Kisah J.I.W.A seekor anak kucing tanda rahmat kasih sayang dari ALLAH.

By Friday, October 23, 2020

 Assalammualaikum w.b.t 

Berbuat baik adalah sifat ikhsan yang dituntut dalam agama kita. Tidak kira terhadap manusia, tumbuhan dan haiwan. Ini adalah kerana kesemua mereka merupakan ciptaan ALLAH S.W.T. 

Saidina Umar Ibn Al-Khattab pernah menegur seseorang dek kerana unta yang digunakannya terlalu sarat dengan muatan. Hal ini menyebabkan dia kerisauan kerana bimbang akan disoal di akhirat kelak.

Hadis yang sahih ada juga menceritakan kisah tentang seorang pemuda dengan seekor anjing.

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Allah SWT:

 

بَيْنَا رَجُلٌ يَمْشِي، فَاشْتَدَّ عَلَيْهِ العَطَشُ، فَنَزَلَ بِئْرًا، فَشَرِبَ مِنْهَا، ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا هُوَ بِكَلْبٍ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ العَطَشِ، فَقَالَ: لَقَدْ بَلَغَ هَذَا مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ بِي، فَمَلَأَ خُفَّهُ، ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ، ثُمَّ رَقِيَ، فَسَقَى الكَلْبَ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ، فَغَفَرَ لَهُ "، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَإِنَّ لَنَا فِي البَهَائِمِ أَجْرًا؟ قَالَ: فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

Maksudnya: “Terdapat seorang lelaki sedang berjalan lalu dia berasa haus maka dia turun ke sebuah perigi dan minum daripadanya. Apabila dia keluar, terdapat seekor anjing yang sedang mengeluarkan lidahnya lalu menjilat tanah kerana kehausan. Maka dia berkata: Anjing ini kehausan sepertimana aku alami sebentar tadi. Disebabkan itu, dia memenuhkan kasutnya dengan air dan dia memegang kasutnya (yang diisi dengan air) dengan mulutnya. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Dengan itu, dia bersyukur kepada Allah SWT maka Allah SWT mengampuninya”. Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, adakah bagi kami ganjaran jika kami berlaku baik pada haiwan?”. Rasulullah SAW bersabda: “(Berbuat baik) Setiap yang bernyawa itu akan diberi pahala”. [Riwayat al-Bukhari (2363)]

Akhir bulan lepas, ada minggu yang hampir setiap hari di Selangor hujan dengan lebat. Kadangkala bersambung hingga ke malam. Dari bilik tidur anak-anak jelas kedengaran suara anak kucing mengiau. 

Suara nya jadi lebih kuat dan 'stress' ketika waktu malam semasa hujan turun. Mungkin dia kesejukan memanggil ibunya mencari perlindungan.

Suami saya cuba mencari di luar tetapi tidak kelihatan. Mungkin keadaan di dalam longkang itu yang dalam pada waktu malam dan saiz nya yang kecil menyebabkan dia tidak  diketemui.

Esok paginya, saya pula dan anak-anak keluar dan mencari-cari dari arah mana suara anak kucing tersebut. Sah! memang kelihatan seekor anak kucing yang berwarna putih dan bertompok hitam di badannya sedang berjalan dengan tidak keharuan ke arah kami.

Mungkin dia kelaparan, kesejukan dan mahu sangat diselamatkan. Kasihan melihat keadaannya yang serabut dan serabai. Longkang yang agak dalam dan hampir dipenuhi air itu menyebabkan dia gagal untuk naik ke atas.

Saya kira mungkin dia dan ibunya terjatuh dan ibunya juga tidak tahu bagaimana mahu mengeluarkannya dari situ.

Kami cuba memberikan anak kucing itu makanan pejal, tetapi dia tidak mahu memakannya. Dia terus mengiau dan kami jadi 'blur' tidak tahu nak buat apa.

Saya jadi agak bersalah jika dibiarkan sahaja di situ kerana bimbang dia akan jatuh semula ke dalam longkang. Kasihan pula.

Lantas saya membawa nya berjumpa dengan doktor haiwan. Alhamdulillah, semuanya OK kecuali kakinya sedikit terkehel. Doktor di Klinik Haiwan I-Vet, Bandar Kinrara sangat baik dan profesional. Melayan haiwan seperti manusia lagaknya. Jururawat juga peramah, walau sesibuk mana saya lihat dia cuba malayan pelanggan yang datang dengan bersungguh-sungguh. Telefon berdering juga dicuba untuk mendapatkannya walaupun ketika itu dia di dalam bilik rawatan mungkin sedang membantu doktor.

ketika mahu mendaftar, jururawat meminta saya memberikan namanya. Ah sudah! nama apa pula yang saya nak berikan ini. Dalam masa 10 saat saya berfikir, terlintas lah nama JIWA. 

Kenapa JIWA? kerana saya rasakan yang anak kucing ini bersemangat waja dan berjiwa besar untuk meneruskan kehidupannya.

Anak kucing ini juga telah berjaya membeli JIWA saya untuk turun ke longkang menyelamatkannya. Saya dan suami bukanlah suka sangat kucing. Tetapi kami juga tidak takut atau geli atau bencikan nya.Biasa-biasa sahaja.

Doktor pun memberi Jiwa makanan basah yang di dalam tin. Waktu itu, baru saya sedar bahawa anak kucing tidak tahu makan makanan keras. Ilmu baru untuk saya.

Doktor memberitahu yang Jiwa tidak ada apa-apa luka yang serius kecuali selsema. Jadi, kami diberikan ubat dan antibiotik beserta syringe khas yang agak kecil untuk digunakan ketika memberikan ubat kepadanya nanti.

Kami menjaganya dengan penuh kasih sayang. Jiwa sangat manja dan baik. Mukanya yang putih bersih dan comel itu menyebabkan siapa sahaja melihatnya pasti akan terbelai jiwanya. 

Anak-anak memberikan nama baru kepada Jiwa iaitu Oreo. Kata Uwais nama tersebut sesuai dengannya kerana ada tompok hitam seolah-olah seperti biskut Oreo di atas badannya. 

Layankan sahaja anak-anak.


Ada masa memang anak-anak yang memberikan makanan kepada Jiwa. Membantu saya memberikan ubat dan membersihkan kawasan apabila dia terkencing atau terberak.

Waktu malam, Jiwa akan diletakkan di dalam kotak yang sudah diubahsuai menjadi seakan-akan rumahnya. Dilapik dengan kain dan surat khabar. Saya meletakkan kotak itu di luar rumah berdekatan dengan pintu. 


Niat saya memang akan memberikan Jiwa kepada orang lain untuk dijaga kerana kami tidak mampu ntuk menjaganya selama-lamanya. Suatu hari nanti kami akan berpindah jauh dari sini.

Setelah seminggu, kaki Jiwa semakin kuat dan dia sihat sepenuhnya. Tetapi entah kenapa beberapa hari selepas itu, tiba-tiba dia cirit-birit dengan kerap. Esoknya dia kelihatan tersangat lemah. Hendak mengangkat kepala juga tidak larat. Bau najisnya yang cair juga agak busuk dari biasa.




Ketika kami membasuhnya sebelum dibawa untuk bertemu dengan doktor sekali lagi, dia cuba mengesot untuk keluar dari bilik air. Luluh hati dan perasaan saya melihatnya begitu.

Doktor memasukkan air ke dalam badannya dan diberikan ubat. Saya beritahu doktor Jiwa sakit perut kerana cirit birit. Bingung juga kami dibuatnya kerana pasti 100% bahawa Jiwa hanya makan makanan yang kami berikan. Jenama juga sama. Tidak bertukar kepada yang lain.

Malam itu, kami hanya membelai nya dan memberikannya keselesaan. Jiwa langsung tidak mampu bergerak. Kepalanya juga terlalu longlai. Sesekali dia mengiau dengan kuat dan kemudian senyap.

Dan esoknya, Jiwa sudah tidak bernafas. Sedarlah kami bahawa Jiwa sudah pergi meninggalkan kami. Sedihnya hati hanya tuhan yang mengerti.

Walaupun hanya 2 minggu  diberikan peluang untuk berkongsi kasih sayang dengan seekor anak kucing, ianya merupakan pengalaman yang sangat berharga buat kami.

Anak-anak juga sayang dan suka kepada Jiwa. Sifat kasih-sayang yang mereka tonjolkan itu ternyata adalah dari sifat rahmat ALLAH S.W.T kepada umat manusia. Bersyukurlah kerana di dalam hati kita dikurnaikan sifat yang satu ini.

Bukan semua orang dikurniakan sifat ini. Ada manusia yang bengis, pemarah dan kurang sifat kasih dan sayangnya.



Nabi S.A.W juga sangat penyanyang terhadap semua umatnya. Teringat saya ketika Dok jefri menyampaikan kisah sirah dalam siri-1 yang lalu. Setelah baginda dihalau dengan penduduk Taif, datanglah Malaikat Jibril bersama Malaikat penjaga gunung.

Mereka bertanya kepada Nabi S.A.W. Mahukah aku terbalikkan gunung ini supaya penduduk Taif hancur?

Namun, Nabi S.A.W melarangnya kerana dia sudah memaafkan mereka dan dia juga berkata bahawa mungkin mereka tidak tahu. 

Subhanallah, betapa baiknya dan ini lah sifat yang memang perlu untuk kita contohi. Manusia terbaik di dunia.

Selamat jalan Jiwa, selamat jalan Oreo.

 Terima kasih ALLAH S.W.T atas kenangan manis yang diberikan. 

p/s : Saya rasankan anak kucing yang tiada ibunya di sisi mungkin agak tertekan dan tiada sokongan yang diperlukan olehnya. Menyebabkan anak kucing ini mengalami sindrom 'fading kitten' dan akhirnya mati.

You Might Also Like

3 comments

  1. Comelnya..mg kucing mmbesar dgn sihat

    ReplyDelete
  2. alah akak ni... dana yang baca pun dah meleleh airmata...
    sedihnya, sian dia... mungkin dia masih kecil sangat lagi, perlukan susu dari ibunya...

    sebab anak si comot pun dah beberapa minggu baru reti makanan lain selain menyusu...

    ReplyDelete
  3. Betul. kucing atau haiwan pun ada perasaan dan inginkan kasih sayang mereka yang tersendiri 😇

    ReplyDelete

Terima kasih di atas segala komen dan sokongan.