beragama Kristian, mendapat hidayah dari ALLAH S.W.T dan banyak berjasa kepada orang-orang Islam yang berhijrah ke negara beliau. 




You Might Also Like

0 comments

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.